Penghantar makanan maut dalam nahas di Chua Chu Kang; wanita, 2 lelaki ditangkap
Polis menangkap seorang wanita dan 2 lelaki kerana dipercayai memandu dengan cuai dan dalam keadaan mabuk ketika nahas melibatkan penghantar makanan yang berbasikal.

Keadaan nahas di Chua Chu Kang. (Gambar: Singapore roads accident/Facebook)
Polis menangkap seorang wanita dan dua lelaki berusia antara 32 dengan 36 tahun kerana didakwa memandu dengan cuai dan dalam keadaan mabuk.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, polis menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta dan basikal elektrik di Choa Chu Kang Ave 1 pada Selasa, 11.23 malam.
Pengayuh basikal berusia 28 tahun itu dikejarkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian meninggal dunia, menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Dalam kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan dua individu dibawa ke hospital tetapi tidak memberi perincian lanjut.
Polis tidak memberi butiran sama ada pemandu ketika itu adalah wanita atau salah seorang daripada dua lelaki yang ditahan.
Dalam video yang dimuat naik online, sebuah beg penghantaran makanan boleh dilihat di tengah jalan manakala beberapa orang sedang berdiri dekat penghantar makanan dan e-basikalnya, sambil cuba membantu lelaki yang terlantar di jalan raya itu.
Sebuah kereta Toyota berwarna merah boleh dilihat di tapak kemalangan itu. Polis bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas jenis kereta yang terlibat dalam insiden tersebut.
Jurucakap Foodpanda memberitahu Mediacorp bahawa lelaki yang meninggal dunia itu ialah penghantar makanan Foodpanda, sambil menambah beliau bukan dalam proses menghantar makanan semasa kejadian berlaku.
Dalam kenyataan lanjut, Foodpanda mendedahkan syarikat itu "berasa amat sedih atas nahas tersebut dan menggesa semua pihak supaya mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sebuah beg yang kelihatan seperti beg penghantaran bagi satu lagi syarikat juga dilihat pada e-basikal pengayuh basikal dalam video itu.
Sebilangan penghantar makanan berkhidmat bagi lebih daripada satu platform.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.