Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghantar makanan luah kebimbangan jika guna basikal

Sebilangan pekerja penghantaran makanan yang menggunakan skuter elektrik (e-skuter) sebelum ini menyuarakan keprihatinan terhadap keselamatan berhubung penggunaan basikal atau e-basikal, menyusuli pengumuman geran Pemerintah untuk membantu mereka menukar PMD mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantar makanan luah kebimbangan jika guna basikal

Beberapa penghantar makanan hadiri sesis MPS pada 8 Nov (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 09 Nov 2019 11:32AM Dikemas Kini : 09 Nov 2019 11:39AM

SINGAPURA: Sebilangan pekerja penghantaran makanan yang menggunakan skuter elektrik (e-skuter) sebelum ini menyuarakan keprihatinan terhadap keselamatan berhubung penggunaan basikal atau e-basikal, menyusuli pengumuman geran Pemerintah untuk membantu mereka menukar PMD mereka.

Ada juga yang masih berharap agar Pemerintah akan menarik balik larangan terhadap e-skuter di laluan jalan kaki.

Pada Jumaat (8 Nov), Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan Geran Tukar Beli (eTG) e-skuter bernilai S$7 juta dibiayai Pemerintah dan tiga syarikat penghantaran makanan utama di sini - Grab, Deliveroo dan Foodpanda.

Sesetengah pekerja penghantaran menyuarakan keprihatinan terhadap penggunaan e-basikal atau basikal yang dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada mereka kerana mereka perlu mengayuhnya di jalan raya.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), e-basikal hanya boleh digunakan di jalan raya manakala basikal pula boleh digunakan di jalan raya, laluan jalan kaki, laluan berbasikal dan laluan penghubung taman.

RISIKO TINGGI, KURANG PENDAPATAN, MASALAH KESIHATAN

Cik Tan Sook Fern, 41 tahun, berkata jika pekerja penghantaran makanan menukar kepada e-basikal atau basikal, ia akan meningkatkan risiko kemalangan di jalan raya.

"Ia sekadar mengalihkan masalah dari laluan jalan kaki ke jalan raya," kata beliau.

Beliau menambah meskipun beliau cuba membuat penghantaran makanan menggunakan basikal sejak beberapa hari lalu, ia terlalu memenatkan baginya untuk cuba membuat jumlah penghantaran yang sama seperti dahulu.

Jika sebelum ini beliau boleh melakukan 20 penghantaran sehari, beliau kini hanya dapat membuat 30 penghantaran dalam tempoh empat hari sejak larangan itu dikuatkuasakan pada Selasa.

Seorang lagi pekerja penghantaran makanan, Cik Cindy Rachel Goh, berkata "amat payah" baginya mengayuh basikal untuk membuat penghantaran.

"Saya ada masalah pada bahagian belakang badan, jadi tidak dapat mengayuh basikal terlalu lama. Menunggang e-basikal di jalan raya juga amat berbahaya. Pilihan terbaik tetap e-skuter."

LANGKAH YANG DIAMBIL PEMERINTAH

Seorang lagi pekerja khidmat penghantaran makanan, Encik Imran Zulkhifli, berkata: "Adalah lebih berbahaya untuk pekerja penghantaran jika tidak berpengalaman di jalan raya, dan penggunaan e-basikal (di jalan raya) tidak memerlukan lesen."

Encik Imran menambah beliau sudah mengutarakan keprihatinannya kepada Encik Teo Chee Hean, AP GRC Pasir-Ris Punggol semasa sesi bertemu penduduk (MPS) pada Jumaat.

Bercakap kepada pihak media selepas sesi itu, Encik Teo menyifatkan isu tersebut sebagai "cuba melindungi nyawa (pejalan kaki) namun pada masa yang sama cuba melindungi mata pencarian (pekerja penghantaran makanan)".

Isu keselamatan turut dibangkitkan semasa taklimat media pada Jumaat semasa MOT mengumumkan geran tersebut.

Demi menjaga keselamatan pengguna e-basikal di jalan raya, LTA menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat penghantaran makanan untuk memastikan para pekerja penghantaran makanan menjalani program menunggang dengan selamat.

MENARUH HARAPAN LARANGAN DITARIK BALIK

Sementara itu, seorang penghantar makanan GrabFood, Encik PK Satria, tetap tidak berpuas hati dengan langkah-langkah yang ditawarkan Pemerintah.

Beliau berkata beliau akan terus menghadiri sesi MPS di kawasan undinya, GRC Jurong, sehingga larangan di laluan jalan kaki ditarik semula.

Seperti pekerja penghantaran makanan lain, Encik Satria prihatin mengenai keselamatannya ketika menggunakan e-basikal di jalan raya.

Beliau menambah basikal bukan satu pilihan baik bagi pekerja yang sudah berumur atau mereka dengan masalah daya fizikal.

Sebaliknya, Encik Satria menyarankan agar pekerja penghantaran makanan diberi lesen untuk menggunakan PMD di laluan jalan kaki bagi tujuan kerja.

Apabila ditanya tentang langkah beliau seterusnya, Encik Satria berkata: "Bagi saya, saya akan terus mendesak agar PMD dapat digunakan semula di laluan jalan kaki. Tidak kira berapa lama, kami (pekerja penghantaran makanan) akan terus berbuat demikian."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan