Penghantar makanan guna mata kail curi baucar Belanjawan 2020
Seorang penghantar makanan yang menggunakan pena dan mata kail untuk mencuri baucar barangan dapur bernilai S$450 dari peti-peti surat dihukum penjara lapan bulan dan empat minggu pada Khamis (18 Nov).
Gambar: SPF
SINGAPURA: Seorang penghantar makanan yang menggunakan pena dan mata kail untuk mencuri baucar barangan dapur bernilai S$450 dari peti-peti surat dihukum penjara lapan bulan dan empat minggu pada Khamis (18 Nov).
Asmah Isnin, 35 tahun mengaku bersalah pada Januari tahun ini atas tiga tuduhan mencuri membabitkan tiga mangsa.
Dia melakukan jenayah itu sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu pada Oktober tahun lalu dengan peti-peti surat di Blok 124 Kim Tian Place di Bukit Merah menjadi sasarannya.
Baucar-baucar barangan runcit itu dihantar melalui pos kepada 150,000 rakyat Singapura termasuk Asmah untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga.
GUNAKAN BAUCAR DICURI UNTUK ISI PETI AIS KOSONG
Peguam bela Asmah, Encik SS Dhillon pada Khamis berkata bahawa dia menggunakan baucar itu untuk membeli makanan bagi dirinya dan bapanya berusia 63 tahun yang tidak lagi bekerja setelah menghidap penyakit barah tahap empat dan kencing manis.
Beliau menambah bahawa Asmah tinggal bersama bapanya dalam flat satu bilik HDB dan merupakan satu-satunya pencari nafkah yang membawa pulang gaji S$1,200 sebulan.
Sebulan selepas melakukan kesalahan itu, Asmah berjumpa dengan seorang doktor di Institut Kesihatan Mental (IMH).
Dia kemudian didiagnosis dengan ketidakupayaan intelektual antara tahap pinggiran hingga ringan dengan isu tingkah laku dan kecelaruan psikotik tidak dinyatakan, kata beliau.
Encik Dhillion bagaimanapun menekankan bahawa doktor tidak mendapati keadaannya telah menyumbang kepada kesalahan-kesalahan tersebut.
"Dia miskin, tidak pula menyebabkan sebarang kerosakan dan selepas melakukan kesalahan itu, dia menggunakan (baucar) untuk membeli makanan bagi mengisi peti ais rumahnya," kata beliau sambil merayu kepada hakim supaya menimbangkan sejarah perubatannya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joseph Gwee pula menekankan bahawa Asmah mempunyai beberapa sabitan mencuri sejak 2005. Misalnya pada 2015, dia dihukum penjara selama enam bulan kerana mencuri basikal elektrik bernilai S$1,300.
Pda 31 Oktober 2019, dia didapati bersalah atas dua tuduhan mencuri dan dijatuhi hukuman penjara lima bulan bagi setiap tuduhan.
Malah, dia mencuri baucar barangan dapur itu lapan bulan selepas dibebaskan pada 10 Februari 2020, tegas DPP Gwee.
Sewaktu menjatuhkan hukuman ke atas Asmah, Hakim Daerah Prem Raj berkata ia sebagai peringatan kepada orang ramai supaya jangan mencuri baucar-baucar sedemikian daripada golongan lain yang juga memerlukan bantuan.
Beliau juga mengarahkan Asmah dan bapanya supaya menghadiri sidang mahkamah masyarakat yang akan membantu membetulkan punca utama tingkah lakunya di samping merujukkan bapanya kepada mana-mana agensi yang mungkin dapat membantunya semasa Asmah di dalam penjara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.