Penghantar makanan dipenjara bertindak ganas terhadap teksi yang bawa penumpang

Tangkapan skrin video daripada halaman Facebook Roads.SG dan Beh Chia Lor berhubung insiden tersebut. (Gambar: Facebook/Roads.SG & Beh Chia Lor)
Dia melakukan demikian walaupun terdapat penumpang di dalam teksi tersebut.
Joel Tan Qing Wei, 31 tahun, dihukum penjara enam minggu dan didenda S$2,000 pada Jumaat (11 Nov).
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kata-kata kesat dan satu lagi tuduhan atas perbuatan nakal. Dua lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Tan sedang bekerja sebagai penghantar makanan Grabfood ketika itu.
Pada 10 Oktober 2021, sekitar pukul 6.00 petang, Tan sedang menunggang motosikalnya dengan perlahan berdekatan dengan Blok 804B Keat Hong Close di Choa Chu Kang.
Mangsa, seorang pemandu teksi yang berusia 55 tahun, memandu kenderaannya menghala ke blok tersebut pada waktu itu, sambil membawa sepasang suami isteri dan seorang bayi berusia 18 bulan.
Pemandu teksi tersebut membunyikan honnya sekali dan memandu melepasi motosikal Tan, yang sedang bergerak dengan perlahan.
Tan kemudiannya menghamburkan makian dalam bahasa Hokkien terhadap pemandu teksi tersebut.
Pemandu teksi berkenaan kemudian membelok ke tempat meletak kereta dan kawasan pusat pembuangan sampah dengan niat untuk mengundurkan kenderaannya keluar.
Beliau memeriksa terlebih dahulu dan tidak melihat sesiapa di bahagian belakang teksinya.
Namun, pemandu teksi tersebut tiba-tiba terdengar bunyi kuat dan menyedari beliau bertembung dengan motosikal Tan.
Rupa-rupanya Tan didapati mengekori teksi tersebut untuk bersemuka dengan pemandunya.
Tan kemudian mengelilingi teksi tersebut sambil menjerit supaya mangsa keluar daripada teksinya, sambil menghentak tangannya pada tingkap dan mencuba membuka pintu teksi tersebut.
Tan kemudiannya, menghamburkan makian terhadap pemandu teksi tersebut. Dia juga memecahkan pengelap cermin belakang dan melemparkannya, menyebabkan kaca di cermin depan retak.
Dia kemudian menghentak teksi itu menggunakan topi keledar motosikalnya di beberapa bahagian teksi tersebut, menyebabkan kerosakan di kedua-dua sisi tingkap teksi berkenaan.
Insiden tersebut dirakam selama lebih empat minit menerusi kamera dalam teksi itu. Malah, penumpang-penumpang teksi itu serta seorang penduduk di blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga merakamkan kejadian tersebut.
Kos membaiki kerosakan yang dialami teksi itu menelan belanja sebanyak S$9,651.40. Tan sudahpun membuat pembayaran balik sepenuhnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.