Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghantar makanan dihukum penjara 12 minggu; letak 2 tin daging babi dekat pintu masuk Masjid Al-Ansar

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantar makanan dihukum penjara 12 minggu; letak 2 tin daging babi dekat pintu masuk Masjid Al-Ansar

Gambar: Dokumen mahkamah

Diterbitkan : 04 Apr 2024 03:05PM Dikemas Kini : 04 Apr 2024 03:13PM
SINGAPURA: Seorang penghantar makanan mencuri dua tin daging babi dari sebuah pasar raya dan meletakkannya di atas rak di pintu masuk sebuah masjid.

Ian Poh, 30 tahun, berbuat demikian dengan sengaja sekalipun dia mengetahui bahawa umat Islam dilarang memakan daging babi dan tindakannya itu pula akan menimbulkan kemarahan masyarakat di Masjid Al-Ansar.

Poh pada Khamis (4 Apr) dijatuhi hukuman penjara selama 12 minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mencuri dan melakukan perbuatan yang dia tahu boleh menjejas keharmonian antara kumpulan agama atau kaum yang berbeza.

Pada 15 Mei tahun lalu, Poh keluar dari Pasar Raya Sheng Siong di Upper Changi Road tanpa membayar dua tin daging babi bernilai S$9.50 (AS$7.05)

Dia kemudian berbasikal ke Masjid Al-Ansar di Bedok North sekitar pukul 10.00 malam dan meletakkan dua tin daging babi itu di atas rak yang dikhususkan untuk penghantaran makanan.

"Tertuduh berbuat demikian sekalipun dia tahu bahawa pemakanan daging babi dilarang dalam Islam. Dia juga tahu bahawa tindakannya itu akan menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Masjid Al-Ansar," menurut dokumen mahkamah.

Keesokan harinya, pada pukul 4.30 pagi, jemaah pertama yang tiba di masjid tersebut untuk mendirikan solat subuh menemui dua tin daging babi di atas rak.

"Mereka terkejut dan berasa tersinggung, dan segera mengambil gambar dua tin daging babi itu, sebelum membuangnya ke dalam tong sampah berhampiran," menurut dokumen mahkamah.

Jemaah berkenaan memberitahu perkara itu kepada kakitangan masjid dan berita mengenai daging babi tersebut juga tersebar dalam kalangan jemaah lain, yang memberitahu kakitangan masjid bahawa mereka berasa tersinggung dan dihina.

Mereka menambah bahawa ini adalah tindakan yang tidak sensitif untuk dilakukan di tempat ibadah umat Islam.

Pihak polis dimaklumkan mengenai insiden berkenaan pada lewat hari tersebut. Berikutan siasatan yang dijalankan, para pegawai polis berjaya mengenal pasti Poh pada 17 Mac lalu memberkasnya.

Poh memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia berpendapat tindakannya akan menimbulkan kemarahan masyarakat Islam dan justeru mendorong pegawai polis untuk menyiasat apa yang disifatkannya sebagai "suara yang didengarinya di dalam kepalanya".

Poh direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) dari 19 Mei sehingga 1 Jun 2023 bagi pemerhatian dan penilaian psikiatri.

Laporan psikiatrinya menunjukkan bahawa Poh pernah berdepan dengan isu psikiatri sebelum ini pada Jun 2021 dan sekali lagi pada April 2022. Pada kedua-dua kali itu, Poh mendengar suara yang memberitahunya, antara lain, untuk membunuh diri.

Dia juga mempunyai sejarah penyalahgunaan bahan kerana menghidu gam, mengambil sirap batuk dan menggunakan methamphetamine.

Poh disahkan mengalami gangguan psikotik akibat bahan dan laporan itu mendapati gejala psikotiknya menyumbang kepada kesalahannya. Bagaimanapun, dia didapati waras dan cergas untuk mengaku bersalah.

Kerana melakukan perbuatan yang boleh menjejas keharmonian antara kumpulan agama atau kaum yang berbeza, Poh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

Atas kesalahan mencuri, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun, dan didenda.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan