Skip to main content

Singapura

Penghantar makanan Deliveroo bantu saji juadah buka puasa untuk lebih 1,000 jemaah Masjid Darul Makmur

Jika biasanya mereka menghantar bungkusan makanan dari rumah ke rumah, kali ini, para penghantar makanan syarikat Deliveroo menghantar sajian makanan di atas dulang pula.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika biasanya mereka menghantar bungkusan makanan dari rumah ke rumah, kali ini, para penghantar makanan syarikat Deliveroo menghantar sajian makanan di atas dulang pula.

Dulang berisi Nasi Beriani, kuih muih dan buah-buahan itu adalah hidangan berbuka puasa untuk para jemaah Masjid Darul Makmur.

Sempena Ramadan tahun ini, syarikat penghantar makanan itu melancarkan inisiatif #ComingBackTogether yang melibatkan lebih 60 penghantar makanannya.

(Gambar: Deliveroo)

Setiap Jumaat, sekitar 15 penghantar makanannya akan datang ke Masjid Darul Makmur untuk membantu dalam persiapan sesi berbuka puasa beramai-ramai untuk 250 jemaah di masjid yang terletak di Yishun itu.

Ia juga satu kelainan bagi syarikat itu berbanding konsep penghantaran makanan rumah ke rumah sebagai usaha dalam tugas seharian mereka, untuk mengeratkan silaturrahim antara para pekerja penghantaran dengan masyarakat.

"Dengan mengadakannya di sini, akan ada komunikasi, mereka dapat duduk dan beramah dengan orang lain. Mereka juga diminta untuk menjemput keluarga mereka jadi ia seperti perhimpuan perkauman berbanding penghantaran sahaja. Jadi ini akan membawa lebih sentuhan peribadi daripada para penghantar kepada masyarakat," kata Ketua Bantuan Penghantar, Deliveroo Singapura, Encik Ajmal Sirajudeen.

Bagi menjaga kebersihan dan keselamatan, hanya kakitangan dan relawan masjid yang bertauliah sahaja dibenarkan untuk menyediakan makanan.

Namun para relawan Deliveroo Singapura itu masih boleh menyumbang tenaga mereka dengan cara-cara lain termasuk membersihkan dan membentang tikar di ruang berbuka puasa.

Mereka juga dapat menikmati juadah itu bersama-sama para jemaah, di samping solat berjemaah.

(Gambar: Deliveroo)

DEKATKAN MASJID DENGAN MASYARAKAT, PUPUK SOKONGAN SILANG AGAMA

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Izuan Md Rais, bantuan seperti itu sangat dihargai memandangkan jumlah relawan masjid semasa bulan Ramadan adalah terhad.

Dalam pada itu, ia juga memberi peluang untuk masjid mendampingi masyarakat.

"Dengan adanya Deliveroo bersama kami, ia dapat menyerlahkan lagi program-program Ramadan kita kepada masyarakat umumnya dan juga kepada ramai pekerja-pekerja mereka yang kebanyakannya masyarakat Islam juga. Dengan itu, kami dapat mengembangkan lagi program-program kami insya-Allah pada satu hari nanti.

"Ia akan menambahkan lagi semarak yang ada di dalam masjid. Melihat ramai orang bukan sahaja orang Islam yang datang membantu tetapi juga yang bukan beragama Islam yang akan membantu kami," kata Encik Izuan.

Antara relawan bukan Islam yang terlibat ialah Encik Tan Kok Eng, yang melakukannya untuk kali pertama.

"Saya mengambil peluang ini untuk datang dan menjadi relawan dan saya juga mahu mempelajari lebih tentang budaya Islam. Saya pernah cuba berpuasa sendiri dan ia sangat sukar kerana perut saya kosong sepanjang hari dan kurangnya tenaga," kata Encik Tan, yang sudah empat tahun bekerja bersama Deliveroo.

(Gambar: Deliveroo)

Seorang lagi penghantar makanan yang komited untuk memberikan masanya setiap minggu ialah Encik Azri Ali.

Meskipun sudah lima tahun bekerja di Deliveroo, beliau amat teruja kerana mempunyai masa yang lebih tahun ini untuk berbakti.

"Saya mahu membantu masyarakat dan sebagai seorang yang beragama Islam sendiri, syaa mahu melakukan amalan baik untuk diri saya semasa bulan Ramadan ini," kata Encik Azri, 28 tahun.

Menurut Deliveroo, pihaknya akan menuruskan usaha murni sedemikian setiap Ramadan akan datang dan berharap untuk bekerjasama dengan masjid dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang lain.

Pada bulan Ramadan sebelum ini, Deliveroo pernah bekerjasama dengan badan-badan kebajikan termasuk Pusat Pekerja Hijrahan untuk menghantar lebih 6,000 juadah berbuka kepada golongan berkeperluan, kakitangan jagaan kesihatan dan para pekerja hijrahan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita