Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggunaan TraceTogether naik ke paras lebih 60%; kebimbangan privasi semakin merosot

Penggunaan token dan aplikasi TraceTogether kini mencecah paras melebihi 60 peratus, hampir mencapai matlamat 70 peratus yang disasarkan untuk Singapura melangkah ke Fasa 3 pembukaan semula negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Penggunaan TraceTogether naik ke paras lebih 60%; kebimbangan privasi semakin merosot

Seorang lelaki menunjukkan token TraceTogether. (Gambar: Pejabat Generasi Warga Emas)

Diterbitkan : 14 Dec 2020 10:02AM Dikemas Kini : 14 Dec 2020 10:06AM

SINGAPURA: Penggunaan token dan aplikasi TraceTogether kini mencecah paras melebihi 60 peratus, hampir mencapai matlamat 70 peratus yang disasarkan untuk Singapura melangkah ke Fasa 3 pembukaan semula negara.

Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) menyatakan bahawa perangkaan itu masih "pada paras 60 peratus yang rendah", namun tidak pula mendedahkan jumlahnya dengan lebih terperinci.

Perangkaan itu dipaparkan dalam tinjauan YouGov yang dijalankan pada minggu lalu, yang mendapati bahawa 23 peratus penduduk masih belum memuat turun aplikasi itu dan 11 peratus pula berkata bahawa mereka sudah memuat turun aplikasi berkenaan tetapi kemudian memadamkannya.

Tinjauan yang dijalankan ke atas lebih 1,000 rakyat Singapura mendapati bahawa tahap kesedaran terhadap aplikasi TraceTogether sudah meningkat. 98 peratus responden berkata bahawa mereka mengetahui tentang aplikasi itu, berbanding tinjauan serupa yang dijalankan pada April lalu yang mendapati hanya 84 peratus mengetahui mengenai aplikasi berkenaan.

Meskipun keprihatinan terhadap isu privasi berhubung penggunaan TraceTogether sudah berkurangan, masih ada yang enggan memuat turun aplikasi tersebut kerana bimbang ia akan menghabiskan kuasa bateri telefon bijak mereka.

Antara mereka yang tidak memuat turun aplikasi itu, dua alasan utama adalah mereka tidak mahu menghidupkan Bluetooth setiap masa, atau aplikasi itu akan menggunakan banyak kuasa bateri. Alasan ketiga paling popular adalah mereka tidak mahu memuat turun lebih banyak aplikasi.

KEPRIHATINAN ISU PRIVASI SEMAKIN BERKURANGAN

Sebelum ini, salah satu alasan utama mengapa orang ramai tidak mahu memuat turun aplikasi itu adalah kerana mereka bimbang sekiranya aplikasi tersebut akan mengumpul maklumat peribadi. Namun, ia bukan lagi salah satu keprihatinan utama sekarang.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada minggu lalu, 28 peratus menukil hal itu sebagai satu keprihatinan, berbanding 45 peratus pada April. Mereka yang berusia antara 25 dengan 34 tahun membentuk golongan yang paling prihatin terhadap hal itu.

SNDGG menegaskan bahawa kedua-dua aplikasi dan token TraceTogether "direka dengan ciri-ciri yang melindungi privasi pengguna".

"Tiada lokasi GPS dikumpul, dan peranti itu hanya bertukar-tukar isyarat sulit dan tanpa nama melalui Bluetooth bersama dengan peranti TraceTogether lain yang berada berdekatan," tegas seorang jurucakap.

"Data Bluetooth itu akan dipadamkan secara automatik selepas 25 hari dan data itu hanya diminta oleh pihak berkuasa apabila seorang pengguna disahkan positif COVID-19."

FUNGSI SAFEENTRY DALAM APLIKASI TRACETOGETHER

Penggunaan TraceTogether mungkin meningkat baru-baru ini kerana aplikasi atau token itu kini perlu digunakan untuk memasuki lebih banyak tempat, seperti pawagam. Sejak 3 Jul, GovTech sudah mengemas kini aplikasi TraceTogether untuk menyediakan fungsi pengimbasan QR dan daftar masuk SafeEntry.

Daftar masuk SafeEntry melalui aplikasi TraceTogether juga dilaksanakan di sesetengah tempat seperti tempat-tempat hiburan, sebilangan rumah ibadat dan tempat-tempat yang mengadakan persembahan secara langsung dan acara-acara perniagaan. Penggunaannya akan diperluaskan di semua tempat yang kini menggunakan daftar masuk SafeEntry.

SNDGG menyatakan bahawa satu lagi alasan mengapa masih ramai yang tidak mahu menggunakan TraceTogether mungkin disebabkan oleh tanggapan seolah-olah SafeEntry sudah memadai, disebabkan mereka kurang memahami bahawa TraceTogether dan SafeEntry adalah alat yang saling melengkapi dan mempunyai fungsi yang berbeza.

"Dengan menggunakan peranti digital ini secara bersama, kami akan dapat mempertingkatkan kelajuan dan ketepatan usaha pengesanan kontak," kata jurucakap SNDGG.

Menurut pihak berkuasa, TraceTogether membantu pasukan pengesanan kontak untuk menyingkatkan masa yang diambil untuk mengenal pasti dan mengenakan kuarantin terhadap kontak rapat dari empat hari kepada kurang daripada dua hari.

CEPAT HABISKAN BATERI?

Semasa menjawab keprihatinan yang dibangkitkan mengenai isu banyak menggunakan kuasa bateri, SNDGG menyatakan
ia sentiasa membuat penyempurnaan dan kemas kini, termasuk memperhalusinya bagi memastikan ia "cekap kuasa sebaik mungkin".

"Para pengguna juga dinasihatkan supaya mengemas kini aplikasi tersebut ke versi terkini bagi meraih manfaat daripada kemas kini yang dijalankan," dedah kenyataan itu lagi.

"Buat masa ini, penggunaan bateri bagi telefon bimbit yang diuji hanya naik sedikit apabila aplikasi itu digunakan, khususnya bagi telefon bimbit yang sudah dihidupkan fungsi Bluetooth."

Profesor Ang Peng Hwa dari Sekolah Perhubungan dan Penerangan Wee Kim Wee di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata bahawa penggunaan bateri bagi aplikasi itu akan meningkat di tempat-tempat awam, kerana aplikasi itu akan menggunakan lebih banyak kuasa bateri untuk menghantar dan menerima isyarat daripada telefon bimbit yang berada berhampiran.

"Semakin ramai orang berada di sekeliling anda, maka lebih pantas bateri akan cepat habis," katanya. Beliau menyarankan kepada mereka yang prihatin terhadap hal ini supaya menggunakan token.

SNDGG turut mendedahkan bahawa sambutan terhadap kedua-dua aplikasi dan token TraceTogether kini semakin meningkat.

"Lebih banyak balai rakyat akan dibuka dalam masa beberapa minggu akan datang dan kami menjangkakan pengambilan token akan terus meningkat pada rentak yang stabil," dedah kenyataan itu lagi.

ANDA MUNGKIN TIDAK TAHU...

Agensi itu menyatakan bahawa ia sedang mengumpul maklum balas orang ramai secara bertemu muka dengan menempatkan Duta Negara Bijak di kios TraceTogether di pusat beli-belah merata Singapura.

Melalui pameran bergerak ini, para duta akan membantu orang ramai memuat turun aplikasi itu, membimbing mereka dalam proses pendaftaran dan menunjuk ajar ciri-ciri aplikasi itu. Mereka juga akan membantu orang ramai yang menghadapi isu teknikal semasa menggunakan aplikasi tersebut.

Ramai yang memuat turun aplikasi itu mungkin tidak tahu bahawa mereka perlu mendaftarkan butiran kontak dan mengesahkan maklumat itu, menurut SNDGG.

Para pengguna juga mungkin tidak menyedari bahawa terdapat ciri Daftar Masuk Berkumpulan yang boleh digunakan untuk menyertakan ahli keluarga mereka ke dalam senarai daftar masuk. Mereka boleh menggunakan fungsi itu apabila mendaftar masuk ke sesuatu lokasi secara bersama, yang boleh menyingkatkan tempoh beratur di pintu masuk tempat-tempat awam.

Mereka yang ingin mengambil token TraceTogether boleh mengunjungi https://token.gowhere.gov.sg untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi dan tarikh pengambilan token. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan