Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggunaan alat bantu dengar begitu rendah di Singapura; apakah yang menghalang orang ramai daripada mendapatkannya?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA - Jika anda perlu mendapatkan alat bantu pendengaran di Singapura, proses membeli dan memasangnya tidak semudah seperti di Amerika Syarikat (AS), di mana anda boleh membelinya di farmasi.

Baru tahun lalu Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS meluluskan penjualan alat bantu pendengaran di kaunter untuk menjadikannya lebih mampu dimiliki dan boleh diakses oleh orang yang memerlukannya.

Dengan itu, pengguna yang berumur 18 tahun dan ke atas boleh membeli peranti itu di farmasi. Ini boleh dilakukan tanpa preskripsi, penilaian perubatan, pemasangan oleh profesional atau keperluan bagi penjual untuk mendapatkan lesen.

Di Singapura, alat bantu pendengaran yang dijual di sini adalah peranti perubatan terkawal dan mesti berdaftar dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Ini bagi memastikan mereka memenuhi piawaian keselamatan, mutu dan keberkesanan yang sesuai sebelum dijual atau dibekalkan ke Singapura, kata HSA.

Selain itu, pengilang, pengimport dan pemborong alat bantuan pendengaran juga mesti mendapat lesen HSA.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HSA berkata: “Alat bantu pendengaran perlu mendapat preskripsi doktor dan digunakan di bawah pengawasan profesional penjagaan pendengaran, contohnya, pakar audiologi.

"Oleh itu, pengguna harus berunding dengan profesional penjagaan kesihatan untuk menilai status pendengaran mereka dan mendapatkan alat bantu pendengaran mereka dipasang oleh profesional penjagaan pendengaran."

Sebelum membeli alat bantuan pendengaran, seseorang yang disyaki mengalami kehilangan daya pendengaran biasanya menjalani penilaian menyeluruh. Ini termasuk menjalani ujian pendengaran serta pemeriksaan oleh profesional terlatih.

Pesakit yang dilengkapi alat bantu pendengaran juga dinasihatkan supaya menjalani sesi kaunseling.

OK UNTUK BELI ALAT PENDENGARAN ONLINE?

Sesetengah orang memilih untuk membeli alat bantu pendengaran daripada peruncit online.

Dr Ho Eu Chin, pakar bedah telinga, hidung dan tekak (ENT) dan perunding kanan di Klinik ENT di Hospital Gleneagles dan Hospital Mount Elizabeth Novena, berkata tiada alat bantu pendengaran yang diluluskan oleh HSA untuk dijual di kaunter.

Namun, agak sukar untuk menghalang pengguna di sini daripada membeli peranti tersebut apabila mereka melawat AS atau melalui internet.

Pemeriksaan oleh Mediacorp mendapati alat bantuan pendengaran "gred perubatan" boleh dibeli dengan harga hanya sekitar S$35, daripada e-peruncit dan dihantar langsung ke depan pintu dalam masa satu atau dua hari sahaja. Tiada ujian pendengaran diperlukan.

Sebagai perbandingan, alat bantuan pendengaran yang dipasang secara profesional mungkin menelan belanja beberapa ribu dolar, bergantung pada ciri-cirinya.

Sekitar 10 hingga 20 peratus pesakit yang berjumpa Dr Ho telah cuba menggunakan alat bantu pendengaran yang mereka beli online.

Secara keseluruhannya, maklum balas mengenai pembelian online adalah kurang baik, kata beliau.

“Sebaik-baiknya, alat bantu pendengaran ini membantu mereka mendengar dengan lebih baik dalam perbualan satu sama lain, secara bersemuka di tempat yang sangat sunyi."

HSA menasihatkan pengguna supaya tidak membeli alat pendengaran mereka daripada laman web yang tidak diketahui atau daripada penjual yang tidak dikenali di laman e-dagang, forum perbincangan atau saluran media sosial.

“Memakai alat bantu pendengaran yang tidak sesuai boleh menyebabkan rasa tidak selesa, mutu bunyi yang teruk, dan dalam kes yang serius, menyebabkan kerosakan selanjutnya pada telinga.

“Selain kurang kawalan mutu dan maklumat produk, pengguna mungkin tidak boleh menuntut ganti rugi atau mendapatkan sebarang bayaran balik sekiranya terdapat sebarang masalah dengan produk berkenaan,” tambah HSA.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 466 juta orang kini mengalami beberapa bentuk masalah kehilangan daya pendengaran.

Namun, kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Audiologi pada 2021 mendapati hanya sekitar 10 peratus mempunyai alat bantu pendengaran.

Di Singapura, kajian menunjukkan kadar penggunaan yang lebih rendah.

Memetik data daripada Tinjauan Kesihatan Nasional Singapura 2011, Dr Ho berkata bagi mereka yang mengalami gangguan pendengaran sederhana, paling banyak 3.3 peratus memakai alat bantuan pendengaran.

APAKAH YANG HALANG PENGGUNAAN ALAT BANTU PENDENGARAN?

Pertama, rasa tidak selesa akibat pemasangan yang tidak betul dan bunyi yang menjadi terlalu kuat, menyebabkan pengalaman tidak menyenangkan.

Warga tua juga mungkin merasa sukar untuk memasangnya sendiri, tambah Dr Ho.

Kos adalah satu lagi halangan, terutama bagi pesakit muda yang tidak layak mendapat Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Tua (SMF) oleh Agensi Penjagaan Bersepadu, katanya. Skim kewangan itu memberi subsidi kepada rakyat Singapura yang memerlukan berumur 60 tahun dan ke atas.

Halangan lain termasuk dari segi psikologi dan kesedaran yang lemah tentang peri pentingnya merawat kehilangan daya pendengaran.

Berikut tanda-tanda awal
hilang daya pendengaran:

- Terpaksa minta orang ulang balik perbualan

- Sukar mengikuti perbualan secara berkumpulan atau dalam persekitaran yang agak bising

- Bercakap dengan kuat dan tidak menyedarinya

- Persepsi tinnitus (sering digambarkan sebagai bunyi berdengung atau berdesing di telinga)

- Masalah keseimbangan

Hilang pendengaran secara mengejut sensorineural lebih kerap berlaku pada sebelah telinga sahaja berbanding di kedua- dua telinga.

 
Sumber : Today/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan