Penggunaan AI dalam tentera mampu cetus 'kemusnahan dan gangguan': Ng Eng Hen
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang ketenteraan merupakan salah satu daripada tiga perkara yang "berpotensi besar menyebabkan kemusnahan dan gangguan pada masa kini", kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Selasa (12 Okt).

(Gambar: DSTA)
SINGAPURA: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang ketenteraan merupakan salah satu daripada tiga perkara yang "berpotensi besar menyebabkan kemusnahan dan gangguan pada masa kini", kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Selasa (12 Okt).
Lagi dua kebimbangan adalah serangan siber dan persaingan untuk menguasai ruang angkasa lepas, katanya semasa berucap di edisi ketiga Sidang Puncak Teknologi Pertahanan Singapura.
Dr Ng berkata perbincangan mengenai teknologi tanpa pemandu dan AI adalah satu "bidang luas", sedang pihak tentera berusaha untuk memanfaatkan potensi AI bagi menangani jumlah data yang banyak dan rumit untuk membuat keputusan yang lebih baik dan cepat.
Dunia mungkin akan menyaksikan "peningkatan berterusan" AI disepadukan dalam sistem ketenteraan, menurut satu laporan yang diterbitkan pada 2020 oleh RAND Corporation. Ini menimbulkan risiko dari segi etika, strategi dan operasi.
Misalnya, risiko terhadap operasi timbul dari segi kebolehpercayaan, kerapuhan dan keselamatan sistem-sistem AI manakala risiko terhadap strategi termasuk kemungkinan AI akan meningkatkan kemungkinan berlaku peperangan, konflik yang sedang berlaku dan jumlah pelaku berniat jahat, menurut laporan itu.
Pasukan tentera AS yang sudah lama melabur dalam AI, kini berdepan "persaingan antarabangsa yang besar" dari kedua-dua China dan Rusia, yang sedang berusaha menghasilkan teknologi AI bagi tujuan ketenteraan, menurut laporan itu.
Angkatan Bersenjata Singapura juga membuat perkembangan besar dalam AI. Pada September, ia mendedahkan sebuah sistem arahan dan kawalan baru yang menggunakan AI dan analisis data yang mampu "bertempur dengan lebih bijak"dan membantu komander membuat keputusan lebih cepat dan berkesan.
Sidang puncak tahun ini akan mengkaji kesan gangguan baru-baru ini terhadap pertubuhan dan perusahaan pemerintah dan membincangkan bagaimana mereka boleh bersiap sedia bagi sebarang gangguan yang mungkin berlaku di masa hadapan, menurut Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) yang menganjurkan acara itu.
Dr Ng berkata negara-negara boleh membuat pelbagai aturan berbilang pihak bagi menangani risiko penggunaan AI secara tidak bertanggungjawab dalam bidang ketenteraan.
Ini termasuk Perkongsian AI untuk Pertahanan, yang menyatukan negara-negara sealiran untuk memajukan penghasilan dan penggunaan AI secara bertanggungjawab dalam bidang tentera.
Pada tahun lalu, Singapura menerbitkan edisi kedua Rangka Kerja Pentadbiran Model AI, yang menggabungkan maklum balas serta pengalaman daripada forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan bagi Kumpulan Pakar Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi untuk AI dan Kumpulan Pakar Peringkat Tinggi Suruhanjaya Eropah.
"Tahun ini, kami menetapkan prinsip panduan awal AI iaitu "bertanggungjawab, selamat, dipercayai dan mantap" bagi pertubuhan pertahanan kami, dan akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam kerjasama pelbagai pihak dalam teknologi AI, urus tadbir dan penggubalan dasar," kata Dr Ng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.