Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengguna TikTok diberi amaran bersyarat kerana gagal patuhi arahan POFMA

Anggaran Waktu Membaca:
Pengguna TikTok diberi amaran bersyarat kerana gagal patuhi arahan POFMA

(Gambar: TikTok/jay.ishhaq.rajoo)

Diterbitkan : 31 Jul 2024 05:50PM Dikemas Kini : 31 Jul 2024 05:54PM
SINGAPURA: Seorang lelaki 58 tahun yang pernah menerima beberapa arahan pembetulan diberi amaran bersyarat kerana gagal mematuhi arahan tersebut dan menyebarkan kenyataan palsu dalam videonya di TikTok.

"Selepas penilaian teliti tentang fakta dan keadaan kes, amaran bersyarat 24 bulan diberikan kepada lelaki tersebut bagi kesalahan di bawah Seksyen 7 dan 15 Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA)," tulis pejabat POFMA pada Rabu (31 Jul).

Jika lelaki itu mengulangi kesalahan yang sama dalam tempoh tersebut, dia boleh didakwa atas kesalahan asal.

Seksyen 7 POFMA adalah berkaitan dengan penyebaran kenyataan palsu. Kesalahan di bawah seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya.

Seksyen 15 POFMA adalah berkaitan ketidakpatuhan arahan pembetulan. Mana-mana individu didakwa di bawah seksyen tersebut boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut pejabat POFMA, lelaki itu memuat naik empat video TikTok antara Julai dengan Ogos tahun lalu, yang mengandungi kenyataan palsu mengenai rahsia berkaitan mengundi, dasar Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan kemampuan HDB.

Dia diberi arahan pembetulan, namun gagal memenuhinya, termasuk meletakkan notis pembetulan sebelum tarikh akhir.

Lelaki itu juga menukar nama akaun TikToknya, yang membuat notis pembetulan tidak dapat diakses pengguna lain.

Seorang pengguna TikTok dengan nama pengguna "dr.ishhaq.jay", menerima beberapa arahan pembetulan pada Ogos 2023 kerana membuat dakwaan palsu mengenai rahsia berkaitan mengundi, dasar CPF dan perumahan.

Menurut siasatan, dakwaan palsu mengenai rahsia berkaitan mengundi berdasarkan khabar angin dan tiada bukti untuk menyokong dakwaannya, dedah pejabat POFMA.

"Berkaitan dakwaan palsu mengenai dasar CPF dan kemampuan HDB, dia juga gagal mendapatkan maklumat disediakan kepada awam di laman Lembaga CPF dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), sebelum memuat naik dakwaan palsu tersebut," tambahnya.

Di bawah POFMA, dakwaan palsu ditangani dengan arahan pembetulan yang memerlukan penerima menyertakan notis kepada catatan asal, dengan pautan kepada penjelasan pemerintah.

Penjelasan tersebut menjelaskan dakwaan palsu yang dibuat dan fakta supaya orang awam dapat menelitinya, tanpa catatan asal dibuang.

"Pembaca boleh membaca kedua-dua catatan asal dan fakta serta membuat keputusan mengenai perkara yang benar," tambah pejabat POFMA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan