Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengguna SG digesa guna khidmat kontraktor berlesen pasang panel suria bagi cegah kebakaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pengguna SG digesa guna khidmat kontraktor berlesen pasang panel suria bagi cegah kebakaran

Gambar: Mediacorp

Diterbitkan : 15 Sep 2024 06:16PM Dikemas Kini : 15 Sep 2024 06:58PM
SINGAPURA: Dengan lebih banyak isi rumah kini memasang panel-panel suria, pakar-pakar industri menggesa para pengguna agar memeriksa sama ada kontraktor mereka berlesen demi memastikan keselamatan.

Ini memandangkan, setakat enam bulan pertama tahun ini, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menangani sehingga tiga kebakaran melibatkan sistem panel suria.

Sedangkan pada 2020, hanya satu kes sedemikian dilaporkan.

Panel suria yang terbakar, berkemungkinan disebabkan kerosakan pada sistem elektrik.

Dalam kes kebakaran di Kian Teck Road tersebut, pasukan bomba perlukan tempoh 20 minit serta dua jet air untuk memadamkan api.

Menurut para pakar, panel suria boleh terbakar atas beberapa sebab.

Contohnya, kecacatan pada reka bentuk atau komponen yang digunakan, serta kesilapan dalam cara ia dipasang.

"Kebakaran boleh disebabkan apa yang kita gelar arka DC, di mana voltan tinggi arus DC terhasil di udara apabila dua konduktor berada dekat dengan satu sama lain," jelas Encik Eric Lau, seorang pakar tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan.

"Haba daripada arka DC itu menjadi amat panas sehingga bahan-bahan di sekelilingnya boleh mudah terbakar. Inilah bagaimana kebakaran meletus," tambahnya.

Dengan meningkatnya kes kebakaran panel suria, pelbagai langkah keselamatan diambil demi mencegah insiden serupa pada masa depan.

Misalnya, pencelah litar kerosakan arka ini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan sebarang kejanggalan pada sistem.

Sementara Peranti Penutupan Cepat Panel Suria pula dapat mencegah kejutan elektrik dengan menurunkan voltan daripada 1,000 volt kepada kurang 30 volt.

Ia juga boleh mematikan panel suria agar kebakaran tidak terus merebak.

Pakar industri menasihatkan pengguna agar mendapatkan khidmat kontraktor berlesen, yang dikeluarkan pihak URA atau BCA contohnya, untuk memasang panel suria.
Sumber : CNA/FZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan