Skip to main content

Singapura

Pengguna Kpod dihukum penjara selepas pandu lawan arus hingga cetus kemalangan

Selepas menghisap Kpod, iaitu vape yang dibubuh etomidate, seorang lelaki memandu secara berbahaya melawan arus trafik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengguna Kpod dihukum penjara selepas pandu lawan arus hingga cetus kemalangan

Sebuah peranti vape dan pod yang ditemukan di tempat duduk di dalam kenderaan Ng Bing Hong (kiri). (Gambar: Ng Bing Hong/CNA)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 08:07PM
  • Ng Bing Hong dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan dilarang memandu selama empat tahun kerana memandu secara berbahaya di bawah pengaruh etomidate di Singapura.
  • Beliau membeli dua Kpod mengandungi etomidate melalui Telegram dan menghisapnya sebelum memandu di Pasir Ris, menyebabkan kemalangan kecil tanpa kecederaan.
  • Ini merupakan kes pertama selepas etomidate diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C, dengan Ng mengaku bersalah atas tiga tuduhan berkaitan dadah dan pemanduan berbahaya.
  • Pihak berkuasa melaporkan peningkatan kesalahan berkaitan Kpod dan etomidate, serta kaitan dadah ini dengan kemalangan maut di Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Selepas menghisap Kpod, iaitu vape yang dibubuh etomidate, seorang lelaki memandu secara berbahaya melawan arus trafik. Dia hampir melanggar dua penunggang motosikal sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Ng Bing Hong, 37 tahun, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan pada Isnin (29 Jun) dan diharamkan memandu selama empat tahun. Dia juga diperintah untuk membayar pampasan sebanyak S$490.50 kepada mangsa.

Ini merupakan kes kedua di mana seorang pesalah sabit kesalahan kerana memandu di bawah pengaruh etomidate, dan merupakan kes pertama seumpamanya selepas etomidate disenaraikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah menyusuli pindaan undang-undang.

Ng mengaku bersalah atas tiga tuduhan, termasuk memandu di bawah pengaruh etomidate, memandu secara berbahaya dan memiliki dua Kpod.

Tuduhan keempat dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

RENTETAN KES

Mahkamah diberitahu bahawa Ng membeli dua Kpod pada harga S$80 daripada seorang pembekal di Telegram dan menghisapnya menggunakan vape.

Sekitar pukul 8.50 malam pada 3 Januari 2026, tidak lama selepas menghisap Kpod, Ng memandu keretanya di Pasir Ris Drive 1 menghala ke Pasir Ris Drive 8 sebelum membelok ke kanan.

Dia memasuki lorong yang salah selepas hilang kesedaran buat seketika, lalu memasuki satu laluan berdekatan di Pasir Ris Drive 6, melawan arus trafik.

Mangsa melihat kereta Ng menghampirinya pada kelajuan yang perlahan lalu menekan brek dan membunyikan honnya, namun Ng terus memandu ke hadapan dan hampir melanggar dua penunggang motosikal.

Salah seorang daripada mereka menendang kereta Ng untuk memberi amaran bahawa dia sedang memandu melawan arus trafik, namun Ng terus memandu.

Mangsa mengundurkan keretanya bagi mengelakkan pelanggaran, tetapi kereta Ng melanggar kenderaannya, menyebabkan kesan calar. Sebahagian daripada bahagian hadapan kenderaan itu juga tertanggal.

Tiada yang cedera dalam kejadian tersebut. Mangsa membelanjakan S$490.50 untuk membaiki kenderaannya itu.

Mangsa menghubungi polis, yang kemudian menemukan barangan berkaitan vape di dalam kereta Ng.

Pemeriksaan lanjut menemukan vape dan pod pada Ng, manakala etomidate pula dikesan dalam darahnya.

Timbalan Pendakwa Darren Ang berkata di mahkamah bahawa etomidate ialah sejenis ubat hipnotik yang sepatutnya disuntik secara intravena di bawah pengawasan perubatan bagi tujuan anestesia am. Ia tidak sepatutnya diambil menerusi vape tanpa pertimbangan dos yang teliti.

"Etomidate boleh menyebabkan gejala psikiatri dan masalah perubatan lain, sebahagiannya dikaitkan dengan kemalangan trafik dan kematian luar biasa," kata Encik Ang.

Beliau menarik perhatian bahawa pihak berkuasa sudah menangkap dan mengenakan tindakan terhadap 2,589 orang atas kesalahan memiliki dan menggunakan vape. Daripada jumlah itu, 377 merupakan pesalah Kpod dari Januari hingga Mac 2026.

Antara 2023 dengan 2025, terdapat sebanyak 38 kemalangan lalu lintas yang dikaitkan dengan penggunaan dadah dan etomidate, dengan 19 daripadanya membawa maut. Daripada jumlah tersebut, sembilan melibatkan etomidate, kata Encik Ang, memetik laporan Straits Times.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita