Pengguna e-skuter mesti lulus ujian teori; 16 tahun ke atas untuk tunggang di laluan basikal
Para pengguna e-skuter mesti lulus ujian teori dan berusia sekurang-kurangnya 16 tahun untuk menggunakan peranti itu di laluan berbasikal.
SINGAPURA: Para pengguna e-skuter mesti lulus ujian teori dan berusia sekurang-kurangnya 16 tahun untuk menggunakan peranti itu di laluan berbasikal.
Ini selepas Pemerintah menerima semua saranan yang diusulkan oleh Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP), menurut Kementerian Pengangkutan pada Rabu (4 Dis).
Namun, tarikh penguatkuasaan peraturan-peraturan baru itu masih belum diumumkan.
Panel tersebut, yang ditubuhkan pada 2015 untuk mengkaji peraturan-peraturan berkaitan penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD), basikal dan peranti-peranti lain, sudah menyerahkan saranan-saranannya kepada Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada September lalu.
Saranan-saranan yang diusulkan adalah:
Insurans perlindungan pihak ketiga: Syarikat-syarikat perusahaan perlu mendapatkan perlindungan insurans pihak ketiga yang melindungi para pengguna e-skuter yang menunggangnya atas urusan kerja selain mempersiapkan industri dan masyarakat untuk beralih ke perlindungan insurans wajib bagi semua pengguna e-skuter.
Peraturan itu akan diperluaskan untuk melindungi semua pengguna alat mobiliti aktif yang lain, termasuk pengayuh basikal, pengguna basikal bermotor (PAB) dan alat bantuan mobilitii peribadi (PMA).
Ujian teori: Mewajibkan ujian teori ke atas pengguna e-skuter sebelum dibenarkan menunggangnya di laluan basikal.
Pemerintah menerima saranan-saranan yang diusulkan dan akan memperluaskannya untuk merangkumi para pengguna PAB yang menunggang di laluan basikal dan jalan raya.
Had usia minimum: Menetapkan had usia minimum 16 tahun untuk menggunakan e-skuter di laluan basikal. Mereka yang berusia bawah 16 tahun masih boleh menggunakan e-skuter di bawah penyeliaan orang dewasa.
Penggunaan telefon bimbit: Mengharamkan penggunaan telefon bimbit semasa menunggang alat mobiliti aktif di laluan-laluan awam, kecuali jika telefon bimbit itu dipasang atau digunakan dengan cara bebas tangan. Ia juga akan meliputi alat mobiliti aktif yang digunakan di jalan raya.
Kod Tatalaku bagi semua pengguna laluan awam: Memperkenalkan Kod Tatalaku mengenai cara berkongsi laluan awam dengan selamat.
Kod Tatalaku sedia ada yang memberi tumpuan kepada para pengguna peranti tersebut akan diperluaskan untuk meliputi garis pandu bagi menggalak para pejalan kaki supaya berada di sebelah kiri semasa menggunakan laluan pejalan kaki dan supaya semua pengguna sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
Menurut Kementerian Pengangkutan, Pemerintah akan berkerja rapat dengan panel berkenaan untuk melaksanakan saranan-saranan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.