Pengguna boleh guna wadah tunggal semak data kewangan akaun bank, pemerintah
Para pengguna berbilang akaun bank tidak lagi perlu log masuk ke wadah-wadah berbeza untuk menyemak data kewangan mereka, dengan pelancaran Pertukaran Data Kewangan Singapura (SGFinDex) pada Isnin (7 Dis), prasarana digital yang menggunakan sistem identiti digital nasional SingPass.
SINGAPURA: Para pengguna berbilang akaun bank tidak lagi perlu log masuk ke wadah-wadah berbeza untuk menyemak data kewangan mereka.
Ini dapat dilakukan dengan pelancaran Pertukaran Data Kewangan Singapura (SGFinDex) pada Isnin (7 Dis), prasarana digital yang menggunakan sistem identiti digital nasional SingPass.
Dengan memberikan persetujuan, para pengguna kini boleh memilih untuk mengumpulkan semua data kewangan mereka - baki akaun, kad kredit, pinjaman dan pelaburan - dari beberapa bank dan agensi pemerintah, dan menyemaknya di wadah pilihan mereka.
SGFinDex adalah daya usaha bersama oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) dengan kerjasama sektor kewangan.
Buat masa ini tujuh bank menyertainya – Citibank, POSB dan DBS Bank, HSBC, Maybank, OCBC, Standard Chartered Bank dan UOB.
Para pengguna juga dapat memperolehi data dari tiga agensi pemerintah - Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) - melalui MyInfo, wadah data sehenti Pemerintah.
Maklumat mengenai polisi insurans dan pemegangan saham di Tempat Simpanan Terpusat akan termasuk dalam fasa SGFinDex selanjutnya, namun garis waktu untuk pelan tersebut tidak didedahkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh MAS, SNDGG dan Persatuan Bank-Bank di Singapura pada Isnin.
BAGAIMANA IA BERFUNGSI
Pengguna boleh memilih untuk menyemak maklumat kewangan terkumpul mereka di mana-mana laman web perancangan kewangan atau aplikasi mudah alih tujuh bank itu.
Mereka yang bukan merupakan pelanggan tujuh bank yang mengambil bahagian boleh menggunakan perkhidmatan perancangan kewangan digital baru MyMoneySense.
Sekiranya para pengguna tidak mahu berkongsi data MyInfo mereka dengan pihak bank, mereka boleh menggunakan laman web MyMoneySense, menurut FAQ.
Kedua-dua pilihan tersebut memerlukan pengguna untuk log masuk menggunakan SingPass bagi mengesahkan identiti.
Selepas mereka log masuk, para pengguna akan dibawa ke laman SGFinDex di mana mereka boleh memberi persetujuan kepada bank-bank pilihan mereka untuk mengeluarkan data mereka. Selepas membuat pemilihan, mereka akan dibawa ke portal bank masing-masing untuk pengesahan tahap kedua.
Setelah berjaya, bank-bank tersebut akan dipaparkan di halaman SGFinDex sebagai institusi kewangan yang tersambung.
Para pengguna kemudian akan dibawa semula ke wadah pilihan mereka - sama ada aplikasi atau laman web bank, atau MyMoneySense Pemerintah - di mana mereka dapat melihat maklumat berikut:
Dari bank-bank yang diberi kebenaran untuk mengeluarkan data:
- Akaun semasa dan simpanan, simpanan tetap dan akaun bersama (Baki akaun akhir bulan untuk empat bulan terakhir)
- Kad kredit (Baki penyata bagi empat bulan terakhir)
- Pinjaman bercagar dan tidak bercagar (baki penyata bulan sebelumnya)
- Unit amanah (baki akaun bulan sebelumnya)
Dari agensi pemerintah:
- Baki terkini yang tersedia di semua akaun CPF (Hanya untuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap)
- Baki pinjaman HDB tertunggak terkini atau ansuran pinjaman bulanan
- - Pendapatan taksiran tahunan terkini dari Notis Penilaian IRAS
Persetujuan pengguna sah selama setahun sejak pertama kali diberikan, dan boleh dibatalkan pada bila-bila masa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.