Pengguna analitik data raih manfaat dengan pindaan Akta Hak Cipta
Pindaan-pindaan yang diusulkan terhadap Akta Hak Cipta boleh memberi manfaat kepada industri-industri yang terlibat dalam analitis data.
SINGAPURA: Pindaan-pindaan yang diusulkan terhadap Akta Hak Cipta boleh memberi manfaat kepada industri-industri yang terlibat dalam analitis data. Ini dengan memudahkannya untuk menghasilkan dan memanfaatkan inovasi, kata para pemain industri kepada Mediacorp pada Jumaat (18 Jan).
Pada Khamis (17 Jan), Kementerian Undang-Undang (MinLaw) mengeluarkan satu laporan yang menggariskan pindaan-pindaan yang diusulkan terhadap Akta itu menyusuli semakan dan perbincangan awam yang dijalankan selama tiga tahun.
Antara pindaan yang diusulkan itu adalah pengecualian baru untuk membenarkan para pengguna menyalin data yang diakses secara sah bagi analitis data.
Syarikat-syarikat analitis data menjana dan menganalisis data bagi menghasilkan huraian perniagaan dan menyesuaikan pengalaman pelanggan. Data yang digunakan dikumpul daripada pelbagai sumber seperti lelaman yang dilungsuri pengguna, tabiat pembelian online serta perbualan bersama rakan-rakan dan syarikat-syarikat menerusi media sosial.
Bagaimanapun, para pengguna atau syarikat-syarikat yang menyalin data bagi tujuan analisis mungkin melanggar hak cipta kerana ia biasanya melibatkan penyalinan karya-karya yang dilakukan secara besar-besaran, yang mungkin dilindungi oleh hak cipta.
"Perniagaan kami melibatkan data dan ia merupakan salah satu aset paling penting dalam abad ke-21. Oleh itu, kami harus berhati-hati dan memastikan kami menjana data mengikut rangka kerja undang-undang dan kawal selia yang ditetapkan oleh Pemerintah," kata Ketua Pegawai Huraian Lynx Analytics, Amit Akhelikar.
Menurut laporan MinLaw, "sokongan padu" diterima bagi memperkenalkan pengecualian itu dengan pihak berkepentingan seperti para pereka, ahli akademik dan persatuan-persatuan industri akur akan nilai langkah berkenaan, yang boleh mendedahkan "maklumat-maklumat yang dapat digunakan dan dimanfaatkan oleh masyarakat".
Encik Akhelikar berkata sama seperti sofwe sumber terbuka yang dihasilkan dan disebarkan bagi penggunaan awam, "data itu boleh diakses oleh semua orang" sekaligus mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru dan memberi manfaat kepada para pengguna.
Sebuah lagi syarikat pemula yang boleh meraih manfaat daripada langkah itu adalah portal hartanah 99.co, yang mengumpul dan menganalisis data yang disediakan kepada awam seperti sumber-sumber Pemerintah. Ini bagi menghasilkan model unjuran harga dan alat penganalisis pasaran untuk para pengguna.
"Sudah tentu kami akan dapat mengakses data baru yang sebelum ini tidak disediakan kepada kami disebabkan oleh hak cipta atau sebab-sebab lain," kata Ketua Arkitek 99.co, Eric Ng.
Meskipun Encik Ng berkata langkah itu akan menggalak lebih banyak invoasi dalam kalangan industri yang menggunakan data raya dan analitis data, beliau berkata masih lagi terdapat satu cabaran iaitu: "Kebanyakan syarikat enggan mengongsi data kerana ia memberikannya kelebihan berbanding para pesaing masing-masing."
"Apa yang saya ingin melihat adalah industri-industri lain yang mengongsi datanya untuk membantu industri kami," kata Encik Ng. "Misalnya, Penguasa Pengangkutan Darat menyediakan data pengangkutan, tetapi terdapat juga sumber data pengangkutan lain yang dapat digunakan oleh kami. Jika syarikat-syarikat itu mengongsi data, sudah tentunya ia boleh membantu kami meskipun kami bukan pesaing langsung."
"Jika lebih banyak syarikat (mengongsi) data tersebut, seluruh negara ini akan menjadi lebih maju kerana semua orang kini boleh meraih manfaat daripada karya satu sama lain... Ia mempertingkatkan seluruh industri dan bukan setakat diri sendiri sahaja."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.