Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengguna ActiveSG rungut kesukaran peralihan ke platform tempahan baharu, sifatkan sebagai lebih membingungkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pengguna bagi platform ActiveSG, yang digunakan untuk menempah kemudahan sukan awam, menyuarakan rasa kurang senang terhadap peralihan kepada sistem baharu berasaskan web. Sebilangan pengguna malah, berkongsi rasa bingung kerana tidak dapat menggunakan pas kemasukan daripada platform sebelumnya.

Ini mengakibatkan pengguna berdepan dengan kelengahan ketika memasuki kemudahan sukan itu memandangkan mereka perlu membeli pas baharu.

Ada juga yang merungut mengenai kerumitan dalam membuat pembayaran tanpa e-dompet - sebuah fungsi yang tersedia dalam platform tempahan sebelum ini.

Kemudahan sukan ActiveSG yang dikendalikan pemerintah, terletak di serata Singpapura, dan pengguna boleh menempah kemudahan seperti gelanggang badminton, atau membeli pas untuk memasuki kolam renang serta gim.

Agensi yang bertangunggjawab itu, Sport Singapore (SportSG), memperkenalkan platform tempahan baharu tersebut yang dipanggil MyActiveSG+ pada Jun tahun ini untuk membendung penggunaan bot dan berbilang akaun bagi menempah kemudahan sukannya. SportSG mula menghapuskan fungsi tertentu yang berkaitan dengan platform tempahan lama - yang merupakan sebuah aplikasi tempahan web dan mudah alih - sebelum Jun lalu.

Meskipun pengguna telah berdepan dengan masalah pada peringkat awal sejak pelancaran pada Jun lalu, lebih banyak aduan muncul selepas beberapa orang menyedari bahawa mulai Khamis (15 Ogos), mereka tidak boleh memasuki kemudahan dengan pas yang dibeli daripada platform lama.

Tidak seperti platform sebelumnya, MyActiveSG+, berasaskan web, yang bermakna pengguna tidak lagi perlu memuat turun aplikasi. Mereka akan dikehendaki mendaftar dan log masuk dengan Singpass mereka demi menghalang orang ramai daripada memegang berbilang akaun atau menggunakan bot bagi tempahan.

Antara 2021 dengan Mac 2023, lebih 200 akaun ActiveSG digantung kerana disyaki menggunakan bot untuk menempah kemudahan sukan. Lebih daripada 600 tempahan dibatalkan disebabkan "jualan semula" - apabila pengguna menjual slot yang ditempah mereka kepada pihak lain.

Pada Julai lalu, Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) melaporkan terdapat 18 akaun milik ahli yang sudah meninggal dunia, disalahgunakan pengguna yang memasuki kolam renang dan gim ActiveSG sebanyak 283 kali.
MyActiveSG+ akan menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan insiden sedemikian daripada berlaku, jelas SportSG kepada AGO dalam jawapannya kepada laporan tersebut. Platform yang diperbaharui tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan akses yang mudah dan adil bagi tempahan kemudahan serta program sukan.

Aplikasi ActiveSG yang sedia ada akan berhenti beroperasi pada 1 Oktober nanti.

TIADA LAGI MYCASH

Sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, MyCash, iaitu e-dompet di mana pengguna boleh menambah nilai untuk membayar pembelian mereka melalui aplikasi ActiveSG itu, berhenti beroperasi pada Rabu, dengan sebarang baki dipulangkan kepada akaun bank yang dikaitkan kepada PayNow-NRIC mereka selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Gambar: Koh Wan Ting/CNA
Cik Joelle Ong, yang menempah kelas melalui ActiveSG, berkata membuat pembayaran telah menjadi lebih "menyusahkan" kerana dia terpaksa menggunakan kad kreditnya setiap kali dia mendaftar bagi kelas. Dengan MyCash sebelum ini, dia boleh menggunakan kod QR untuk membayar, dengan yuran ditolak daripada bakinya.

Dia juga tidak pasti bagaimana untuk menghubungkan akaun anak-anaknya kepada akaunnya pada platform baharu itu tetapi berkata bahawa dia akan mengetahui caranya hujung minggu ini apabila dia membawa mereka berenang.

Perubahan dalam kemasukan ke gim dan kolam renang ActiveSG juga telah membingungkan para pengguna, yang tidak lagi dapat menggunakan pas, yang dibeli melalui aplikasi ActiveSG, sejak Khamis lalu. Mereka sebaliknya, perlu membeli pas melalui platform baharu tersebut dan menunjukkan pas digital itu kepada kakitangan yang sedang bertugas apabila ingin memasuki kemudahan sukan sedemikian.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan