Skip to main content

Singapura

Penggodam data antarabangsa diberkas dalam operasi bersama SG-Thai

Penggodam yang disyaki melakukan beberapa pencerobohan data antarabangsa diberkas di Thailand pada Rabu (26 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Penggodam data antarabangsa diberkas dalam operasi bersama SG-Thai

Seorang lelaki berusia 39 tahun diberkas hasil kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Thailand (RTP). (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 02:20PM
  • Lelaki berusia 39 tahun itu diberkas hasil kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Thailand (RTP).
  • Siasatan mendapati bahawa identi-identiti itu mungkin terkait dengan pelaku sama yang bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 75 kes penggodaman di seluruh dunia.
  • Menyusuli penangkapan lelaki itu, aset-aset bernilai lebih 10 juta baht (AS$295,000) dirampas, termasuk komputer riba, telefon bimbit, kenderaan mewah dan beg-beg berjenama.
  • Nama alias ALTDOS pertama kali muncul pada hujung 2020 apabila firma perdagangan sekuriti di Thailand mula-mula menjadi mangsa penggodaman data, menurut kenyataan bersama Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan SPF.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Penggodam yang disyaki melakukan beberapa pencerobohan data antarabangsa diberkas di Thailand pada Rabu (26 Feb).

Lelaki berusia 39 tahun itu diberkas hasil kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Thailand (RTP).

Siasatan ke atas aktiviti penggodam itu bermula pada 2020, apabila 11 mangsa di Singapura diugut untuk membayar wang tebusan daripada pelaku yang beroperasi di bawah identiti seperti ALTDOS, DESORDEN, GHOSTR, dan 0mid16B, menurut SPF dalam kenyataan medianya pada Khamis 927 Feb).

Siasatan mendapati bahawa identi-identiti itu mungkin terkait dengan pelaku sama yang bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 75 kes penggodaman di seluruh dunia.

"Pelaku disyaki telah mengeksploitasi kelemahan dalam rangkaian mangsa sebelum mencuri data mangsa," kata SPF.

"Pelaku juga disyaki menerbitkan data yang dicuri untuk dijual secara online apabila mangsa gagal membayar wang tebusan yang diminta."

Para pegawai dari unit jenayah siber Jabatan Siasatan Jenayah (CID) bekerja rapat dengan Biro Siasatan Pusat (CIB) Thailand untuk berkongsi hasil siasatan terhadap pelaku, yang juga dipercayai bertanggungjawab ke atas siri kes penggodaman data di Thailand, kata SPF.

Identiti lelaki itu dikenal pasti berdasarkan petunjuk yang ditemui, tambahnya.

Menyusuli penangkapan lelaki itu, aset-aset bernilai lebih 10 juta baht (AS$295,000) dirampas, termasuk komputer riba, telefon bimbit, kenderaan mewah dan beg-beg berjenama.

Komander Unit Jenayah Siber SPF Penolong Pesuruhjaya Polis Paul Tay berkata: "Dalam alam siber, kerjasama antarabangsa penting kerana penjenayah siber tidak menghormati sempadan."

"SPF komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi serantau kami, dan kami berterima kasih kepada Polis Diraja Thailand atas kerjasama yang tidak ternilai mereka dalam membanteras rangkaian jenayah ini dan menjadikan ruang siber kami lebih selamat."

Siasatan lanjut sedang dijalankan, kata SPF.

Nama alias ALTDOS pertama kali muncul pada hujung 2020 apabila firma perdagangan sekuriti di Thailand mula-mula menjadi mangsa penggodaman data, menurut kenyataan bersama Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan SPF.

Para mangsa juga termasuk mereka dari Singapura dan Bangladesh, dengan ALTDOS menyasarkan syarikat-syarikat perniagaan.

Pada Ogos 2021, agensi hartanah OrangeTee & Tie menerima emel daripada ALTDOS, menuntut wang tebusan sebanyak 10 Bitcoin untuk tidak mendedahkan pangkalan data syarikat itu. Ugutan sedemikian juga mengandungi rakaman video lima pangkalan data yang dikatakan telah dicuri.

Agensi itu kemudian didenda S$37,000 oleh PDPC selepas mendapati beberapa kesilapan yang menyebabkan data peribadi lebih 250,000 pelanggan dan pekerja terjejas.

Dalam kenyataan bersama yang lain, pihak berkuasa menyatakan bahawa GHOSTR muncul pada Ogos 2023, menyasarkan entiti-entiti di Asia Tenggara. Ia terkenal kerana mencuri, menuntut wang tebusan dan menjual maklumat sulit milik mangsanya.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita