Skip to main content

Singapura

Penggiat warisan & muzium SG kongsi kepakaran dalam bengkel di Jakarta

Anggaran Waktu Membaca:
Penggiat warisan & muzium SG kongsi kepakaran dalam bengkel di Jakarta

(Gambar: Agensi Warisan Indonesia)

SINGAPURA: HeritageSG buat julung-julung kalinya bekerjasama dengan Agensi Warisan Indonesia untuk menganjurkan sebuah bengkel pendidikan di Jakarta.

Ia bertujuan membina asas yang kukuh bagi usaha melestarikan warisan dan amalan-amalan muzium.

Selama tiga hari, para peserta membongkar cara-cara untuk melakarkan program-program pendidikan muzium secara inklusif dan lebih mudah diakses.

Selain 25 peserta yang menghadirinya secara fizikal, bengkel itu turut disiarkan menerusi Zoom bagi jangkauan lebih luas.

Para peserta turut dibimbing untuk meneroka cara-cara kreatif untuk memastikan muzium dapat terus menarik masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Menurut HeritageSG, sebuah badan di bawah Lembaga Warisan Negara (NHB), kerjasama itu juga merupakan permulaan bagi kerjasama lebih kukuh merentasi Asia Tenggara untuk membangunkan amalan-amalan muzium yang lebih inklusif.

Bengkel itu dikendalikan oleh Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium HeritageSG, Asmah Alias, Zinnurain Nasir dan Pengarah dan penggiat seni teater, Mohd Fared Jainal.
Para peserta bengkel pendidikan muzium anjuran Heritage SG bersama Agensi Warisan Indonesia (Gambar: Agensi Warisan Indonesia)
Sebelum ini, Cik Asmah dan Encik Fared pernah bekerjasama mengendalikan bengkel di Persidangan Pendidikan tahunan Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) di Athens, Greece pada tahun lalu.

Mereka juga merupakan anggota lembaga Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Cik Asmah berkata: "Kami sangat berbesar hati diundang oleh Agensi Warisan Indonesia untuk berkongsi dan belajar juga bersama para karyawan muzium dari Indonesia. Bengkel ini bukan sahaja memberi fokus kepada teknik dan peralatan bahkan memupuk satu komitmen bersama terhadap akses, pemikiran kreatif dan rasa empati di dalam muzium."

Seorang peserta bengkel itu, Cik Yusti Muslimawati dari Muzium dan Cagar Budaya Indonesia berkata: "Para pakar bukan sahaja mengajar teori, memberikan gambaran idealisme muzium tetapi kita juga diajak memikirkan masalah muzium kita Kita juga diberi arahan untuk menyelesaikan masalah-masalah dan cuba pastikan kami melaksanakan amalan-amalan terbaik untuk para pengunjung kita.
Para peserta di bengkel pendidikan muzium (Gambar: Agensi Warisan Indonesia)
"Kegiatan-kegiatan yang diadakan sangat baik. Ia membuka wawasan untuk saya untuk selalu berinovasi dan menerka hal-hal kreatif untuk kunjungan muzium. Kami akan cuba memberikan layanan terbaik untuk para pengunjung muzium," kata Encik Bhakti Setiawan A, kakitangan Muzium Sumpah Pemuda pula.

Di Singapura, HeritageSG antara lain mengendalikan Muzium Kanak-kanak dan Renungan di Bukit Chandu.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita