Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggiat seni & pengkaji sejarah makanan Melayu, Khir Johari antara 89 diiktiraf di Majlis Anugerah Penaung Warisan NHB

Anggaran Waktu Membaca:
 Penggiat seni & pengkaji sejarah makanan Melayu, Khir Johari antara 89 diiktiraf di Majlis Anugerah Penaung Warisan NHB

(Dari kiri: Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong, Penggiat seni dan pengkaji sejarah makanan Melayu, Khir Johari) (Gambar: NHB)

SINGAPURA: Penggiat seni dan pengkaji sejarah makanan Melayu, Khir Johari terpilih menjadi antara 89 penerima Anugerah Penaung Warisan (POHA) tahun ini.

Jumlah penerima itu adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Anugerah anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) itu mengiktiraf sumbangan berharga para individu dan pertubuhan kepada muzium serta sektor warisan negara.

SUMBANGAN WANG TUNAI DAN ARTIFAK BERJUMLAH S$11.6 JUTA DITERIMA

Secara keseluruhan, mereka telah menyumbang lebih daripada S$11.6 juta dalam bentuk wang tunai dan artifak bagi menyokong kesinambungan sektor warisan negara.

Dalam majlis penyampaian anugerah itu di Muzium Tamadun Asia (ACM) malam ini tadi (Selasa, 24 Sep) Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong berkata sumbangan mereka membantu memperkayakan budaya dan meluaskan landskap warisan Singapura.

Beliau menambah bahawa ini adalah sebahagian daripada usaha Our SG Heritage Plan 2.0, yang merupakan pelan induk untuk sektor warisan.

"Warisan bersama kita membentuk diri kita sebagai sebuah negara pada hari ini, dan ia menyumbang kepada identiti kita yang sentiasa berkembang. Adalah penting juga agar ini menjadi warisan yang hidup. Kita mahu generasi akan datang di Singapura tidak hanya membaca tentang warisan kita dalam buku sejarah, tetapi untuk merasakannya, mengalaminya, menyentuhnya, dan membiarkan pengalaman warisan itu menjadi intipati identiti kita," kata Encik Tong.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada para penderma atas sumbangan mereka dalam memperkayakan budaya dan memperluas landskap warisan Singapura.

"Sumbangan-sumbangan ini membantu kami memperkayakan budaya Singapura dan memperluas landskap warisan, bukan hanya untuk rakyat Singapura hari ini, tetapi juga untuk generasi akan datang.

"Dengan kerjasama anda semua, usaha kolektif kita telah meningkatkan kekayaan dan pertingkatkan koleksi kami serta memperbaiki akses kepada warisan untuk audiens yang lebih luas, memberikan perspektif baharu dan kepakaran dalam sektor ini, yang penting untuk memastikan kelangsungannya. Kita telah memperkuat impak warisan kepada masyarakat kita," kata Encik Tong.

KHIR JOHARI TERIMA ANUGERAH PENAUNG WARISAN (POHA)

Antara individu yang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka adalah penulis buku "The Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through the Archipelago", Encik Khir Johari.

Beliau menekankan bahawa Muzium Tamadun Asia memainkan peranan penting sebagai badan yang mendokumentasikan, mengumpul, dan mempamerkan artifak seni budaya dan warisan di rantau Asia.

Encik Khir juga menegaskan betapa pentingnya menyokong usaha ACM.

"Saya rasa penting bagi kita mendokong, bukan hanya untuk kita meraikan 25 tahun ACM tetapi juga kita memikirkan masa depan dengan hasrat di mana kita boleh selanjutnya mengabadikan bahan-bahan ini untuk dipelihara dan untuk sebagai satu bahan pendidikan untuk memahami Asia dan identiti kita," kongsi Encik Khir.

Menurutnya banyak lagi usaha lain yang boleh dilakukan untuk menyumbang.

"Saya rasa amatlah perlu kita memelihara tamadun kita. Itu sebenarnya akan kita dapat abadikan untuk generasi akan datang. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menyumbang, tidak hanya sekadar dengan kewangan tapi kita boleh menyumbang dari segi masa, tenaga dan usaha untuk melestarikan, memartabatkan cerita tamadun Asia," kata Encik Khir.

SUMBANGAN PENDERMA BERJUMLAH LEBIH $11.6 JUTA

Secara keseluruhan, pertubuhan seni dan penggiat seni telah menyumbangkan lebih daripada S$11.6 juta dalam bentuk pendermaan artifak tahun lalu.

Sumbangan itu termasuk lebih daripada 450 artifak daripada keluarga Encik Tan Koon Yong dan Cik Ong Kue Neo, pemilik perusahaan pembuatan batik terbesar di Singapura.

Artifak yang disumbangkan merangkumi 400 setem tembaga dan besi serta 56 fabrik dan pakaian pada tahun 2023.

Daripada setem yang disumbangkan, 107 telah dipamerkan dalam pameran khas ACM bertajuk "Batik Kita: Dressing in Port Cities", yang berlangsung dari 17 Jun hingga 2 Oktober 2022.

Antara pertubuhan lain yang menyumbang dan menggalakkan inklusiviti dalam rekaan mereka adalah syarikat RSP Architects Planners & Engineers (Pte) Ltd, yang memberi tumpuan kepada warga emas.

Pertubuhan dari sektor lain juga menyumbang untuk memperkasakan ekosistem sejarah di sini, termasuk Samsung Electronics Singapore Pte Ltd dan Jewel Lapangan Terbang Changi.

EDISI KHAS MINUMAN YEO'S & LAWATAN BERPANDU

Dalam majlis makan malam tersebut, para tetamu dijemput untuk menikmati minuman teh bunga yang direka khas dengan kerjasama syarikat Yeo's.

Bungkusan air itu dihiasi dengan bunga kebangsaan Singapura, iaitu bunga anggerik Vanda Miss Joaquim.

Sebagai sebahagian daripada acara itu, para tetamu juga dijemput untuk menyertai lawatan berpandu di ACM.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan