Skip to main content

Singapura

Penggiat muzik tradisional Melayu Syafiqah ’Adha terima Anugerah Artis Muda 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Penggiat muzik tradisional Melayu Syafiqah ’Adha terima Anugerah Artis Muda 2025
Syafiqah ’Adha Sallehin dipilih sebagai salah satu penerima Anugerah Artis Muda (CMYAA) 2025. (Gambar: NAC) 

SINGAPURA: Pengarah muzik, pendidik dan penggiat muzik tradisional Melayu Syafiqah ’Adha Sallehin diikitiraf dengan Anugerah Artis Muda atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang seni.

Beliau di antara tujuh penerima Anugerah Pingat Budaya dan Artis Muda (CMYAA) tahun ini, yakni antara pengiktirafan seni paling berprestij buat para penggiat seni dan budaya tempatan.

Anugerah Pingat Budaya disampaikan Presiden Tharman Shanmugaratnam manakala Anugerah Artis Muda disampaikan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo, di Istana pada Khamis (27 Nov).

Menurut Syafiqah, anugerah tersebut membawa makna mendalam dalam perjalanannya memartabatkan muzik tradisonal Melayu.

"Saya berasa amat teruja dan berbesar hati atas penerimaan anugerah ini kerana ia adalah, buat saya adalah suatu pengesahan atas segala usaha yang telah saya lakukan sebagai seorang pemuzik di Singapura," kata Syafiqah.

Beliau yang juga seorang pemain akordian telah memperluaskan potensi warisan seni negara melalui karya-karyanya.

Malah, karya-karyanya telah dipersembahkan di dalam dan luar negara.

Ia mempamerkan suara komposisi yang unik hasil gabungan latihan muzik klasik Barat dan amalan muzik tradisional Melayu.

Antara projek terbaharunya ialah 'Reminiscing Geylang Serai' (2024), sebuah simfoni berbilang etnik.

Syafiqah turut menyumbang tenaganya sebagai salah seorang pengarang muzik dalam ‘Southeast Asian Golden Age Symphony’.

Beliau juga pengarang muzik wanita Melayu pertama yang karya-karyanya dimainkan Orkestra Simfoni Singapura.

SUMBANGAN TERBESAR

Sejak 2009, Syafiqah memimpin Gendang Akustika, sebuah kumpulan tradisional kontemporari yang menjadi platform utama dalam usaha memartabatkan muzik tradisional Melayu di Singapura.

"Saya rasa sumbangan yang terbesar yang telah saya lakukan untuk meluaskan lagi landskap muzik Melayu tradisional di Singapura adalah melalui usaha saya dalam kumpulan Gendang Akustika.

"Saya telah lama bergiat dalam kumpulan Gendang Akustika selama 16 tahun sebagai seorang pengarah muzik dan dalam masa itu, Gendang Akustika telah banyak tampil dalam ataupun di persada seni Singapura serta di kalangan masyarakat melalui persembahan di majlis persandingan," kongsi Syafiqah.

Tambah beliau antara pencapaian terbesar kumpulan itu adalah konsert 'Dendang Warisan: Kota Singa' pada 2023.

"Di dalam konsert itu, saya telah tampilkan beberapa lagu tradisional rekaan karya saya sendiri yang bertemakan tanah air. Ini adalah untuk memperkayakan lagi karya-karya muzik tradisional Melayu yang datangnya daripada Singapura dan ditulis oleh anak Melayu Singapura sendiri," kata Syafiqah.
MENGGABUNGKAN MUZIK TRADISIONAL DAN KONTEMPORARI

Sebagai pengarah muzik yang terlatih dalam muzik klasik Barat dan muzik tradisional Melayu, Syafiqah mengatakan bahawa kedua-duanya mempunyai "bahasa" mereka yang tersendiri.

Peranannya adalah untuk mengolah kedua-dua "bahasa" muzik itu dengan sensitif.

"Saya harus mempunyai perasaan yang sensitif dan saya peka terhadap menggabungkan elemen-elemen tradisional dan moden supaya karya itu menjadi suatu yang padu dan kohesif.

"Satu kaedah contohnya adalah seperti menggabungkan harmoni kontemporari dengan penggunaan melodi-melodi yang berbaur keaslian Melayu dalam komposisi saya," kata Syafiqah.

KOLABORASI RENTAS BUDAYA

Di negara berbilang kaum seperti Singapura, Syafiqah melihat muzik sebagai jambatan untuk menyatukan masyarakat yang semakin rencam.

"Musik tradisional Melayu itu mempunyai bahasanya yang tersendiri, ramai orang terutama yang bukan Melayu tidak begitu mendalami kehalusan seni muzik tradisional Melayu," kata Syafiqah.

Dengan itu, beliau menarik perhatian akan pentingnya kolaborasi rentas budaya.

"Kolaborasi rentas budaya menjadi suatu wadah di mana kita dapat menjinakkan orang ramai kepada muzik tradisional Melayu dan ini juga mencerminkan keharmonian kaum yang wujud dalam masyarakat majmuk Singapura.

"Jadi saya rasa kolaborasi ini adalah sesuatu yang penting kerana ia memajukan muzik tradisional kita," tambahnya.

Dengan geran $20,000 yang diterima, Syafiqah merancang untuk terus memperjuangkan karya dan tradisi Melayu di sini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita