Skip to main content

Singapura

Penggantungan kawasan larangan Pasir Gudang, ILS Lapangan Terbang Seletar hingga Mac

Singapura menerima saranan balas Malaysia untuk melanjutkan penggantungan kawasan larangan Pasir Gudang dan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar sehingga hujung Mac, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Penggantungan kawasan larangan Pasir Gudang, ILS Lapangan Terbang Seletar hingga Mac

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan. (Gambar: Khaw Boon Wan/Facebook)

Diterbitkan : 25 Jan 2019 08:22PM Dikemas Kini : 25 Jan 2019 08:39PM

SINGAPURA: Singapura menerima saranan balas Malaysia untuk melanjutkan penggantungan kawasan larangan Pasir Gudang dan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar sehingga hujung Mac, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (25 Jan).

Ini selepas Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke ditukil oleh media negara itu sebagai berkata bahawa Putrajaya menyarankan 31 Mac sebagai tarikh akhir lanjutan tersebut berbanding 31 Mei yang disarankan oleh Encik Khaw semasa mesyuarat antara kedua-dua pemimpin itu pada Rabu (23 Jan).

Menulis di laman Facebooknya, Encik Khaw berkata: "Satu idea yang baik adalah menggesa para pegawai kami supaya mengambil langkah susulan dengan secepatnya selepas persetujuan dicapai antara kedua-dua menteri untuk bergerak ke hadapan."

Beliau menambah bahawa Penguasa Penerbangan Awam Singapura dan Penguasa Penerbangan Awam Malaysia sudahpun mengeluarkan notis-notis baru kepada kakitangan udara pada pukul 6.00 petang bagi menguatkuasakan keputusan tersebut.

"Saya berbesar hati melihat kedua-dua badan pengawal selia bekerjasama bagi kepentingan lebih besar iaitu keselamatan dan kecekapan penerbangan awam di ruang udara kami yang sesak."

Awal hari ini (25 Jan), Encik Loke dilaporkan berkata: "Perdana Menteri (Malaysia) berkata tempoh penggantungan itu terlalu panjang dan ia perlu dipendekkan kepada 31 Mac."

Pada Rabu (23 Jan), Encik Khaw menulis di laman Facebooknya bahawa beliau sudah mengadakan "perbincangan dari hati ke hati" bersama Encik Loke di Singapura.

"Saya menyarankan agar kita lanjutkan tempoh penggantungan bersama Kawasan Larangan Malaysia di Pasir Gudang dan prosedur Sistem Pendaratan Alatan Singapura di Lapangan Terbang Seletar bagi memberi para pegawai lebih banyak masa untuk berbincang demi mencapai huraian yang saling menguntungkan," kata Encik Khaw.

"Beliau akan menyampaikan saranan saya kepada rakan-rakan Kabinetnya."

Ini merupakan kali ketiga kedua-dua menteri itu mengadakan pertemuan, kata Encik Khaw selepas pertemuan di Putrajaya dan Bangkok tahun lalu. Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengadakan pertemuan sekali lagi selepas sambutan Tahun Baru Cina bagi meneruskan perbincangan mengenai ruang udara.

Pada 8 Januari, Malaysia diumumkan akan menggantung serta merta kawasan larangan tetapnya di ruang udara Pasir Gudang, sementara Singapura pula akan menggantung pelaksanaan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan bagi Lapangan Terbang Seletar.

Penggantungan itu akan dilaksanakan selama sebulan, kata menteri ehwal luar dari kedua-dua negara menyusuli satu mesyuarat yang diadakan di Singapura bagi membincangkan isu-isu dua hala.

Singapura dan Malaysia terlibat dalam pertikaian berhubung pelaksanaan prosedur ILS baru bagi Lapangan Terbang Seletar, yang menurut Malaysia akan menghambat pembinaan bangunan-bangunan tinggi di Pasir Gudang, yang terletak di utara lapangan terbang berkenaan.

Singapura bagaimanapun tidak bersetuju.

Prosedur ILS merujuk kepada kemudahan penerbangan di lapangan terbang berkenaan yang memberi panduan kepada pesawat yang berlepas atau meghampiri landasan.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita