Skip to main content

Singapura

Penggabungan Grab & Trans-cab boleh halang kemasukan, peluasan platform khidmat kereta sewa pesaing

Anggaran Waktu Membaca:
Penggabungan Grab & Trans-cab boleh halang kemasukan, peluasan platform khidmat kereta sewa pesaing

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 16 Oct 2023 04:45PM
SINGAPURA: Pengambilalihan yang diusulkan syarikat Grab ke atas pengendali teksi Trans-cab boleh menjejas bagaimana para pemandu yang berkerja di bawah pengendali teksi itu menggunakan platform khidmat kereta sewa lain, menurut badan pemerhati persaingan Singapura pada Isnin (16 Okt).

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) menambah bahawa ini mungkin "mewujudkan halangan terhadap usaha peluasan dan kemasukan" bagi platform pesaing, disebabkan peri pentingnya skala dalam industri berkenaan.

Kebimbangan tersebut, yang dibangkitkan sebagai sebahagian daripada maklum balas daripada tokoh industri, tidak sejajar dengan hakikat bahawa di bawah rangka kerja pengawalseliaan pengangkutan bagi sektor khidmat teksi dan kereta sewa privet atau 'point-to-point', pengendali khidmat kereta sewa yang berlesen tidak dibenarkan untuk menguatkuasakan aturan eksklusif untuk mengelak pemandu mereka daripada menggunkan platform-platform lain.

Jika penggabungan tersebut - yang pertama kali diumumkan pada Julai - diluluskan, cabang syarikat kereta sewa privet Grab akan memperoleh 100 peratus saham Trans-cab, iaitu pengendali teksi ketiga terbesar di Singapura dengan lebih 2,500 kenderaan.

Kedua-dua pihak menjangkakan perjanjian tersebut dimeterai pada suku keempat 2023, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat-syarat pemindahan lain.

CCCS - sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan - sudah berusaha untuk mendapatkan maklum balas awam pada Ogos mengenai bagaimana langkah tersebut boleh menjejas harga, mutu dan jumlah khidmat oleh pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet, antara lain.

Grab dan Trans-cab menarik perhatian bahawa pemerolehan tersebut tidak akan mengakibatkan pengurangan ketara dari segi persaingan dalam pasaran tersebut, memandangkan terdapat "pertindihan minimum" antara kedua-duanya; kekurangan larangan yang menghalang kemasukan; dan pasaran sewa yang sangat berpecah belah dan berdaya saing.

Pada Isnin, CCCS menyatakan, dalam satu kenyataan media sejurus selepas selesai semakan semula awal, ia "tidak dapat menyimpulkan" bahawa pemerolehan yang diusulkan itu tidak akan membangkitkan sebarang kebimbangan dari segi persaingan.

Ia sudah menyuarakan kebimbangan ini kepada Grab dan Trans-cab, dan akan "menyemak semula kesan persaingan berkait pemerolehan yang diusulkan itu dengan lebih terperinci".

Pada ketika ini, kedua-dua pihak tersebut mungkin menawarkan apa yang disifatkan CCCS sebagai "komitmen", bagi menangani kebimbangan persaingan yang mungkin timbul menyusuli penggabungan tersebut. Ini merujuk kepada langkah-langkah untuk memulihkan, mengurangkan atau mengelakkan pengurangan persaingan yang ketara atau mana-mana kesan teruk yang tercetus daripada perjanjian berkenaan.

Jika tidak, pemerhati tersebut akan meneruskan pelaksanaan semakan semula yang lebih terperinci berhubung pemerolehan yang diusulkan itu.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita