Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengewap elektronik, perkakas bernilai lebih S$13,000 dirampas

Ribuan alat pengewap elektronik dan perkakas berkaitan bernilai lebih S$13,000 dirampas setelah para pegawai dari Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mematahkan tiga percubaan menyeludup di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ribuan alat pengewap elektronik dan perkakas berkaitan bernilai lebih S$13,000 dirampas setelah para pegawai dari Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mematahkan tiga percubaan menyeludup di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Dalam satu kenyataan media bersama dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (25 Mei), ICA menyatakan para pegawainya menemui 3,200 alat pengewap elektronik dan lebih 17,000 perkakas berkaitan yang disembunyikan di beberapa tempat dalam tiga lori berdaftar di Malaysia pada 9 Mei dan 13 Mei.

Pada 9 Mei, para pegawai ICA membongkar satu percubaan untuk menyeludup 8,520 pod isi semula alat pengewap elektronik ke Singapura menerusi sebuah lori berdaftar di Malaysia yang mengangkut konkrit prapasang.

Para pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas mengarahkan lori itu supaya menjalani pemeriksaan lanjut dan menemui pod tersebut disembunyikan di bawah sebuah katil yang diletakkan di bahagian kabin kenderaan itu.

Dalam dua kes berasingan pada 13 Mei, para pegawai ICA mengesan percubaan untuk menyeludup masuk alat pengewap elektronik pakai buang dan pod isi semula ke Singapura menerusi dua lori berdaftar di Malaysia.

Dalam kes pertama, para pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas menemui beberapa bag berwarna hitam yang dijadikan sebagai katil sementara di kabin kenderaan itu dan menemui 3,200 alat pengewap elektronik pakai buang dan 6,000 pod isi semula.

Dalam kes kedua, pihak berkuasa di Pusat Pemeriksaan Woodlands menemui beberapa bungkus beg sampah berwarna hitam yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan di atas kabin kenderaan. Sebanyak 2,700 pod isi semula alat pengewap elektronik berjaya ditemui.

Ketiga-tiga kes dirujuk kepada HSA bagi siasatan lanjut, menurut ICA.

Empat lelaki rakyat Malaysia berusia antara 27 dengan 52 tahun kini sedang membantu HSA dalam siasatan.

TUJUH KES DIKESAN SEJAK APRIL

Sejak 1 April lalu, ICA menyatakan ia mengesan tujuh kes melibatkan penyeludupan alat pengewap elektronik dan perkakas berkaitan dalam beberapa lori berdaftar di Malaysia di pusat-pusat pemeriksaan.

Dua lelaki warga Malaysia yang terbabit dalam salah satu kes itu didakwa di mahkamah pada 12 April dan dihukum penjara seminggu dan didenda S$1,500. Lagi enam kes masih disiasat atau menantikan tindakan mahkamah.

HSA mengingatkan orang awam bahawa Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) mengharamkan import, pengagihan, penjualan atau tawaran untuk dijual produk tembakau yang bahaya atau tiruan.

"Ini termasuk tembakau shisha, tembakau tanpa asap, tembakau kunyah seperti Gutkha, Khaini, Zarda, alat pengewap elektronik dan perkakasnya.

"HSA memandang serius terhadap kes-kes sedemikian dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap para pesalah," menurut HSA.

Sesiapa yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan yang pertama.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga S$20,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan