Pengetua Sekolah Menengah Queenstown, Rasidah Rahim diiktiraf atas program inovatif pendidikan
66 pengetua sekolah dilantik dalam satu majlis pelantikan dan penghargaan pada Khamis (28 Dis). Sepuluh pengetua dilantik buat pertama kali. Manakala yang lain dilantik semula termasuk Pengetua Sekolah Menengah Queenstown Cik Rasidah Rahim.
SINGAPURA: 66 pengetua sekolah dilantik dalam satu majlis pelantikan dan penghargaan pada Khamis (28 Dis).
Sepuluh pengetua dilantik buat pertama kali. Manakala yang lain dilantik semula termasuk Pengetua Sekolah Menengah Queenstown Cik Rasidah Rahim.
BERITAMediacorp mencungkil pengalaman beliau hampir dua dekad dalam bidang pendidikan.
BINA SEKITARAN INKLUSIF
Ingin menjadi jambatan penghubung antara para pelajar aliran utama dengan pendidikan khas dalam sekitaran pendidikan inklusif.
Berpegang kuat pada prinsip tersebut, Cik Rasidah Rahim yang mempunyai pengalaman selama 19 tahun sebagai pendidik termasuk empat tahun sebagai pengetua Sekolah Menengah Queenstown, memperhalusi program 'recess buddy' atau teman waktu rehat.
Di bawah program yang dimulakan sejak enam tahun lalu itu, para murid Sekolah Menengah Queenstown bukan sahaja mendampingi pelajar berkeperluan khas dari Lee Kong Chian Gardens School (LKCGS) pada waktu rehat, malah turut bermain sukan bersama mereka selepas selesai waktu sekolah.
Cik Rasidah diiktiraf kerana menyuntik ciri inovatif dalam program tersebut dengan memperkenalkan satu lagi aktiviti untuk para pelajar iaitu makan tengah hari bersama warga tua di kawasan kejiranan sekolah.
"Ini akan memupuk nilai-nilai empati dan persahabatan antara mereka, dengan ini bila mereka lebih dapat menerima para pelajar ini, pada masa hadapan ini akan membuatkan mereka lebih terbuka untuk berinteraksi dengan orang-orang yang daripada berlainan upaya daripada mereka.
"Ini akan membantu negara kita untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif pada masa hadapan," tambahnya lagi.
INGIN JADI INSPIRASI KEPADA ANAK MUDA
Memimpin lebih daripada 1,000 murid serta sekitar 100 kakitangan di sekolah itu, Cik Rasidah yang mulanya seorang pendidik bagi subjek Bahasa Melayu dan Matematik berpendapat tugasnya sebagai seorang ketua bukan setakat menetapkan hala tuju sekolah tersebut, malah turut melentur dan membina kemahiran kepimpinan para pelajarnya.
"Bagi saya ia adalah satu amanah, tanggungjawabnya pastinya berat kerana sebagai seorang pendidik, tugas saya bukan sahaja untuk memastikan bahawa para pelajar saya mempunyai kecekapan supaya mereka dapat berdaya saing dengan lebih baik pada masa hadapan.
"Tetapi mereka juga perlu diterapkan dengan nilai-nilai positif yang mendapat membantu mereka mengharungi masa hadapan yang sangat kompleks," katanya lagi.
Dengan penghargaan atas usahanya itu, pendidik berpengalaman itu berharap untuk terus menjadi inspirasi kepada anak-anak muda.
SUMBER HARAPAN
Sebelum dilantik menjadi seorang pengetua Sekolah Menengah Queenstown pada 2015, Cik Rasidah menyandang jawatan sebagai Naib Pengetua di Sekolah Rendah Zhangde selepas menjadi ketua jabatan disiplin dan normal teknikal.
Malah, ibu dua orang anak itu turut dianugerahkan dengan biasiswa Sarjana dalam bidang Pendidikan dan Kurikulum di bawah Institut Pendidikan Nasional (NIE) serta Universiti Melbourne.
Diminta mengongsi pengalaman paling mencabar sepanjang tempoh menjadi seorang pendidik dan pemimpin sekolah, Cik Rasidah berkata antara cabarannya ialah untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan para pelajar daripada latar belakang yang berbeza.
Namun, menurutnya lagi cabaran itu perlu dihadapi dan diatasi oleh setiap pendidik agar menjadi sumber harapan kepada setiap anak didik.
“Sebagai seorang pendidik, pada saya tugas saya adalah untuk memberikan harapan supaya mereka boleh mencapai potensi dan supaya mereka boleh mencapai apa sahaja impian yang mereka inginkan dalam hidup selagi mereka sanggup berusaha dengan gigih, kerja keras dan juga berpegang kepada prinsip-prinsip positif, tidak pernah mengaku kalah.
“Mereka dapat mencapai segala apa impian yang mereka inginkan,” katanya sambil tersenyum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.