Pengetua sekolah dilantik bagi 4 maktab rendah digabung
Para pengetua sekolah bagi empat maktab rendah yang digabung didedahkan pada Jumaat (19 Okt) sebagai sebahagian daripada pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) untuk melantik 66 pengetua sekolah dalam semakan tahunannya.

Gambar fail Maktab Rendah Innova. (Gambar: Lianne Chia)
SINGAPURA: Para pengetua sekolah bagi empat maktab rendah yang digabung didedahkan pada Jumaat (19 Okt) sebagai sebahagian daripada pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) untuk melantik 66 pengetua sekolah dalam semakan tahunannya.
MOE pada April mengumumkan penyusunan semula besar-besaran bagi sekolah pada 2019, antaranya lapan maktab rendah, 14 sekolah rendah dan enam sekolah menengah diserap dan digabungkan. Ini merupakan pertama kali maktab-maktab rendah digabungkan.
Menurut kenyataan media MOE, berikut adalah para pengetua maktab-maktab rendah yang digabungkan tahun depan:
- Anderson Serangoon JC (gabungan Maktab Rendah Anderson dan Serangoon): Encik Manogaran s/o Suppiah, pengetua Serangoon JC sekarang ini
- Jurong Pioneer JC (gabungan Maktab Rendah Jurong dan Pioneer): Dr Hang Kim Hoo, pengetua Jurong JC sekarang ini
- Tampines Meridian JC (gabungan Maktab Rendah Tampines dan Meridian): Cik Yoong Nyok Ke Pamela, Pengetua Tampines JC sekarang ini
- Yishun Innova JC (gabungan Maktab Rendah Yishun dan Innova): Encik Michael Nelson De Silva, pengetua Innova JC sekarang ini
Selain empat pengetua tersebut, MOE juga mengumumkan bahawa 10 daripada 66 pengetua sekolah yang dilantik menyandang jawatan tersebut buat pertama kali. Tujuh daripada mereka akan mengetuai sekolah menengah, dan tiga pula di sekolah rendah.
"Bagi 56 pengetua sekolah sedia ada dan para pegawai HQ yang akan memegang jawatan pengetua sekolah baru, ia mengesahkan keyakinan MOE terhadap kebolehan mereka untuk terus membimbing para guru dan pelajar di sekolah," menurut MOE.
"Bagi 10 pengetua sekolah baru, ini merupakan pencapaian kerjaya yang penting sedang mereka menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai pemimpin pendidikan."
MOE juga menyatakan proses melantik dan memindahkan pengetua secara bergilir-gilir membolehkan sekolah untuk memanfaatkan sudut pandangan baru dan membolehkan pengetua berpengalaman untuk berkongsi amalan terbaik antara sekolah-sekolah.
"Para pengetua kami akan diberi peluang menangani cabaran baru dan menyumbang dengan membentuk serta memperkukuh kerja-kerja di sekolah baru mereka."
Para pengetua sekolah akan menerima watikah perlantikan mereka dalam satu Majlis Pelantikan dan Penghargaan Para Pengetua Sekolah pada 27 Disember. Menteri Pendidikan Ong Ye Kung akan menjadi tetamu terhormat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.