Pengetua sekolah baharu Rezia Rahumathullah mahu luaskan definisi kejayaan untuk pelajar
SINGAPURA: Memelihara budaya dan warisan di setiap sekolah itu adalah penting.
Itulah antara perkara yang menjadi keprihatinan pengetua baharu Sekolah Rendah Teck Ghee, Cik Rezia Rahumathullah.
Ini lebih-lebih lagi dengan pengalaman yang diraihnya sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai Naib Pengetua di Sekolah Rendah Jing Shan yang merupakan gabungan dua sekolah.
"Pengalaman sebagai Naib Pengetua sekolah yang menggabungkan kedua buah sekolah telah mengajar saya tentang pentingnya memelihara warisan setiap sekolah dan menyatukan kekuatan kedua buah sekolah untuk membentuk masa depan yang lebih kolektif," kongsi Cik Rezia kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Dengan pengalaman itu, saya mahu meraikan cerita Sekolah Rendah Teck Ghee dengan bekerjasama dengan pasukan saya untuk menyempurnakan identiti sekolah bagi masa depan yang sentiasa berubah. Budaya sekolah itu harus dihormati dan bersama pasukan saya, saya harus memastikan naratif di hari muka dibentuk bersama," tambahnya.
Cik Rezia, 45 tahun merupakan antara 15 Pengetua Baharu yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dalam Majlis Pelantikan dan Penghargaan untuk Pengetua pada Khamis (28 Dis).
Dengan pelantikan ini juga, 52 sekolah diumumkan akan dipimpin oleh pengetua yang baharu pada 2024.
MAHU PERLUASKAN DEFINISI KEJAYAAN BUAT PELAJAR
Menurut Cik Rezia, pasukannya di Sekolah Rendah Teck Ghee sudah berjaya memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar seperti semangat pasukan yang kuat serta dedikasi dan daya tahan yang tinggi.
Lantaran itu, beliau ingin memperkukuhkan lagi aspek itu untuk memastikan kekuatan para pelajar terus berkembang menerusi kepelbagaian platform di sekolah rendah itu.
"Saya mahu memimpin pasukan untuk memperluaskan definisi kejayaan dengan memberikan penekanan yang sama dalam membentuk sifat-sifat dan nilai-nilai murni agar pelajar belajar dengan bersemangat dan hidup dengan baik.
Kami akan meningkatkan pembinaan Kecekapan Abad Ke-21 pelajar melalui pengalaman pembangunan pelajar yang kukuh dan program-program khusus seperti Multimedia dan Kemampanan di Sekolah Rendah Teck Ghee," ujar Pengetua baharu itu.
ADA PENGALAMAN 20 TAHUN DALAM PENDIDIKAN
Malah, Cik Rezia yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan, memainkan peranan penting dalam membina budaya pembelajaran dan kesejahteraan di Sekolah Rendah Jing Shan sebelum itu selaku Naib Pengetuanya.
Beliau percaya aspek-aspek pendidikan tersebut penting untuk membina individu yang bersedia untuk masa hadapan.
Kini, beliau berharap dapat membina budaya yang sama di sekolah baharunya itu bagi melengkapkan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
"Kita berhadapan dengan generasi pelajar yang mahir dalam teknologi, yang mengalami pelbagai perubahan dalam struktur sosial masyarakat. Pelajar-pelajar ini perlu terus menerima perubahan-perubahan ini dan pada masa yang sama, berpegang kepada rasa diri yang mantap ketika mereka menghadapi ketidakpastian di dunia ini.
Oleh itu, adalah penting bagi mereka untuk belajar memahami diri mereka sendiri dengan lebih baik lagi melalui pembangunan sikap rendah hati terhadap diri dan orang lain, membina sistem sokongan yang kukuh dan memiliki minda yang berkembang. Jadi kemahiran-kemahiran ini boleh diajar di sekolah bagi melengkapkan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran di dalam bilik darjah," menurut Cik Rezia, yang memulakan kerjayanya sebagai seorang guru bahasa Inggeris dan Matematik pada 2002.
KERJASAMA PELBAGAI PIHAK PERLU UNTUK HADAPI CABARAN HARI INI
Berhubung cabaran yang dihadapi pengetua sekolah hari ini, Cik Rezia berkongsi bahawa mereka kini berdepan dengan gelombang kepesatan kemajuan teknologi dan ekonomi di mana "politiknya retak dan rapuh".
Meskipun adanya keinginan untuk menggunakan kemudahan teknologi yang sedia ada, kemahiran unik yang ada pada setiap pelajar perlu diasah lagi, yang menurutnya "tidak boleh digantikan dengan teknologi".
Lantas, beliau menitikberatkan kerjasama dengan pelbagai pihak lebih-lebih lagi untuk menghadapi cabaran itu.
"Dengan bertanya ‘mengapa’, dan mempertajamkan kerelevanan di sekolah, kita akan menyokong pelajar kita serta masa depan mereka dalam menghadapi cabaran. Ia adalah penting untuk kita bekerjasama dengan ibu bapa dan juga badan-badan utama untuk menyokong perkembangan dan pembangunan masa depan para pelajar kami dan membawa dunia kepada sekolah," kongsi pengetua itu.
Dalam Majlis Pelantikan dan Penghargaan tahun ini, sumbangan para pengetua yang bersara, serta Pegawai Kanan Pendidikan dari Ibu Pejabat MOE yang sudah berkhidmat sebagai pengetua sebelum ini juga diraikan.
"Penghargaan mendalam saya kepada anda semua, terutama sekali kepada para pengetua yang berkumpul hari ini. Kepimpinan anda yang komited dalam menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini sudah memastikan bahawa pembelajaran kita dan pembelajaran pelajar kita diteruskan dengan berkesan," menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam ucapan beliau.
"Anda menjaga guru-guru kita dengan baik yang juga menjaga para pelajar dengan baik semasa dan selepas pandemik," tambah beliau.
Penggal baharu persekolahan dijadualkan bermula pada Selasa (2 Jan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.