Pengetua Hong Kong yang maki hamun pengawal keselamatan SG letak jawatan, mohon maaf
Satu petikan video menunjukkan seorang lelaki menuding jari ke arah para pengawal, dan kemudian menjerit "diam" dan "berambus" lalu memaki hamun mereka. (Gambar: Handout melalui South China Morning Post)
- Lee Cheuk-hing, pengetua Sekolah Menengah Persatuan Komersil San Wui, meletak jawatan selepas insiden memaki hamun pengawal keselamatan di Singapura semasa lawatan pelajar.
- Insiden berlaku pada Jumaat lalu dan dirakam dalam video yang tular, mencetuskan perbincangan hangat di Hong Kong dan Singapura.
- Lee memohon maaf secara terbuka, digantung tugas serta berikrar bekerjasama dalam siasatan oleh Biro Pendidikan dan pihak sekolah.
- Pihak sekolah dan Jabatan Ehwal Dalam Negeri menerima peletakan jawatan Lee, manakala polis Singapura sedang menjalankan siasatan lanjut.
Lee Cheuk‑hing menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Khamis (28 Mei) sebagai pengetua Sekolah Menengah Persatuan Komersil San Wui di Tuen Mun, seperti yang disahkan pengurus sekolah Edmund Wong Chun‑sek.
Encik Wong, seorang mantan penggubal undang-undang, berkata lembaga pengarah sekolah perlu bermesyuarat untuk memutuskan sama ada untuk menerima peletakan jawatan itu, memandangkan banyak faktor yang terlibat.
Dalam satu video yang dimuat naik lewat Khamis, Lee berulang kali memohon maaf atas kelakuannya kepada penduduk Hong Kong dan "semua sektor" di Singapura.
“Sebagai seorang pengetua, saya seharusnya menjadi contoh teladan. Walau apa pun keadaannya, saya harus kekal tenang dan terkawal. Tetapi malangnya, saya gagal berbuat demikian,” katanya dalam klip itu, yang turut menunjukkan beliau menangis.
Mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya, Lee juga berikrar untuk bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan oleh Biro Pendidikan dan lembaga sekolah.
Dalam rayuan kepada para pelajarnya, beliau berkata: “Tolong jangan contohi saya. Pada setiap masa, anda mesti cuba sedaya upaya untuk kekal tenang dan menyelesaikan [masalah] dengan cara yang munasabah.
“Biarkan kesilapan saya menjadi amaran. Jangan biarkan dorongan seketika menyebabkan anda mengeluarkan kata-kata yang akan anda sesali pada masa hadapan.”
Lee berkata beliau juga akan meletak jawatan daripada semua tugas daerah, merujuk kepada keahliannya dalam pasukan penjagaan daerah kecil San King di Tuen Mun dan jawatankuasa kawasan Tuen Mun Barat Daya.
Jabatan Ehwal Dalam Negeri berkata ia sudah menerima surat peletakan jawatan Lee daripada kedua-dua badan dan namanya tidak lagi dipaparkan di laman web berkaitan pada Khamis (28 Mei).
Biro Pendidikan menyatakan ia sudah dimaklumkan tentang surat peletakan jawatan pengetua itu dan menggesa pihak sekolah dan badan penajanya untuk menangani perkara itu dengan serius dan mengemukakan laporan bertulis secepat mungkin.
Insiden Lee bertikai dengan pengawal keselamatan mengenai tempat letak kenderaan semasa lawatan sekolah di Singapura Jumaat lalu dirakam dalam video dan dikongsi secara meluas di media sosial, mencetuskan perbincangan hangat di kedua-dua bandar.
Rakaman menunjukkan seorang pengawal keselamatan memberitahu Lee, yang berdiri di pintu sebuah bas, agar mengalihkan kenderaan itu, tetapi beliau menjadi marah dan dengan kasar menolak arahannya.
Sekolah tersebut memohon maaf atas kejadian itu, sambil mengakui bahawa tingkah laku Lee menyebabkan kebimbangan dan keresahan orang ramai.
Jawatankuasa pengurusan sekolah menggantung Lee daripada jawatannya pada Selasa berkuat kuasa serta-merta, sambil menyatakan tindakannya tidak memenuhi jangkaan orang ramai.
Biro Pendidikan sebelum ini meluahkan kebimbangan tentang kes itu dan menuntut laporan bertulis daripada pihak sekolah.
Sementara itu, polis Singapura berkata mereka menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.
Di bawah Akta Industri Keselamatan Persendirian negara itu, sesiapa yang didapati sabit kesalahan sengaja mengganggu atau menyebabkan kebimbangan atau kesusahan kepada pegawai keselamatan boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 (US$3,915) atau kedua-duanya.
Rencana ini pertama kali diterbitkan oleh SCMP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.