Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengetua Farizal Umar bawa pengalaman ke Sekolah Rendah Ang Mo Kio, mahu tumpukan pada pembangunan guru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Memberi sokongan dan tumpukan pada pembangunan profesional para guru, di samping menitikberatkan kesejahteraan mereka.

Itulah antara pengalaman dari Sekolah Rendah Radin Mas yang akan dibawa Encik Muhammad Farizal Umar Effendi dalam tugasan terbaharunya menerajui Sekolah Rendah Ang Mo Kio

Bagi pengetua berusia 47 tahun itu, ia amat penting untuk memperkasa dan mempertingkatkan kemahiran para guru bagi memastikan kaedah mengajar dan perkongsian ilmu yang lebih berkesan.

Ini amat penting bagi Encik Farizal kerana guru merupakan tunggak dan nadi sesebuah sekolah.

"Pada pendapat saya, kejayaan sesebuah sekolah adalah di tangan guru-guru yang komited, berdedikasi dan mahir. Jadi untuk saya, pertumbuhan profesional dan kesejahteraan mereka adalah penting," kongsi Encik Farizal kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

GURU TUNGGAK & NADI SEKOLAH

Di Sekolah Radin Mas sebelum ini, Encik Farizal dan guru-guru sekolah itu mementingkan mutu pendidikan yang lebih menyeluruh.

Beliau juga ada memikirkan beberapa rancangan baharu bagi menyokong para guru dan pelajar di Sekolah Rendah Ang Mo Kio apabila mengambil alih selaku pengetua sekolah itu mulai Januari 2025.

"Sebagai pengetua sekolah, saya harus memberikan ruang dan masa untuk mereka mengimbangi tumpuan di rumah dan juga di sekolah dari segi profesional. Selain itu, penting untuk saya menyusun dan mengendalikan latihan dan bengkel-bengkel untuk mereka meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka dapat membantu murid-murid mereka yang sekarang penuh dengan pelbagai keperluan untuk mereka lebih efektif membantu murid-murid mereka," ujarnya lagi.

46 SEKOLAH AKAN DIPIMPIN PENGETUA SEKOLAH BAHARU

Encik Muhammad Farizal Umar Effendi merupakan antara 24 pengetua yang dipindahkan ke sekolah lain.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), proses melantik dan menukar para pengetua secara bergilir membolehkan sekolah-sekolah meraih manfaat daripada perspektif baru.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing. (Gambar: MOE)
Ia juga membolehkan para pengetua lebih berpengalaman untuk berkongsi amalan-amalan terbaik di semua sekolah.

MOE juga melantik lagi 22 pengetua baharu.

Dengan pelantikan itu juga, 46 sekolah akan dipimpin oleh pengetua yang baharu pada 2025.

Sebagai pengetua sekolah baharu Sekolah Rendah Ang Mo Kio, Encik Farizal beliau berharap dapat membantu setiap pelajar untuk mencungkil dan mengasah bakat masing-masing dalam pelbagai bidang.

Kata Encik Farizal: "Saya inginkan murid-murid saya ada di sini untuk diberi peluang untuk mereka menceburi pelbagai bidang. Bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga bidang seni dan sukan. Saya mahu mereka merasa kejayaan dalam setiap bidang yang mereka ceburi."

Berhubung cabaran yang dihadapi pengetua sekolah hari ini, Encik Farizal berkata ia adalah untuk membantu setiap murid mencapai potensi mereka, memandangkan setiap pelajar adalah unik dan ada keperluan yang berlainan.

Lantaran itu, beliau akur mengenai pentingnya peranannya dalam memberikan sokongan yang sewajarnya kepada para guru.

"Penting juga untuk saya memberi ruang dan masa untuk guru-guru saya untuk mereka memberi tumpuan yang yang tepat kepada para pelajar mereka. Jadi untuk mereka mengimbangi masa mereka dan juga untuk membolehkan mereka meningkatkan kemahiran mereka menjadi guru yang lebih efektif dalam kelas-kelas mereka.

"Sebagai pengetua, kita tidak harus lupakan nadi kita sebagai guru. Jadi itulah yang membuatkan saya terus. 'Walk the Ground' dan mendampingi para guru."

PENGETUA SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS TURUT DIRAIKAN

Encik Farizal dan lagi 45 pengetua sekolah itu serta 6 pengetua baharu Sekolah Pendidikan Khas diraikan Menteri Pendidikan dalam Majlis Pelantikan dan Penghargaan Pengetua Sekolah MOE pada Jumaat (27 Dis).
Gambar: MOE
Majlis yang diadakan di Shangri-La Singapore itu dihadiri sekitar 500 tetamu undangan termasuk para pemimpin sekolah, pihak pengurusan kanan MOE.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan