Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengerusi SPP Jose Raymond undur dari politik

Pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond mengumumkan pada Selasa (22 Dis) bahawa beliau akan mengundurkan diri dari bidang politik bagi memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi SPP Jose Raymond undur dari politik

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 23 Dec 2020 08:39AM Dikemas Kini : 23 Dec 2020 08:44AM

SINGAPURA: Pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond mengumumkan pada Selasa (22 Dis) bahawa beliau akan mengundurkan diri dari bidang politik bagi memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaannya.

Dalam satu catatan Facebook, Encik Raymond mengucapkan terima kasih kepada para penyokong dan kumpulan sukarelawannya bagi usaha mereka semasa Pilihan Raya Umum 2020.

"Saya dan pasukan saya berjuang sepenuh hati, dan meneruskannya kerana sambutan yang diberikan oleh anda semua," katanya.

Encik Raymond berkata sudah tiba masa untuk beliau memberi tumpuan pada perkara yang akan membantunya "memberi kesan melalui cara lain, untuk membantu orang lain dengan cara lain" dan meluaskan perniagaannya ke peringkat serantau.

Beliau merupakan ketua pegawai strategi SW Strategies, sebuah syarikat penasihat strategi yang ditubuhkan pada 2016.

Encik Raymond berkata dalam catatan tersebut bahawa beliau berhasrat menembusi pasaran serantau sejak membangunkan syarikat itu dan perniagaannya berjaya dikembangkan ke Malaysia pada 2019.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Raymond berkata beliau menyerahkan surat perletakan jawatan pada Khamis lalu (17 Dis), sambil menambah beliau merancang membuka "cabang ketiga" syarikat itu sama ada di Jakarta atau Bangkok.

"Matlamat saya untuk berkhidmat untuk orang lain terus kekal, saya boleh lakukannya dalam banyak cara lain. Saya akan dapat terus berkhidmat untuk orang lain cuma bukan dalam arena politik dan bidang politik," kata Encik Raymond.

SPP menyatakan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) sudah pun menerima surat perletakan jawatan dari Encik Raymond dan akan membuat keputusan dalam mesyuarat CEC seterusnya.

Encik Raymond menjadi pengerusi SPP pada November lalu, mengambil alih dari Cik Lina Chiam yang merupakan isteri kepada ahli politik pembangkang veteran Chiam See Tong.

Beliau bertanding dalam Kawasan Undi Perseorangan Potong Pasir buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum 2020 pada Julai lalu. Beliau tewas kepada Anggota Parlimen Potong Pasir Sitoh Yih Pin dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang meraih 60.69 peratus undi.

"Saya mempunyai rasa hormat untuk ramai orang dari kedua-dua belah pihak politik, kerana selama bertahun-tahun melakukan apa yang anda benar-benar yakini," kata Encik Raymond.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan