Pengerusi Pengasas SMU Ho Kwon Ping undur diri tahun depan, digantikan CEO DBS Piyush Gupta
Pengerusi Pengasas Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Ho Kwon Ping akan mengundurkan diri pada Januari 2023 dan digantikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Piyush Gupta. (Gambar: SMU)
SINGAPURA: Pengerusi Pengasas Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Ho Kwon Ping akan mengundurkan diri daripada jawatan itu pada 11 Januari 2023 setelah menerajui universiti itu selama 25 tahun.
Demikian diumumkan SMU pada Rabu (17 Ogos).
Beliau akan digantikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Piyush Gupta.
Sebagai pengerusi lembaga pengamanah universiti tersebut, Encik Ho "memberikan sumbangan penting kepada SMU dalam membangunkan asas yang kukuh dan menerajui SMU untuk menjadi universiti berautonomi yang terkenal di dunia hari ini, sekali gus mentakrifkan semula landskap pendidikan pengajian tinggi di Singapura dalam proses itu," menurut SMU dalam kenyataan medianya.
Beliau juga diiktiraf atas usaha memajukan SMU untuk "menjadi lebih daripada sebuah sekolah perniagaan dan mengambil pendekatan pengurusan lebih luas, dan bukan sekadar pengurusan perniagaan".
"Di bawah kepimpinannya yang berwawasan dan teguh, Encik Ho memimpin SMU untuk berkembang daripada hanya mempunyai sebuah Sekolah Perniagaan untuk menjadi universiti dinamik dan bertenaga dengan lebih 12,000 pelajar (dan lebih 36,000 siswazah) dalam lapan sekolah menumpukan kepada bidang perakaunan, sistem komputer dan maklumat, ekonomi, undang-undang, sains sosial dan gabungan antara bidang," menurut SMU.
Encik Ho berkata: "Ia merupakan salah satu perjalanan paling penting dalam hidup saya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan anggota yang berwawasan, daripada anggota fakulti hingga kepada pelajar, pengurusan kepada pemegang amanah, yang percaya bahawa kami boleh memberi kesan kepada anak-anak muda Singapura.
"Prinsip saya daripada mulanya hingga sekarang adalah tiada sesuatu pun yang boleh menghalang kita daripada mencapai impian, kecuali perasaan takut terhadap kegagalan, inovasi dan perubahan yang akan menghadkan diri kita."
"Saya akan bersara dengan penuh keyakinan bahawa apa yang kami sudah melaksanakan sepanjang 25 tahun akan menjadi asas yang kukuh untuk merealisasikan visi yang lebih luar biasa," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.