Skip to main content

Singapura

Pengerusi pengasas LTA dan SMRT, Fock Siew Wah meninggal dunia pada usia 84 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi pengasas LTA dan SMRT, Fock Siew Wah meninggal dunia pada usia 84 tahun

Encik Lee Hsien Loong, ketika itu Perdana Menteri bergambar dengan mendiang Fock Siew Wah, ketika beliau menjadi Pengerusi PSA International di pembukaan Fasa 3 dan 4 Terminal Pasir Panjang pada Jun 2015.

Gambar: Facebook/Lee Hsien Loong

Diterbitkan : 07 Jan 2025 01:12AM Dikemas Kini : 07 Jan 2025 01:16AM
SINGAPURA: Bekas pengerusi PSA International Fock Siew Wah, yang juga pengerusi pengasas SMRT dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Menteri Kanan Lee Hsien Loong, dalam satu catatan Facebook pada Isnin (6 Jan), berkata bahawa beliau amat sedih mendengar berita pemergian Encik Fock.

“Saya mengenali Siew Wah selama bertahun-tahun, bermula ketika kami berdua berkhidmat dalam Jawatankuasa Ekonomi 1985. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dalam kedua-dua sektor swasta dan awam selama lebih 40 tahun.”

Encik Fock lahir pada 1940 dan pernah menjadi pengerusi pertama SMRT - yang ketika itu dikenali sebagai Singapore Mass Rapid Transit Limited - dan LTA. Beliau juga merupakan anggota lembaga pengarah Temasek Holdings dan syarikat berkaitan pemerintah seperti DBS Bank dan Singapore Airlines.

Pada Ogos 2005, beliau dilantik sebagai pengerusi PSA International sehingga bersara pada 2019.

"Sebagai salah seorang pemimpin perintis kami, tumpuan Siew Wah terhadap bakat dan naluri hati untuk perkhidmatan membantu banyak organisasi berkembang menjadi seperti sekarang," kata Encik Lee.

“Kami bertemu baru-baru ini pada Februari lalu, di mana saya secara peribadi mengucapkan terima kasih atas kerja yang telah dilakukannya, dan lebih penting lagi, persahabatan dan sokongannya selama empat dekad.

"Beliau akan sangat dirindui".

Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat dalam catatan Facebook pada Isnin melahirkan rasa sedih mendengar berita tentang pemergian Encik Fock, dan mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarganya.

"Encik Fock ialah Pengerusi pertama Penguasa Pengangkutan Darat dari 1995 hingga 2002," kata Encik Chee.
Mendiang Fock Siew Wah (kiri) bersama Menteri Perhubungan dan Penerangan ketika itu, Yeo Ning Hong (tengah), menaiki kereta api di stesen Yishun. (Gambar: Facebook/Chee Hong Tat)
“Di bawah kepimpinannya, LTA mencapai banyak kejayaan, termasuk pembukaan Laluan Woodlands pada 1996 (yang kita tahu sekarang sebagai laluan yang menghubungkan Choa Chu Kang ke Yishun), LRT Bukit Panjang pada 1999 dan pembangunan Hab Pengangkutan Bersepadu yang pertama di Toa Payoh pada 2002.”

Encik Chee berkata sepanjang tempoh Encik Fock di PSA, jejak antarabangsa syarikat itu berkembang kepada lebih daripada 50 terminal di 17 negara, manakala jumlah kargo yang dikendalikannya meningkat seganda kepada lebih 80 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

“Ketersambungan yang sangat hari ini dan reputasi kami sebagai pelabuhan hab antarabangsa yang dipercayai dibina di atas asas yang kukuh, kerja keras dan semangat murni kebanyakan pendahulu kami seperti Encik Fock,” kata Encik Chee.

“Kami akan menghormati sumbangan dan legasi mereka dengan terus membina Singapura menjadi lebih baik dan lebih kukuh.”
 
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita