Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengerusi Parti Reform Charles Yeo disiasat atas tuduhan pecah amanah

Encik Yeo adalah antara dua individu yang diberkas pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam kesalahan pecah amanah dan pemalsuan selepas beberapa aduan dibuat terhadap Whitefield Law Corporation, menurut polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi Parti Reform Charles Yeo disiasat atas tuduhan pecah amanah

Encik Charles Yeo.

Diterbitkan : 15 Jan 2022 10:45PM Dikemas Kini : 15 Jan 2022 10:45PM

SINGAPURA: Siasatan terhadap Pengerusi Parti Reform Charles Yeo atas tuduhan pecah amanah tidak bermotif politik, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (15 Jan), sambil mengesahkan bahawa Encik Yeo diberkas pada awal minggu ini.

Encik Yeo, seorang peguam, adalah antara dua individu yang diberkas pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam kesalahan pecah amanah dan pemalsuan selepas beberapa aduan dibuat terhadap Whitefield Law Corporation, menurut polis.

Identiti seorang lagi individu yang diberkas tidak didedahkan.

Encik Yeo mengumumkan di laman Facebooknya pada Khamis bahawa dia ditahan dalam lokap selama 15 jam, sambil mendakwa "tuduhan-tuduhan terhadapnya diada-adakan dan palsu sama sekali". Dia juga menuduh polis bertindak secara "tidak profesional dalam mengendalikan perkara tersebut", sambil menambah pegawai penyiasat merampas telefon bimbitnya yang mengandungi kad SIM - sesuatu yang disifatkannya sebagai "sangat luar biasa".

Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan: "Polis dengan sekeras-kerasnya menolak tuduhan Encik Charles Yeo yang mendakwa siasatan terhadapnya bermotif politik.

"Tuduhan-tuduhan itu 'diada-adakan' atas sebab-sebab politik. Polis sudah menerima sekurang-kurangnya empat aduan yang melibatkan empat anak guam berbeza Whitefield Law Corporation, yang mendakwa berlaku pemalsuan dan/atau pecah amanah."

Telefon bimbit dan kad SIM Encik Yeo dirampas bagi siasatan forensik, dedah polis.

"Rampasan itu dilakukan mengikut kuasa yang diberikan kepada polis di bawah Kanun Prosedur Jenayah," menurut polis.

"Para pegawai kami sudah mengambil, dan akan terus mengambil, langkah-langkah mengikut undang-undang, semasa menjalankan siasatan terhadap kesalahan jenayah yang didakwa berlaku."

Encik Yeo adalah sebahagian daripada pasukan Parti Reform yang bertanding di GRC Ang Mo Kio dalam Pilihan Raya Umum 2020 semasa bersaing dengan pasukan lima anggota yang diketuai Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam responsnya kepada Mediacorp, Parti Reform menegaskan bahawa Encik Yeo sudah "memastikan pihak parti dimaklumkan tentang perkara itu".

"Kami difahamkan dia belum didakwa. Ini nampaknya adalah urusan Persatuan Guaman," menurut parti itu.

Menurut catatan di laman Facebook Encik Yeo, dia diikat jamin sebanyak S$35,000.

Sumber : CNA/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa