Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengerusi NKF Koh Poh Tiong letak jawatan selepas 8 tahun

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Koh Poh Tiong akan mengundurkan diri pada hujung bulan ini selepas memegang jawatan itu selama lapan tahun, umum pertubuhan itu pada Selasa (20 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi NKF Koh Poh Tiong letak jawatan selepas 8 tahun

Encik Arthur Lang (kiri) ambil alih daripada Encik Koh Poh Tiong sebagai pengerusi NKF. (Gambar: NKF)

Diterbitkan : 20 Oct 2020 03:48PM Dikemas Kini : 20 Oct 2020 03:50PM

SINGAPURA: Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Koh Poh Tiong akan mengundurkan diri pada hujung bulan ini selepas memegang jawatan itu selama lapan tahun, umum pertubuhan itu pada Selasa (20 Okt).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Antarabangsa Singtel, Arthur Lang, yang menyertai NKF sebagai anggota lembaga pengarah pada 2015, akan mengambil alih jawatan itu.

"Saya merasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan lembaga yang kukuh dan cekap dengan bakat yang rencam dan sebuah pasukan pengurusan yang cemerlang," kata Encik Koh dalam satu kenyataan.

Beliau juga melahirkan keyakinan terhadap penggantinya, dan berkata bahawa Encik Lang "akan membantu memelihara asas-asas kuat NKF dan memacunya ke tahap lebih tinggi untuk memberi manfaat kepada pesakit ginjal kita".

Dalam satu kenyataan media, NKF memberi penghormatan kepada Encik Koh kerana "semangat belas ihsan tanpa lelah dan wawasannya yang jauh untuk memimpin NKF sehingga ke tahap 50 tahun serta meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk masa depan bagi membantu pesakit ginjal yang miskin dan memerlukan di Singapura”.

"Beliau memberi tumpuan untuk memastikan model pembiayaan yang mampan agar dialisis dapat diakses dan tersedia bagi setiap orang yang memerlukannya," kata NKF, sambil menambah bahawa yayasan tersebut telah membuat "pelaburan tidak ternilai" dalam membangunkan prasarana dan keupayaan untuk memenuhi keperluan pesakit ginjal yang memerlukan dekat dengan rumah mereka.

NKF kini mempunyai 38 pusat dialisis berasaskan masyarakat, naik daripada 25 pada 2012, dengan dua lagi sedang dalam perancangan.

Encik Lang berkata Encik Koh "membuat sumbangan besar kepada yayasan itu dan meninggalkan kesan mendalam dan berkekalan pada semua orang yang bekerja dengannya".

NKF kini memenuhi keperluan lebih 4,800 pesakit ginjal dan penerima bantuan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan