Skip to main content

Singapura

Pengerusi Madrasah Wak Tanjong Abdul Hamid Abdullah terima anugerah tertinggi MUIS, 9 penerima diiktiraf tahun ini

Pengarah Casa Raudha dan Pengerusi Madrasah Wak Tanjong Encik Abdul Hamid Abdullah menerima pengiktirafan anugerah tertinggi MUIS - Anugerah Jasa Cemerlang atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang sosioagama dan khidmat masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengarah Casa Raudha dan Pengerusi Madrasah Wak Tanjong Encik Abdul Hamid Abdullah menerima pengiktirafan anugerah tertinggi MUIS - Anugerah Jasa Cemerlang atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang sosioagama dan khidmat masyarakat.

Anugerah tersebut, yang juga merupakan pengiktirafan tertinggi dalam masyarakat Islam tempatan, disampaikan Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam satu majlis penyampaian anugerah di Istana pada Sabtu (4 Okt).
Sembilan penerima Anugerah MUIS mengabadikan kenangan bersama Presiden Singapura (tengah, depan) dan kepimpinan MUIS serta Pemangku Menteri Ehwal Masyarakat Islam (empat dari kiri). (Gambar: Mediacorp)
Tahun ini seramai sembilan individu diiktiraf termasuk mantan Pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla'udin Mohamed, penerima sulung Anugerah Jasa Sejati (Anumerta).

SEMANGAT SUKARELA BERMULA SEJAK SEKOLAH RENDAH; ANGGAP IA PENGGUNAAN MASA YANG TERBAIK

Berkongsi kepada wartawan Roslinda Rahmat, Encik Abdul Hamid Abdullah, 70 tahun mendedahkan bahawa beliau telah mula membuat kerja sukarela sejak sekolah rendah, dengan menolong membawa tabung untuk hari bendera masjid serta badan-badan amal.
Penerima anugerah tertinggi MUIS, Abdul Hamid Abdullah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Saya adalah seorang anak yang ibu bapa saya telah berpisah. Dan saya juga melihat keadaan kawan-kawan saya yang hidup dalam kesukaran. Jadi saya terasa juga. Tetapi itu bukanlah pendorong utama mengapa saya melibatkan diri. Saya fikir ini adalah satu perkara biasa dan saya fikir masyarakat mudah-mudahan dapat dorongan daripada apa yang saya lakukan," luah Encik Abdul Hamid.

Beliau yang bersara sejak 2017 setelah 38 tahun berkhidmat dengan Pejabat Ketua Audit Negara Singapura, mengaku berminat dan amat menikmati kepuasan melakukan kerja-kerja amal.

"Kerana saya mahu, saya suka melakukannya. Oleh kerana saya ada semangat dan kemahuan dan juga kesungguhan mahu berbakti. Itulah yang mendorong saya terus membuat kegiatan seperti ini. Dan saya pandang ini juga sebagai satu pelaburan - bukan dari segi matawang tetapi pelaburan amal. Dalam masa lanjut usia ini, saya harus beri perhatian kepada pembangunan masyarakat dan merapatkan lagi masyarakat kita dari beberapa aspek," luahnya dengan jujur.

Masa Encik Abdul Hamid kini digunakan juga untuk menjalankan kursus dan menjadi pensyarah sambilan selain banyak berkhidmat dengan badan-badan amal Melayu/Islam dan bukan Melayu/Islam.

Namun, menggalas beberapa jawatan dan peranan sebagai Pengarah Casa Raudha – rumah tumpangan wanita teraniaya dalam rumahtangga (sejak 2008), serta Pengerusi, Madrasah Wak Tanjong (bermula 2018) dan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit Darul Arqam (dari 2022); bagaimana Encik Abdul Hamid melakukan semua itu pada satu masa yang sama?

PENGURUSAN MASA DAN SOKONGAN KELUARGA MEMUDAHKAN KERJA KEMASYARAKATAN

"Semuanya disebabkan pengurusan masa. Dan saya dapat melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan seperti ini atas sokongan keluarga saya, isteri saya dan juga oleh kerana saya sudah bersara, jadi mempunyai lebih masa untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan seperti ini," jawabnya ringkas.

Bagi Encik Abdul Hamid, Anugerah Jasa Cemerlang ini bukan satu perkara yang beliau mahu, mahupun cari.

"Saya fikir anugerah ini bukanlah untuk saya. Saya anggap ini sebagai satu penghargaan, pengiktirafan kepada semua sukarelawan. Apa yang saya lakukan tidak mungkin berkesan tanpa penglibatan sukarelawan-sukarelawan yang terlibat. Hanya saya dicalonkan untuk menerima anugerah ini. Rancangan saya ialah untuk terus melibatkan diri dengan bersungguh-sungguh dan semoga anugerah ini juga memberi satu pengertian kepada sesiapa sahaja yang ingin melibatkan diri."

Majlis Anugerah MUIS memberikan dua anugerah setiap tahun sejak 1990; Jasa Cemerlang dan Jasa Bakti.

Augerah Jasa Cemerlang diberikan kepada individu-individu yang berkhidmat sekurang-kurangnya 12 tahun berturut-turut dan membuat sumbangan besar dalam pendidikan Islam, bimbingan agama, pembangunan sektor dan khidmat serta pelibatan masyarakat.

Anugerah Jasa Bakti pula mengiktiraf mereka yang berkhidmat lapan tahun berturut-turut dalam bidang-bidang yang sama.

Tahun ini, lima individu menjadi penerima - Encik Haniss Ali, Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid Al-Muttaqin yang mengabdikan 45 tahun usianya dalam kerja-kerja masjid; Encik KH Raja Mohamed Maidin, Pengasas Karyawan India Muslim IMPROF; Encik Johari Samsudin, mantan pengerusi Masjid Kampong Delta yang memberi sokongan menyeluruh kepada jemaah warga emas agar menjalani penuaan aktif; Ustazah Laila Abu Hassan, yang mendedikasikan dua dekad kehidupannya membantu merubah kehidupan tahanan demi memastikan kadar bentan berkurangan; dan Dr Elly Sabrina Ismail, anggota pengasas Geng Sihat dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim.

PENGARUH AYAH DORONG KERJA AMAL PENGASAS MEMBINA COMMUNITY, PENERIMA ANIGERAH BELIA HARAPAN MUIS

Sementara itu dua penerima Anugerah Belia Harapan ialah Naib Presiden MENDAKI Club, Attiya Ashraf Ali dan penerima termuda Anugerah MUIS, yakni pengasas MEMBINA Community, Sri Nur Asma-Ul-Husna Mohamed Hussain.
Penerima Anugerah Belia Harapan MUIS, Sri Nur Asma-Ul-Husna Mohd Hussain. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Menurut Cik Husna, 28 tahun yang bertugas sepenuh masa sebagai Ketua Program bersama 4PM, ayahnya menjadi inspirasi untuk melibatkan diri dalam kerja amal.

"Ayah saya adalah seorang ayah tunggal dan dia sangat bergiat dalam masyarakat. Dari dulu dia dalam Qariah dan sebagainya. Pada waktu kecil, ayah akan membawa saya ke mana-mana untuk menolongnya berbakti kepada masyarakat. Saya ingat sampai dapat tidur di masjid dan sebagainya. Jadi itu mula tercetusnya kemahuan untuk berbakti. Ayah kenalkan saya dengan orang-orang yang lebih susah daripada kita. Dan itulah antara detik permulaan saya," luahnya.

Belia Harapan 2025 ini berharap dapat menjadi sumber inspirasi bagi golongan belia untuk terus melangkah atau mengambil langkah pertama untuk berbakti kepada masyarakat.

"Saya percaya setiap belia bukan hanya memerlukan sekadar nasihat tapi juga semua masyarakat perlu bersama-sama untuk membantu golongan belia. Jadi, usaha saya dalam melakukan program, dialog ataupun untuk menyediakan ruang selamat bagi belia-belia ini adalah antara usaha untuk membina masyarakat," kongsi Cik Husna.

ALLAHYARHAM ALLA’UDIN MOHAMED TERIMA ANUGERAH ANUMERTA PERTAMA MUIS

Buat julung-julung kalinya tahun ini, Anugerah Jasa Sejati (Anumerta) diperkenalkan dan diberikan kepada mantan Pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla'udin Mohamed.

Anaknya Cik Nazeerah Alla'udin menerima anugerah tersebut bagi pihak keluarga.

"Andai arwah ayah saya masih ada, saya sudah pasti beliau akan berasa amat terharu kerana diiktirafkan anugerah ini. Tetapi beliau juga akan mengatakan bahawa anugerah ini bukan untuk dirinya sahaja tetapi orang-orang yang telah bekerja bersamanya. Terutama sekali keluarganya, sukarelawan-sukarelawan di Masjid Khalid dan semua yang telah bersamanya dalam perjuangannya untuk memberi kembali kepada masyarakat, tanpa mengira bangsa atau agama," luahnya.

Apabila diminta mengenang peristiwa yang tidak dapat Cik Nazeerah lupakan menyangkut kerja masjid atau kerja amal arwah bapanya, beliau berkongsi, "Ada suatu ketika semasa kami sekeluarga beriadah, tiba-tiba seorang lelaki berusia menyapa ayah dan memeluknya dengan erat sambil mengucapkan terima kasih. Kami sekeluarga amat terperanjat dan lelaki itu kemudian menceritakan bahawa ayah merupakan seorang yang tidak pernah berputus asa memberinya sokongan dan dorongan walaupun sudah tujuh kali dipenjarakan. Dan kini beliau hidup sebagai insan baharu bebas dadah. Kami sekeluarga amat terperanjat kerana ayah tidak pernah menceritakan kisah ini kepada kami semua."

DR FAISHAL HARAP KISAH PENERIMA JADI INSPIRASI SEMANGAT BERBAKTI MASYARAKAT

Di majlis anugerah tersebut, Pemangku Menteri Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim meluahkan bagaimana para penerima Anugerah MUIS mencerminkan nilai-nilai murni iaitu Amanah, Ikhlas dan Kesyukuran dalam mendampingi masyarakat.

"Saya berharap kisah-kisah mereka menjadi sumber inspirasi buat semua, khususnya generasi muda, untuk terus tampil menabur bakti dengan ikhlas dan penuh dedikasi supaya kita dapat maju bersama sebagai satu rakyat," ucap Dr Faishal.

Tambahnya, majlis tersebut bertepatan dengan seruan Perdana Menteri Lawrence Wong di Rapat Umum Hari Kebangsaan agar semua kita membina sebuah masyarakat "Kita Didahulukan" – di mana kita memperkukuhkan ikatan antara satu sama lain dan mengutamakan keperluan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.

Sejak dilancarkan, Anugerah MUIS telah mengiktiraf sumbangan 150 individu dan pertubuhan yang memaparkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dan memberikan impak positif kepada masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita