Skip to main content

Singapura

Pengerusi Income Insurance Ronald Ong akan bersara dari lembaga pengarah

Pengerusi Income Insurance Ronald Ong akan bersara daripada lembaga pengarah syarikat itu, umum syarikat tersebut pada Isnin (9 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi Income Insurance Ronald Ong akan bersara dari lembaga pengarah

Pengerusi Income Insurance, Ronald Ong. (Gambar: Income Insurance)

SINGAPURA: Pengerusi Income Insurance Ronald Ong akan bersara daripada lembaga pengarah syarikat itu, umum syarikat tersebut pada Isnin (9 Jun).

Beliau bagaimanapun akan kekal sebagai anggota lembaga pengarah NTUC Enterprise, syarikat induk Income Insurance.

Encik Ong, yang mula berkhidmat dalam lembaga Income Insurance pada 2018 dan menjadi pengerusinya pada 2019, tidak akan bertanding bagi jawatan tersebut semasa mesyuarat agung tahunan Income Insurance yang akan datang pada 24 Jun, menurut satu kenyataan media.

Ia menambah bahawa Encik Ong memimpin syarikat itu melalui proses pengkorporatan, sedang ia beralih daripada sebuah koperatif - NTUC Income Insurance Co-operative - kepada sebuah syarikat yang ditadbir oleh Akta Syarikat.

Dalam kenyataannya, Pengerusi NTUC Enterprise Lim Boon Heng berkata: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ronald atas kepimpinannya sepanjang tujuh tahun lalu di Income Insurance.

"Ronald kekal sebagai anggota Lembaga NTUC Enterprise dan akan mengemudi portfolio pelaburan privet dalam NTUC Enterprise pada masa hadapan, memanfaatkan kepakarannya yang mendalam, rangkaian luas dan komitmen teguhnya untuk mencipta nilai bagi para pelanggan dan pemegang saham."

Income Insurance menyatakan bahawa lembaga pengarah dan pengurusannya berterima kasih kepada Encik Ong "atas bimbingan dan kepimpinannya yang teguh selama ini".

"Di bawah kepimpinan Encik Ong, Income Insurance berjaya mengharungi pandemik COVID-19, berjaya dalam proses pengkorporatan dan juga meningkatkan keupayaan digitalnya," kata syarikat itu.

Encik Ong berkata bahawa adalah satu penghormatan untuk beliau berkhidmat dalam lembaga Income Insurance.

"Saya berterima kasih dapat bekerja bersama pasukan yang berbakat dan berdedikasi, dan pengalaman itu sangat memberikan kepuasan kepada saya," tambahnya.

Income Insurance turut mendedahkan bahawa lembaganya sudah memulakan proses untuk melantik pengerusi baharu.

"Butiran lanjut akan dikongsi semasa mesyuarat agung tahunan akan datang," katanya.

Penghujung penggal Encik Ong sebagai pengerusi menyaksikan Income Insurance terlibat dalam tengkarah yang melibatkan saranan perjanjian yang akan menyaksikan ia diambil alih oleh syarikat insurans Jerman, Allianz.

Pada Julai tahun lalu, Allianz menawarkan kira-kira S$2.2 bilion pada masa itu untuk memperoleh 51 peratus pegangan saham dalam Income Insurance. NTUC Enterprise menyatakan pada masa itu bahawa ia akan kekal sebagai pemegang saham "besar" dalam Income Insurance jika penjualan itu berjaya dilaksanakan.

Bagaimanapun, berikutan maklum balas awam, pemerintah bertindak untuk menyekat transaksi itu pada Oktober, dan Allianz menarik balik tawarannya pada Disember lalu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita