Skip to main content

Singapura

Pengerusi eksekutif CDL, Kwek Leng Beng, pecat anak sebagai CEO kumpulan susuli percubaan "rampas kuasa"

Perbalahan keluarga di salah sebuah syarikat hartanah terbesar Singapura berubah menjadi pertikaian undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi eksekutif CDL, Kwek Leng Beng, pecat anak sebagai CEO kumpulan susuli percubaan "rampas kuasa"

Encik Kwek Leng Beng (kiri) dan anaknya, Encik Sherman Kwek (kanan). (Gambar fail: TODAY/Hong Leong, laman City Developments Limited)

Diterbitkan : 26 Feb 2025 12:58PM Dikemas Kini : 26 Feb 2025 01:00PM
SINGAPURA: Perbalahan keluarga di salah sebuah syarikat hartanah terbesar Singapura berubah menjadi pertikaian undang-undang. Pengerusi Eksekutif City Developments Limited (CDL) Kwek Leng Beng mengheret anaknya, CEO kumpulan Sherman Kwek, ke mahkamah atas dakwaan kecuaian tadbir urus dan percubaan rampasan kuasa di peringkat lembaga syarikat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (26 Feb), Encik Kwek menuduh anaknya dan sekumpulan pengarah, termasuk Philip Lee dan Wong Ai Ai, melangkau Jawatankuasa Pencalonan CDL untuk melakukan perubahan lembaga tanpa semakan yang sewajarnya. Beliau berkata kertas mahkamah sudah difailkan pada Selasa untuk menangani apa yang beliau gambarkan sebagai percubaan "rampasan kuasa" dan bagi memulihkan integriti korporat.

Pertikaian tersebut berpusat pada peristiwa yang bermula pada 28 Januari, apabila satu emel dihantar kepada lembaga syarikat berkenaan bagi mencalonkan dua pengarah bebas baharu. Masa emel tersebut dihantar, yang juga merupakan malam sebelum Tahun Baharu Cina, serta keadaan tergesa-gesa untuk meluluskan pelantikan itu menimbulkan kebimbangan, kata Encik Kwek Leng Beng.

Encik Chong Yoon Chou, pengerusi Jawatankuasa Pencalonan, "sama sekali tidak sedar" akan pencalonan tersebut, kata Encik Kwek Leng Beng.

"Pada 29 Januari 2025, saya mempersoalkan tindakan tergesa-gesa dalam melantik dua pengarah baharu tambahan, sambil menekankan bahawa keputusan tadbir urus yang penting sedemikian tidak harus dipercepatkan tanpa usaha dan pemeriksaan yang sewajarnya," tulisnya.

Walaupun ada bantahan, mesyuarat lembaga diadakan pada 7 Februari. Tiada undian diambil, tetapi beberapa jam kemudian, ketetapan bertulis yang meluluskan pelantikan tersebut diluluskan, kata Encik Kwek Leng Beng.

Langkah itu, menurut Encik Kwek, menunjukkan usaha yang dirancang terlebih dahulu oleh anaknya dan pengarah lain untuk mengukuhkan pengaruh mereka.

Ketegangan bertambah buruk apabila Encik Kwek memohon anaknya Sherman Kwek yang merupakan CEO kumpulan dipecat pada 8 Februari. Beliau memetik peranan anak dalam apa yang beliau sifatkan sebagai beberapa kegagalan tadbir urus. Lembaga syarikat tersebut, kini diketuai oleh Encik Philip Lee, menentang langkah tersebut.

Encik Kwek Leng Beng menunjukkan kesilapan perniagaan masa lalu di bawah kepimpinan Encik Sherman Kwek, termasuk kerugian S$1.9 bilion daripada pelaburan CDL dalam pemaju hartanah China Sincere Property pada 2020 dan pulangan yang kecil daripada usahasama hartanah Britain. Prestasi harga saham CDL juga lemah sejak Encik Sherman Kwek mengambil alih pada 2018, katanya.

"Sebagai seorang bapa, memecat anak saya bukanlah keputusan yang mudah," kata Encik Kwek.

"Saya terima bahawa keputusan perniagaan adalah sukar dan orang muda mungkin membuat kesilapan perniagaan dalam kerjaya mereka dan itu boleh difahami, tetapi melanggar undang-undang tadbir urus korporat merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali."

Encik Kwek Leng Beng, yang sudah memimpin CDL selama lebih 50 tahun, berjanji untuk mengambil semua langkah undang-undang yang perlu untuk melindungi tahap tadbir urus syarikat dan kepentingan pemegang sahamnya.

Jika tindakan undang-undang oleh Encik Kwek Leng Beng berjaya, Encik Kwek Eik Sheng, yang kini merupakan ketua pegawai operasi kumpulan, akan berkhidmat sebagai CEO kumpulan sementara sekiranya Encik Sherman Kwek dipecat.

Beliau menggesa pemegang saham menyokong usaha untuk "memulihkan tadbir urus yang kuat" di CDL, sambil memberi amaran bahawa pertikaian yang dihadapi berisiko merosakkan reputasi syarikat dan kestabilan jangka panjang.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita