Pengerusi AMP Zhulkarnain Rahim letak jawatan; Dr Md Badrun Nafis diangkat Pemangku Pengerusi
SINGAPURA: Dalam satu perkembangan yang boleh dianggap memeranjatkan, Pengerusi AMP, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim melepaskan jawatannya daripada badan bantu diri itu - hanya setelah sekitar dua bulan beliau memimpin AMP.
(Gambar: AMP)
SINGAPURA: Dalam satu perkembangan yang boleh dianggap memeranjatkan, Pengerusi AMP, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim melepaskan jawatannya daripada badan bantu diri itu - hanya setelah sekitar dua bulan beliau memimpin AMP.
Menurut satu kenyataan AMP yang dikeluarkan hari ini (1 Apr), Encik Zhulkarnain meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Pengarah AMP pada Sabtu, 30 Mac.
Beliau baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi AMP pada 25 Januari tahun ini.
Dengan ketiadaan Encik Zhulkarnain, Lembaga Pengarah AMP melantik Dr Md Badrun Nafis Saion sebagai Pemangku Pengerusi berkuat kuasa 30 Mac.
Dr Badrun, 44 tahun, seorang doktor gigi pediatrik di Q & M Dental Care, merupakan pengarah dilantik Lembaga AMP sejak 2015.
KENAPA ZHULKARNAIN LETAK JAWATAN?
BERITAmediacorp cuba menghubungi namun belum dapat menembusi talian telefon Encik Zhulkarnain sehingga artikel ini diterbitkan, untuk mendapatkan komen langsung daripada beliau.
Namun menurut kenyataan AMP itu, Encik Zhulkarnain "mengundurkan diri daripada Lembaga AMP untuk memberi tumpuan kepada kerjaya dan komitmen peribadi yang termasuk pelibatan beliau dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan".
Semasa BERITAmediacorp menghubungi AMP untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai "pelibatan beliau dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan", jurucakapnya menjawab bahawa ia ada berkaitan dengan "acara-acara akar umbi dan pelibatan beliau bersama pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam lain".
Encik Zhulkarnain, seorang peguam yang merupakan Rakan Kongsi Litigasi dan Resolusi Pertikaiandi firma antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP. Beliau juga masih berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat Rumah Wanita Casa Raudha dan anggota lembaga pengarah Yayasan Warisan Melayu (MHF).
KEPIMPINAN ZHULKARNAIN DI AMP
Beliau adalah pengerusi paling muda pernah dilantik AMP sejak ia ditubuhkan pada 1991.
Di bawah pimpinan Encik Zhulkarnain, badan itu menjalani satu proses penjenamaan semula dan kini dikenali sebagai AMP sahaja, dan bukan lagi sebagai Angkatan Karyawan Islam.
Ia demi mencerminkan arah pertubuhan itu yang bukan sahaja menghulurkan khidmat kepada masyarakat Islam setempat, tetapi kepada pembangunan masa depan seluruh masyarakat.
Salah satu inisiatif utama yang diterajui Encik Zhulkarnain sepanjang tempoh hampir tiga bulan lalu adalah 'Community In Review' 2019 dua minggu lalu, yang mengupas masalah dadah yang membelenggu Singapura.
Selain itu, satu lagi inisiatif baru yang beliau terajui ialah AMPx yang memperluas sasarannya. Mula dirintiskan pada Januari 2018, inisiatif tersebut tertumpu kepada empat bidang utama - penghasilan idea, jalinan rangkaian, wadah bagi permulaan masyarakat dan pembinaan keupayaan serta latihan.
"Lembaga AMP dan pengurusannya mengucapkan terima kasih kepada Encik Zhulkarnain di atas perhatiannya yang mendalam dan kepimpinannya sejak empat tahun lalu dan menjangkakan sumbangan berterusan beliau kepada AMP dan masyarakat Muslim di Singapura," menurut AMP dalam kenyataannya hari ini.
Biarpun sudah meletak jawatan, Encik Zhulkarnain akan terus kekal selaku Pengerusi Jawatankuasa Peneraju bagi Konvensyen Nasional Karyawan Melayu/Islam Singapura Ke-4, yang dijadual berlangsung pada 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.