Skip to main content

Singapura

Pengendalian kontena naik 6.1% pada 2025 meski perdagangan global tidak menentu

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendalian kontena naik 6.1% pada 2025 meski perdagangan global tidak menentu

PSA juga akan gajikan lebih 2,500 lagi kaitangan baharu tahun ini untuk pelbagai jawatan seperti pengandali pelabuhan barisan hadapan, IT dan sains data. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Meskipun berdepan ancaman perang dagang global dan perubahan dalam rantaian bekalan, jumlah pengendalian kontena mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus bagi empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“(Pengendalian) kontena kekal kukuh di tengah-tengah apa yang sedang berlaku di seluruh dunia dengan ketidaktentuan dan pergolakan yang semakin meningkat serta perubahan dalam rantaian bekalan global,” kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat.

“Saya berharap ini sesuatu yang dapat diteruskan.”

Dalam sidang media di Bangunan 3 Terminal Pasir Panjang PSA pada Jumaat (16 Mei), Encik Chee menambah bahawa dalam jangka masa terdekat, syarikat-syarikat telah meningkatkan aktiviti perdagangan disebabkan penangguhan kenaikan tarif, yang seterusnya memberi manfaat kepada Singapura.

“Ada peningkatan daripada segi syarikat yang cuba mempercepatkan penghantaran dan mengejar masa bagi cuba memanfaatkan sepenuhnya tempoh ini,” kata Encik Chee.

Amerika Syarikat dan China bersetuju pada Isnin untuk mengurangkan tarif tinggi yang dikenakan ke atas barangan masing-masing selama 90 hari.

Encik Chee berkata bahawa bagi empat bulan pertama tahun ini sahaja, jumlah pengendalian kontena mencecah 14.18 juta kontena 20 kaki (TEU). Pada 2024, PSA Singapore – sebelum ini dikenali sebagai Penguasa Pelabuhan Singapura – mencatat rekod 40.9 juta TEU.

“Dalam jangka masa terdekat, sememangnya terdapat pertumbuhan, tetapi dalam jangka masa sederhana, kita perlu beri perhatian kepada bagaimana perubahan ini akhirnya akan berlaku,” kata Encik Chee sambil menambah bahawa ekonomi global sedang melalui “transformasi dan perubahan”, dengan rantaian bekalan dan operasi perniagaan yang baharu.

Beliau berkata pelabuhan Singapura perlu kekal tangkas dan relevan walaupun pelanggan mengubah asal dan destinasi barangan mereka, serta kaedah pengangkutan kargo.

“Kita mahu pastikan kita menawarkan tawaran nilai yang kukuh kepada pelanggan kita, supaya tidak kira bagaimana perubahan ini berlaku, mereka tetap mahu melalui Singapura.”

“Jadi ya, akan ada kesan negatif dalam sesetengah bidang atau sektor, tetapi juga mungkin akan wujud peluang baharu,” katanya.

Beliau berkata situasi perdagangan yang tidak menentu ini sedang dipantau rapi oleh Pasukan Bertindak Ketahanan Ekonomi Singapura yang baharu, yang turut disertainya.

“Salah satu tugas dalam pasukan bertindak ini adalah untuk mengenal pasti dan merebut peluang-peluang baharu ini,” katanya, sambil berkata bahawa Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, yang mempengerusikan pasukan bertindak itu, akan memberikan kemas kini lanjut.

LEBIH BANYAK PEKERJAAN UNTUK SOKONG PELUASAN PELABUHAN

PSA juga akan mengambil lebih 2,500 pekerja tahun ini dalam pelbagai peranan seperti operasi pelabuhan barisan hadapan, IT dan sains data.

Pekerjaan ini akan diwujudkan untuk menyokong pertumbuhan dan peluasan PSA, termasuk operasi PSA di Pelabuhan Tuas yang baharu, yang kini mempunyai 11 dermaga yang beroperasi.

Satu lagi dermaga dirancang siap menjelang akhir tahun ini, empat lagi pada 2026 dan dua lagi pada 2027, kata Encik Chee.

Apabila siap sepenuhnya pada tahun 2040-an, Pelabuhan Tuas akan mempunyai kapasiti pengendalian sebanyak 65 juta TEU.

Encik Chee menambah bahawa pelaburan dalam teknologi juga penting untuk operasi pelabuhan Singapura.

Salah satu contohnya ialah menyelesaikan cabaran untuk mencari pemandu kenderaan berat bagi operasi pelabuhan.

Oleh itu, ujian teknologi sedang dijalankan dalam pelabuhan, dan langkah seterusnya mungkin melibatkan ujian antara Pasir Panjang dan Tuas.

“Kita tidak boleh leka, kita mesti terus melabur untuk kekal di hadapan, dan teknologi ialah salah satu bidang yang boleh memberikan kelebihan tambahan dari segi daya saing dan daya penghasilan,” katanya.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita