Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendali teksi boleh tukar kereta terpakai jadi teksi bagi wujudkan persaingan lebih adil dengan kereta sewa privet

Pengendali teksi akan diberi lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan kenderaan mereka. Satu peraturan baharu akan membenarkan mereka menukar kereta terpakai yang berusia kurang lima tahun menjadi teksi, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Amy Khor, pada Rabu (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali teksi boleh tukar kereta terpakai jadi teksi bagi wujudkan persaingan lebih adil dengan kereta sewa privet

Teksi berbaris di sepanjang Battery Road pada waktu puncak di kawasan pusat perniagaan pada 2 Jun 2020. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Mar 2025 06:20PM Dikemas Kini : 05 Mar 2025 06:23PM
SINGAPURA: Pengendali teksi akan diberi lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan kenderaan mereka. Satu peraturan baharu akan membenarkan mereka menukar kereta terpakai yang berusia kurang lima tahun menjadi teksi, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Amy Khor, pada Rabu (5 Mac).

Perubahan yang diumumkan di parlimen sebagai sebahagian daripada rancangan perbelanjaan Kementerian Pengangkutan (MOT) tahun ini memberi pengendali satu lagi pilihan untuk mengembangkan perkhidmatan mereka, yang dapat membantu mengurangkan kos, kata Dr Khor.

Pengendali yang ingin menukar kereta terpakai menjadi teksi perlu mendapatkan kelulusan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Ini merupakan salah satu langkah yang dilaksanakan kementerian untuk menjadikan persaingan lebih adil antara teksi dengan kereta sewa privet (PHC).

Pengendali teksi juga akan dibenarkan untuk menjual semula teksi yang berusia lebih tiga tahun, sehingga 5 peratus daripada kenderaan yang mereka miliki. Langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan risiko pengendali dalam menguji model teksi baharu, seperti kenderaan pelbagai guna (MPV), yang lebih mahal tetapi lebih sesuai bagi penumpang yang memerlukan kenderaan yang lebih besar, kata Dr Khor.

Had tahunan pada 2 peratus bagi penambahan teksi juga akan kekal digantung, supaya pengendali boleh terus menambah jumlah kenderaan mereka melebihi 2 peratus setahun. Had tersebut, yang mula diperkenalkan pada 2013, digantung sejak 2021 untuk membolehkan pengendali teksi menambah kenderaan mereka selepas pandemik.

Langkah-langkah tersebut memerlukan masa untuk dilaksanakan, menurut LTA dalam satu kenyataan.

LTA akan terus berbincang dengan pengendali teksi, Persatuan Teksi Nasional, dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional mengenai rancangan pelaksanaan, dan butiran lanjut akan diberikan pada masa akan datang.

Jumlah teksi sudah berkurang lebih separuh dalam tempoh sedekad lalu, daripada sekitar 28,700 pada 2014 kepada kira-kira 13,100 pada 2024, menurut LTA.

Berbanding dengan PHC, teksi menanggung kos operasi yang lebih tinggi disebabkan perbezaan dalam peraturan. Khidmat teksi tertakluk kepada lebih banyak sekatan, yang menyebabkan kos sewa lebih tinggi bagi pemandu teksi, tambah pihak berkuasa.

"Langkah-langkah ini memberi pengendali teksi lebih banyak fleksibiliti untuk mengurus kos dan menambah jumlah kenderaan mereka," kata Dr Khor. "Langkah-langkah ini selaras dengan usaha kami dalam sektor PHC untuk menjadikan persaingan antara teksi dengan PHC lebih adil."

DASAR BAHARU BAGI STABILKAN TAWARAN KERETA SEWA PRIVET

Langkah-langkah juga akan diperkenalkan untuk menstabilkan bekalan kereta sewa privet. Dengan penguatkuasaan serta-merta, LTA mewajibkan sejarah kenderaan didedahkan bagi semua kereta sewa privet yang baru didaftarkan, ditukar, atau dipindahkan.

"Langkah ini akan meningkatkan ketelusan dalam pasaran jual beli semula, dan menggalakkan pendaftaran kenderaan hanya untuk tujuan yang dimaksudkan," kata Dr Khor.

Peraturan baharu tersebut merangkumi kereta yang didaftarkan dibawah Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang diperoleh daripada bidaan COE yang akan berakhir pada hari Rabu.

Dasar tersebut diperkenalkan selepas pengenalan tempoh sekatan selama tiga tahun bagi kereta sewa privet milik syarikat yang mula berkuat kuasa bulan lepas, untuk memastikan syarikat memperoleh kenderaan terutamanya untuk disewakan kepada pemandu yang menyediakan khidmat teksi.

LTA juga mengumumkan rancangan untuk mengenakan syarat tambahan ke atas pengendali perkhidmatan teksi besar, dengan pengawasan yang lebih ketat dan syarat untuk mendedahkan data.

Ini kerana pengendali besar, "disebabkan oleh rangkaian mereka yang lebih besar, mendapat manfaat daripada kesan rangkaian, yang seterusnya memberi mereka kuasa untuk menetapkan norma pasaran," menurut LTA.

Syarat tambahan tersebut tidak akan menjejaskan pertumbuhan, tetapi memberikan perlindungan terhadap amalan yang boleh menjejaskan pilihan pemandu dan penumpang, menurut LTA, sambil menambah bahawa ia akan menjalankan sesi rundingan dalam merumuskan syarat berkenaan.

LEBIH BANYAK "PERHENTIAN P2P"

Sembilan perhentian teksi yang sering digunakan di kawasan pusat perniagaan akan ditukar kepada "perhentian P2P", sebagai tindak balas kepada permintaan daripada pemandu PHC dan penumpang, kata Dr Khor.

Perhentian tersebut boleh digunakan sebagai tempat untuk naik atau turun daripada teksi atau kereta sewa privet.

Kesemua perhentian akan ditukar secara berperingkat, menurut LTA, bermula dengan perhentian E19 di Shenton Way di luar OUE Downtown dan E13 di Battery Road di Straits Trading Building.

"Kami akan memantau kesan terhadap keadaan trafik jalan raya dan penggunaan perhentian teksi yang ditukar sebelum memutuskan sama ada ia boleh diperluaskan ke perhentian teksi lain," kata Dr Khor.

Tempat menunggu teksi akan kekal eksklusif untuk teksi, agar ia dapat terus berkhidmat kepada penumpang yang menunggu di sepanjang jalan.

LTA juga akan melancarkan Geran Inklusiviti Pembiayaan Bersama P2P, yang bertujuan membantu pengendali membangunkan huraian bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan mereka. Ini adalah untuk menangani isu seperti warga emas yang sukar menggunakan aplikasi perkhidmatan teksi, menurut LTA.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan