Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendali tajaka alu-alukan pemasangan CCTV mandatori, sediakan persekitaran sihat untuk guru & kakitangan

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali tajaka alu-alukan pemasangan CCTV mandatori, sediakan persekitaran sihat untuk guru & kakitangan

Gambar-gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri & Qistina Aisyah

SINGAPURA: Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di pusat prasekolah boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak iaitu pihak ibu bapa dan anak-anak mereka mahupun pusat berkenaan dan para kakitangan.

Ia juga boleh dijadikan bahan rujukan atau bukti sekiranya terjadi apa-apa yang tidak diingini.

CCTV di Pusat Tajaka Ilham. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Ini antara sebab mengapa Pusat Tajaka dan Pembangunan Happy Kids dan kakitangan mereka mengalu-alukan langkah Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) mewajibkan pemasangan CCTV.

Kesemua prasekolah dan pusat intervensi awal akan diwajibkan memasang CCTV mulai Julai tahun depan.

Rancangan untuk mewajibkan CCTV itu sudah pun dimaklumkan kepada para pengendali oleh ECDA sejak Februari tahun ini.

Buat masa ini, Pusat Tajaka & Pembangunan Happy Kids belum lagi memasang CCTV di pusat yang terletak di Tampines itu.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"ECDA mengumumkan bahawa kita harus memasang CCTV menjelang Julai jadi kita sudah pun mengadakan mesyuarat bersama para guru untuk mengenal pasti kawasan-kawasan dalam setiap bilik darjah yang kita harus pasang CCTV," kongsi Pengetuanya, Cik Aidah Akbar.

"Jadi buat masa ini, saya sedang mencari para penyedia (CCTV) untuk datang dan memberikan harga dan daripada sana, kita akan membuat keputusan dan Happy Kids merancang untuk memasang CCTV ini secepat mungkin, tidak semestinya tunggu sehingga Julai tahun hadapan," tambahnya.

CCTV YANG WAJIB BERI MANFAAT KEPADA SEMUA PIHAK, SATU LANGKAH KESELAMATAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Langkah untuk memasang CCTV itu menurut Cik Aidah dapat memberi manfaat kepada kesemua pihak memandangkan ia merupakan satu "langkah keselamatan".

Para guru di Happy Kids juga mengalu-alukan langkah tersebut meskipun perlu menyesuaikan diri.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Kami memahami tentang keperluan untuk memasang CCTV di sekolah kami kerana ini akan memanfaatkan kedua belah pihak," kongsi salah seorang gurunya dengan pengalaman 22 tahun, Cik Irlena Marzaini. 

"Tidak dinafikan yang kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan adanya CCTV ini, tetapi dengan tindakan ini dalam jangka masa yang panjang, ia dapat memberikan ketenangan kepada semua pihak dan CCTV ini juga boleh dijadikan sebagai langkah keselamatan untuk semua yang berada di dalam sekolah," kongsi seorang lagi guru, Cik Nurmaslinda Mohd Dena.

Ini lebih-lebih lagi setelah terbit kes penganiayaan kanak-kanak di Kinderland baru-baru ini.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Berikutan kejadian itu, Pusat Tajaka & Pembangunan Happy Kids mengingatkan para gurunya untuk "sentiasa menggunakan cara-cara yang positif apabila berbicara dan apabila menguruskan kanak-kanak".

Menurut pengetua di sekolah itu, pihak pengurusan juga bekerja rapat dengan semua guru di pusatnya.

"Sudah menjadi kebiasaan saya bekerja rapat dengan semua guru-guru saya terutamanya guru-guru yang menjaga kanak-kanak dalam kelompok yang paling muda dan yang terkecil jadi semua guru-guru mereka tahu cara kami, proses dalaman kami dan mereka juga telah diberikan garis panduan, apa yang harus mereka harus buat sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan dalam menangani kanak-kanak ini," ujar Cik Aidah.

"Setiap kali ada budak baru yang masuk, kita di Pusat Pembangunan & Tajaka Happy Kids sentiasa akan menyediakan guru tambahan di dalam bilik darjah itu," tambah beliau.

Gambar: BERITA Mediacorp/Qistina Aisyah

Selain langkah pencegahan dan keselamatan sedemikian, pusat itu juga komited untuk menyediakan persekitaran yang sihat buat para guru dan kakitangannya.

"Guru-guru juga tidak digalakkan untuk membawa pulang kerja dan mereka diberikan masa yang memadai untuk menghabiskan tugasan yang diberikan di sekolah," ujar Cik Aidah.

PUSAT TAJAKA ILHAM SUDAH MEMASANG CCTV DI SEMUA PUSATNYA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Seperti Pusat Pembangunan & Tajaka Happy Kids, Pusat Tajaka Ilham turut akui tentang kepentingan pemasangan CCTV tersebut terutama sekali untuk memastikan "keselamatan kanak-kanak"

Malah, ia sudah pun memasang CCTV terlebih dahulu di pusat-pusat tajakanya, sejak ia dibuka lagi.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Sejak dari dulu, sejak beroperasi lagi, Tajaka Ilham sudah ada CCTV di semua cawangan kerana Pengarah kami, Encik Shaik, berpengalaman dalam Pasukan Polis Singapura (SPF) jadi dia telah mengambil sistem keselamatan yang dipanggil ADT dan menggunakannya untuk semua cawangan kami di Tajaka Ilham," ujar Pegawai Penolong Sumber Manusia, Cik Sri Nursaqdah.

"Di Tajaka Ilham, kita ada 16 CCTV di persekitaran sekolah, di kelas, sebelum masuk kelas, di pintu sekolah dan juga di pejabat," tambahnya berhubung jumlah CCTV yang ada di setiap pusatnya secara purata.


Untuk pusat itu juga, mereka mengingatkan para guru dan kakitangan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) mereka menyusuli kes penganiayaan di Kinderland itu.

"Kita juga meningkatkan langkah di mana guru-guru akan memeriksa (tubuh) kanak-kanak tiga kali sehari sebelum sekolah, sebelum masuk sekolah, waktu mandi dan juga pulang dari sekolah," dedah Cik Sri.

"Untuk kanak-kanak yang lebih besar, guru-guru akan bertanyakan soalan seperti manakah badan-badan yang sakit, dan kita akan memeriksa," tambahnya.

CCTV ACAPKALI JADI BAHAN BUKTI BAGI TUDUHAN KE ATAS GURU

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


Bagi salah seorang gurunya yang kami temui pula, beliau berkongsi bahawa pemasangan CCTV yang wajib itu merupakan inisiatif yang baik.

"Pada saya, ia adalah inisiatif yang baik demi keselamatan murid-murid dan juga para guru dan saya tidak berasa perkara ini perkara negatif kerana ia juga melindungi kami dari sebarang tuduhan," kongsi Cik Nur Elyana, 24 tahun.

"Rakaman CCTV telah acapkali juga membuktikan bahawa guru-guru tidak melakukan apa kesalahan dan ia juga membantu kami kalau ada sebarang tuduhan," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Cik Elyana juga tidak bimbang kerana yakin dengan kelakuan dan tindakannya bersama murid-muridnya.

"Sebagai guru, saya tidak berasa bimbang kerana saya yakin apa yang saya lakukan dengan murid-murid dan saya selalu melindungi mereka dan saya juga selalu memberitahu mereka supaya selalu menjaga diri dan kalau ada apa-apa selalu memberitahu guru," ujar Cik Elyana.

PUSAT TAJAKA ILHAM KERAP ADAKAN PERBINCANGAN TERBUKA DENGAN GURU

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Malah, di Pusat Tajaka Ilham, perbincangan terbuka sering diadakan oleh pengetua sekolah bersama para kakitangan dan gurunya sering mengenali antara satu sama lain.

Ini juga turut membantu dalam kesihatan mental dan fizikal para kakitangannya.

"Kami ada perbincangan terbuka jadi Pengetua sekolah dan ahli sekolah akan mengenali guru dan kakitangan lain dengan lebih baik lagi. Itu akan meningkatkan kenalan kami dengan kakitangan kami. Bukan itu sahaja, ia juga membantu dalam mental dan fizikal setiap kakitangan," menurut Cik Sri.

"Kami telah mengadakan mesyuarat setiap minggu untuk kumpulan ahli sekolah kami untuk meningkatkan isu-isu yang mereka ada di dalam kelas dan sekolah dan juga sesi perbincangan yang dikenali sebagai ‘What you say’ atau 'Apa yang anda katakan' di mana semua cikgu-cikgu dan kakitangan boleh berkongsi segala cabaran yang mereka ada di sekolah," jelasnya.

Para gurunya juga digalakkan untuk mendapatkan bantuan dari guru kanan atau pengetua sekolah sekiranya mereka menghadapi kesukaran untuk menangani murid-murid di kelas mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan