Pengendali sukan semak semula langkah keselamatan susuli tragedi panahan petir di Pasir Ris
Sekurang-kurangnya tiga pengendali sukan sedang menyemak semula prosedur keselamatan selepas seorang lelaki maut dipanah petir ketika melakukan aktiviti papan kayuh Ahad lalu (5 Jul), meskipun protokol sedia ada menetapkan agar semua aktiviti dihentikan sebaik sahaja terdapat tanda-tanda cuaca berbahaya.
Beberapa buah kayak dikepung menggunakan garisan keselamatan selepas seorang lelaki maut dipanah petir ketika melakukan aktiviti papan kayuh di perairan Pantai Pasir Ris. (Gambar: CNA/Vanessa Lim)
Para pengendali memberitahu Mediacorp bahawa meskipun amaran petir Kategori 1 merupakan isyarat jelas supaya aktiviti dihentikan, para jurulatih juga bergantung pada pemerhatian mereka sendiri kerana keadaan di laut boleh berubah dengan lebih pantas berbanding amaran rasmi.
Fish On, yang menawarkan khidmat sewa kayak serta lawatan berpandu berkayak, menyatakan ia kini sedang berbincang dengan satu lagi pengendali aktiviti memancing menggunakan kayak bagi meningkatkan protokol keselamatannya.
Pengasasnya, Mohammad Nordin, berkata syarikat itu bergantung pada amaran petir daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) serta pemerhatian sendiri untuk menganggarkan sejauh mana kedudukan panahan petir.
"Sebaik sahaja melihat kilat, kami akan mula mengira tempoh sebelum bunyi guruh kedengaran. Daripada situ, kami dapat menganggarkan jarak petir," kata beliau.
"Secara ideal, apabila petir berada kira-kira enam kilometer dari kami, kami perlu mula menuju ke tempat perlindungan terdekat. Jika ia berada dalam lingkungan tiga kilometer, kami sepatutnya sudah semakin hampir ke tempat perlindungan, dan jika hanya satu kilometer, kami sepatutnya sudah berada di bawah perlindungan. Namun dalam keadaan sebenar, kilat pada jarak enam kilometer selalunya agak samar, jadi kami mungkin tidak dapat melihatnya."
Beliau berkata sistem amaran petir di lokasi, yang menggunakan lampu dan semboyan untuk memberi amaran kepada mereka yang berada di laut, juga mungkin kurang berkesan bagi mereka yang berada lebih jauh dari pantai.
"Jika kami berada berdekatan, kami masih boleh mendengar semboyan. Namun jika berada lebih 300 meter dari pantai, bunyinya hampir tidak kedengaran. Walaupun terdapat lampu amaran, kami tidak dapat melihatnya dari laut kerana dihalang pokok-pokok."
Encik Nordin berkata beliau merancang laluan yang membolehkan para peserta tiba di tempat perlindungan dalam tempoh 30 minit sekiranya cuaca berubah buruk. Setiap pelanggan juga dibekalkan dengan alat komunikasi 'walkie-talkie' bagi memastikan mereka boleh dihubungi ketika berada di laut.
Menurut beliau, kejadian pada Ahad lalu dilihat sebagai satu kejadian terpencil.
"Sepanjang bertahun-tahun saya terlibat dalam aktiviti memancing menggunakan kayak, saya tidak pernah berdepan situasi seperti ini. Jadi ia benar-benar mengejutkan.
"Saya tidak pasti sejauh mana lagi kami boleh meningkatkan prosedur sedia ada, tetapi saya ingin berbincang dengan pengendali lain untuk melihat sama ada terdapat langkah tambahan yang boleh diambil," kata beliau.
Encik Mikhail Benyamin, seorang jurulatih bebas sukan laut yang pernah bekerjasama dengan Outdoor Adventures, maut dipanah petir di perairan Pantai Pasir Ris pada Ahad lalu. Beliau meminjam papan kayuh dan kayak daripada Kokomo Beach Club, sebuah jenama di bawah Outdoor Adventures, untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakannya.
Kejadian itu berlaku kurang dua bulan selepas seorang pekerja di sebuah ladang ikan di Lim Chu Kang maut dipanah petir, sekali gus mencetuskan persoalan berhubung langkah-langkah yang perlu dilakukan semasa menjalankan aktiviti luar untuk memberi respons terhadap perubahan cuaca yang berlaku dengan pantas.
MENYEMAK SEMULA LANGKAH KESELAMATAN
Sehari selepas pemergian Encik Mikhail, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Outdoor Adventures, Berwin Tan, berkata syarikat itu akan mempertingkat latihan untuk para jurulatih, khususnya dalam mengenal pasti perubahan cuaca serta mengendalikan keadaan di laut yang berubah-ubah.
Sebuah lagi syarikat yang menganjurkan aktiviti berkayak berpandu, berbasikal dan pengalaman alam semula jadi menyatakan ia turut menyemak semula langkah keselamatannya sejurus selepas mengetahui tentang kejadian tersebut.
Adventures by Asian Detours menyatakan semakan itu meliputi latihan jurulatih, protokol kecemasan, prosedur pemindahan serta taklimat kepada para peserta, termasuk memastikan mereka mengetahui laluan perjalanan, lokasi pendaratan paling dekat dan pihak yang perlu dihubungi di tengah-tengah kecemasan.
Kakitangan operasi dan jurulatih memantau keadaan cuaca secara berasingan sebelum peserta memulakan aktiviti, dengan para jurulatih turut memberikan laporan sebelum aktiviti bermula. Jika keadaan cuaca bertambah buruk, aktiviti akan ditangguhkan atau dibatalkan, kata Ketua Operasinya, Samuel Tan.
"Kami memang menyemak semula protokol kami bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku. Namun kerana kejadian itu berlaku ketika cuaca kelihatan cerah, ia sesuatu yang tidak dapat kami ramalkan. Jika tidak, kami langsung tidak boleh keluar berkayak walaupun langit cerah, dan itu bukan sesuatu yang praktikal," kata beliau.
"Jadi dengan sedaya upaya, kami mengawal keadaan berdasarkan data yang kami kumpulkan serta bergantung pada apa yang kami lihat dan alami sendiri untuk menentukan sama ada sesuatu program boleh diteruskan."
Beliau menambah, peserta akan diberi taklimat sebelum setiap perjalanan mengenai lokasi pemindahan di sepanjang pesisir pantai supaya mereka tahu di mana untuk mendarat dengan segera sekiranya cuaca berubah.
Menurut Encik Tan, kejadian tersebut tidak menyebabkan peningkatan ketara dari segi pembatalan tempahan, namun ia meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pemain industri.
"Ia benar-benar menjadi peringatan untuk kami menyemak semula protokol sedia ada. Adakah semuanya dilakukan dengan betul? Adakah semua orang tahu apa yang perlu mereka lakukan?"
GARIS PANDUAN BERDASARKAN CUACA
Persekutuan Kanu Singapura, iaitu persatuan sukan nasional bagi sukan dayung, menyatakan kod amalannya menetapkan bahawa semua aktiviti berdayung mesti dihentikan atau tidak dimulakan sekiranya pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca atau petir Kategori 1.
Aktiviti juga mesti dihentikan apabila para jurulatih atau pegawai keselamatan menilai keadaan sebagai tidak selamat disebabkan oleh angin kencang, ombak bergelora, perubahan cuaca yang mendadak atau jarak penglihatan yang terhad.
Jika cuaca berbahaya berlaku secara tiba-tiba, peserta perlu segera menuju ke lokasi pendaratan paling dekat dan mendapatkan perlindungan tanpa berlengah.
Persatuan Pembelajaran Luar dan Pendidikan Pengembaraan pula menyatakan penyedia aktiviti perlu menetapkan "titik pencetus cuaca" yang jelas sebelum sesuatu program bermula, memantau ramalan serta keadaan cuaca sebenar secara berterusan, dan bersedia untuk mengubah, menangguhkan atau memindahkan aktiviti sekiranya keadaan menjadi tidak selamat.
Menurut persatuan itu, pemerhatian di lokasi serta pertimbangan profesional harus diberi keutamaan sekiranya keadaan sebenar didapati lebih berbahaya berbanding ramalan.
Para penyedia aktiviti juga harus menjalankan penilaian risiko yang merangkumi amaran petir, ramalan cuaca, angin, pasang surut, keadaan air serta bahaya persekitaran, di samping menyemak semula program dan mengambil iktibar daripada insiden serta kejadian yang hampir membawa kepada perkara yang tidak diingini.
CEO Persekutuan Kapal Layar Singapura, Leslie Tan, berkata para jurulatih diarahkan supaya segera kembali sebaik sahaja petir dikesan memasuki kawasan latihan mereka.
"Apabila ia jelas bahawa petir berada dalam kawasan latihan kami, kami akan segera mengarahkan semua orang untuk pulang. Kami menggunakan radio untuk memaklumkan kepada para jurulatih supaya kembali, kerana amaran petir telah dikeluarkan.
"Kami juga menggunakan sistem siaran untuk mengarahkan semua orang supaya kembali dan menjauhi kawasan terbuka," kata beliau.
LANGIT CERAH TIDAK SEMESTINYA SELAMAT
Profesor Madya Wang Xian Feng dari Pusat Perubahan Iklim dan Kesihatan Persekitaran Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata Singapura melalui sekitar 170 hari yang disertai petir setiap tahun, menjadikannya antara kawasan yang paling kerap mengalami kejadian petir di dunia.
Menurut beliau, petir boleh menyambar sehingga sejauh 10 kilometer. Ia bermakna sambaran petir yang berbahaya masih boleh berlaku walaupun langit kelihatan cerah.
"Langit yang cerah tidak semestinya bermakna keadaan selamat," katanya sambil menambah bahawa jika bunyi guruh masih boleh didengar, petir berada di kedudukan yang cukup hampir untuk mendatangkan bahaya.
Beliau berkata mereka yang berada di laut lebih terdedah kepada risiko kerana tidak mempunyai banyak tempat untuk berlindung. Selain itu, air laut juga mudah mengalirkan arus elektrik.
Jika terperangkap di kawasan terbuka ketika ribut petir, pilihan paling selamat adalah untuk mendapatkan perlindungan di dalam bangunan atau kenderaan yang tertutup sepenuhnya.
Jika kedua-duanya tidak ada, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi pokok yang tinggi dan, sebagai pilihan terakhir, mencangkung dengan kedua-dua kaki dirapatkan, sambil menundukkan kepala, dan bukannya berbaring di atas tanah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.