Pengendali The Online Citizen dilarang terima manfaat kewangan selama dua tahun lagi
Laman web dan media sosial The Online Citizen (TOC) sekali lagi dinamakan sebagai Lokasi Online yang Diisytiharkan (DOL) kerana menyebarkan kepalsuan berulang kali.
Sekatan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) itu merangkumi laman web TOC serta halamannya di platform media sosial, Facebook, Instagram dan X.
Ia melarang pengendali TOC daripada menerima sebarang manfaat kewangan melalui lamannya selama dua tahun lagi, menurut Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Rabu (11 Jun).
Ia adalah sekatan kedua terhadap TOC selepas sekatan pertama diumumkan pada Julai 2023.
Sekatan baharu itu akan berkuat kuasa pada 22 Julai, selepas tamat tempoh sekatan sedia ada, dan ia akan terus berkuat kuasa sehingga waktu tengah hari pada 21 Julai 2027, menurut MDDI.
Kementerian itu menyatakan sekatan itu perlu dilaksanakan kerana TOC masih menyebarkan kepalsuan sepanjang dua tahun lalu, termasuk topik-topik berkaitan hukuman mati serta skim bantuan kewangan dan sosial.
"Orang awam dinasihatkan supaya peka terhadap rekod TOC dalam menyampaikan kepalsuan menerusi di platform onlinenya, dan menyemak fakta maklumat yang diterbitkan di lokasi online tersebut," ia menambah.
Sebuah lokasi online seperti laman web atau halaman dinamakan sebagai DOL jika ia mengandungi sekurang-kurangnya tiga kenyataan fakta yang palsu yang tertakluk kepada arahan POFMA.
Sekurang-kurangnya tiga kenyataan itu juga harus diterbitkan ke lokasi online itu dalam tempoh enam bulan sebelum sekatan DOL dilaksanakan.
ARAHAN POFMA TERKINI
Pada Disember 2024, arahan pembetulan POFMA dikeluarkan terhadap TOC selepas ia menerbitkan rencana dan catatan media sosial yang memberi gambaran bahawa pihak-pihak tertentu, termasuk para menteri dibenarkan menjalankan urus niaga 'Good Class Bungalow' tanpa pengawasan awam atau pemantauan pemerintah.
Pada Februari, satu arahan pembetulan dikeluarkan selepas TOC menerbitkan rencana dan catatan media sosial yang mengandungi kenyataan palsu mengenai penyewaan serta kerja-kerja yang dijalankan di 26 Ridout Road.
"Walaupun sekatan sedia ada masih berkuat kuasa, TOC masih menyebarkan kepalsuan menerusi platform onlinenya sepanjang dua tahun lalu, justeru sekatan baharu ini adalah penting bagi memastikan rakyat Singapura tetap dimaklumkan mengenai rekod TOC menyebarkan kepalsuan," menurut MDDI.
Di bawah arahan tersebut, TOC perlu memuat naik notis pada setiap halaman miliknya untuk memaklumkan kepada para pembaca bahawa ia telah dinamakan sebagai DOL, bahawa ia telah menyampaikan beberapa kepalsuan dan para pengguna harus berwaspada apabila menggunakan maklumat itu.
KESAN KEWANGAN
MDDI menyatakan syarat-syarat sekatan baharu itu kekal tidak berubah daripada sekatan sedia ada.
Platform online TOC juga tidak perlu menghentikan operasinya.
Namun para penyedia perkhidmatan pengiklanan harus "mengambil langkah sewajarnya" untuk memastikan kandungan berbayar di platform TOC tidak disebarkan di Singapura.
Para individu dan syarikat juga tidak dibenarkan memberi sokongan kewangan kepada laman TOC bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu di platform-platform berkenaan.
Pengendali TOC boleh memohon kepada Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital untuk menggantung, meminda atau membatalkan perisytiharan tersebut.
Sekiranya permohonan ditolak, rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi.
Pada masa ini, terdapat tiga lagi laman yang turut diisytiharkan sebagai DOL.
Ia merangkumi laman web dan halaman media sosial Transformative Justice Collective, Gutzy Asia, dan Encik Kenneth Jeyaretnam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.