Skip to main content

Singapura

Pengendali makanan tidak lagi perlu pakai pelitup atau pelindung titisan air liur mulai 1 Jan 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali makanan tidak lagi perlu pakai pelitup atau pelindung titisan air liur mulai 1 Jan 2026
Pengendali makanan memakai pelitup dan pelindung titisan air liur. (Gambar fail: iStock)
Diterbitkan : 04 Dec 2025 07:07PM Dikemas Kini : 04 Dec 2025 07:08PM
SINGAPURA: Mulai 1 Januari 2026, para pengendali makanan di Singapura tidak lagi perlu memakai pelitup atau pelindung titisan air liuar sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan.

Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan dalam nasihat yang dikemas kini pada Khamis (4 Dis) bahawa ia menilai risiko keselamatan makanan daripada pekerja tidak menggunakan peralatan perlindungan tersebut adalah rendah.

"Pencemaran makanan terutamanya disebabkan oleh sanitasi yang tidak mencukupi, pengendalian dan pengurusan suhu yang lemah dan pendedahan antara makanan mentah dan makanan yang siap dimakan," menurut SFA.

Pada masa ini, semua pengendali makanan seperti yang terlibat dalam penyediaan dan penjualan makanan dan minuman di premis F&B wajib memakai pelitup atau pelindung titisan air liur yang menutup bahagian hidung dan mulut bagi mengelak bahan-bahan yang tempias daripada mencemari makanan. Peraturan itu sudah pun berkuat kuasa sejak April 2020.

Langkah untuk menarik balik keperluan bagi pelindung tersebut adalah sebahagian daripada semakan berkala SFA terhadap rangka kerja peraturan keselamatan makanan untuk memastikan ia kekal relevan dalam menangani risiko keselamatan makanan.

Sungguhpun begitu, SFA menyatakan kedai-kedai makan masih digalakkan untuk memastikan para pekerjanya memakai pelitup atau pelindung titisan air liur dengan betul sebagai "amalan baik" dan terus mengamalkan langkah-langkah keselamatan makanan yang baik.

Peralatan perlindungan tersebut juga perlu dijaga kebersihannya, kerana ia boleh menjadi sumber pencemaran jika tidak dikendalikan dengan betul.

Mengenai keputusan untuk menghapuskan keperluan wajib itu, Ketua Pengarah Pentadbiran Makanan dan Timbalan CEO SFA, Dr Tan Lee Kim, berkata: "Kami mengambil kira maklum balas industri, walaupun akhirnya dasar keselamatan makanan kami adalah berdasarkan sains dan bukti."

"Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama kerana makanan boleh dicemari di mana-mana sepanjang rantaian makanan," tambah SFA.

"Walaupun SFA terus berwaspada dan berusaha untuk memastikan langkah-langkah peraturan dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan betul, industri dan pengguna juga harus memainkan peranan mereka."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita