Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendali limbungan kapal didenda S$200,000 kerana cuai hingga sebabkan pekerja mati

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali limbungan kapal didenda S$200,000 kerana cuai hingga sebabkan pekerja mati

Gambar: Google Street 1 Benoi Road.

SINGAPURA: Sebuah pengendali limbungan kapal didenda S$200,000 pada Khamis (27 Okt) berhubung kematian seorang pekerja yang meninggal dunia selepas dilanggar sebuah forklift pada 2019.

Pada 26 Mei 2019, tukang cat rakyat Bangladesh berusia 30 tahun, Rahman Zillur, ditugaskan untuk bekerja di tapak Asia Pacific Shipyard (APS).

"Rahman sedang berjalan di tepi apabila forklift yang mengangkut alat mengecat ke kawasan simpanan limbungan kapal itu tiba-tiba memecut ke depan, merempuh pagar dan jatuh ke tempat beliau berjalan," menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataan medianya.

"Forklift itu melanggar Encik Rahman dan beliau mati di tempat kejadian akibat kecederaannya."

Pekerja yang memandu forklift itu, Shanmugam Sivarasu, dikenakan hukuman penjara 11 bulan pada 21 Julai, menurut MOM.

Dia memandu kenderaan itu tanpa sebarang latihan serta tahu brek kenderaan itu rosak.

"Perbuatannya yang cuai itu secara langsung menyebabkan kematian Encik Rahman," menurut MOM.

Penyelia yang di tapak itu, Yeduvaka Mali Naidu, dijatuhi hukuman penjara 11 bulan pada 10 Ogos selepas rayuan dibuat pihak pendakwa.

Siasatan MOM mendapati APS gagal mengambil tindakan untuk mencegah operasi forklift tanpa kebenaran, memastikan penyenggaraan yang betul dan kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan hanya dilakukan oleh pegawai yang cekap.

"Kegagalan APS itu menyebabkan berlakunya kemalangan maut," tambah MOM.

Amalan yang tidak tegas di tapak menyebabkan kematian berlaku pada 2019, kata Sebastian Tan, Pengarah Inspektorat Keselamatan dan Kesihatan Pekerja MOM, sambil menambah bahawa kejadian itu "tidak boleh diterima dan boleh dicegah sepenuhnya".

"MOM menggesa semua pihak berkepentingan untuk menjadikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sebagai keutamaan mereka."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan