Pengendali khidmat feri Desaru-S'pura dilantik
Terminal Feri Desaru Coast. (Ihsan: Desaru Coast)
SINGAPURA: Syarikat peranginan Desaru Coast Destination Resort melantik Desaru Link Ferry Services, anak syarikat pengendali feri Batam Fast Ferry, untuk mengendalikan khidmat feri antara Singapura dan Desaru di Johor.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan media bersama Desaru Coast dan Batam Fast pada Rabu (9 Mac). Ia menyusuli pengumuman bahawa Malaysia akan membuka sempadannya pada 1 April.
Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang bila khidmat tersebut akan bermula, jurucakap Desaru Coast berkata: "Perkhidmatan antara Singapura dan Malaysia bergantung kepada peraturan sempadan dan kelulusan daripada penguasa maritim kedua-dua negara."
Menurut kenyataan media tersebut, terdapat dua perjalanan ulang alik antara Terminal Feri Tanah Merah di Singapura dan Terminal Feri Desaru Coast pada Khamis hingga Ahad, dan satu perjalanan ulang alik dari Isnin hingga Rabu berdasarkan "permintaan pasaran".
Feri tersebut boleh membawa antara 150 sehingga 338 penumpang.
Kekerapan dan kapasiti feri-feri tersebut akan ditambah, sedang pasaran dan industri pelancongan beransur pulih, menurut pengendali resort dan feri tersebut.
"Laluan masuk antarabangsa sedemikian boleh membawa pelbagai faedah ekonomi dan sosial kepada masyarakat dan perniagaan di daerah tenggara Johor," menurut Roslina Arbak, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Desaru Development Holdings One.
Tahun lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob membincangkan pelancaran Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) Laut, kemungkinannya antara Singapura dan Desaru.
Feri Terminal Desaru Coast disarankan sebagai tempat ketibaan VTL Laut antara Singapura dan Desaru.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.