Pengendali kantin Sekolah Menengah Beatty ini teruskan warisan resipi ibunya, layan pelajar seperti anaknya sendiri
SINGAPURA: Minatnya dalam memasak bermula sejak beberapa dekad yang lalu.
Ketika itu, Cik Nor Aini Alwi hanya memotong sayur-sayuran, menumis rempah-ratus dan memasak hidangan di bawah pemantauan arwah ibunya.
Beberapa dekad kemudian, minatnya itu masih kekal berbekalkan banyak resipi yang diwarisi daripada ibunya itu.
Daripada memasak hanya untuk keluarganya saja, Cik Aini yang telah menjadi seorang pengendali kantin sekolah untuk lebih daripada dua dekad, menyiapkan makanan untuk ratusan orang setiap hari.
Beliau mula bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat kereta yang menjual kereta mewah seperti Ferrari dan Lamborghini sebelum mengambil keputusan untuk bertugas selaku pengendali kantin di Sekolah Menengah Monk’s Hill.
"Saya perlu mencari sesuatu yang bermakna dan memandangkan saya gemar memasak (dan) saya suka melihat orang lain gembira memakan masakan saya, mengapa tidak cuba gerai kantin?"
Setelah dua dekad berlalu, tiga sekolah disatukan dan beberapa kumpulan pelajar seterusnya, beliau masih setia menjalankan tugasnya di sekolah tersebut.
Rutin harian Cik Aini biasanya bermula seawal 3.00 pagi. Beliau memastikan kesemua bahan-bahan masakan bagi hari tersebut sudah disediakan.
Setelah sejam, beliau pun akan meninggalkan rumahnya di Yishun dan tiba di Sekolah Menengah Beatty pada 4.15 pagi
Dengan pertolongan sepupunya yang biasanya tiba kemudian, mereka sibuk melakukan persiapan selama dua jam supaya kebanyakan hidangan di gerai nasi padangnya yang dipanggil "Mamak Mia" siap untuk dihidangkan kepada pelanggannya tepat pada 6.30 pagi.
Terdapat hidangan istimewa yang ditawarkan pada kebanyakan hari - Nasi Ayam pada setiap Isnin, Roti Jala pada setiap Selasa, Lontong pada setiap Rabu dan Nasi Beriani pada setiap Khamis.
Cik Aini cuba untuk membantu para pelajar seboleh mungkin - sama ada dengan memberi bahagian makanan yang banyak mahupun makanan secara percuma.
"Saya boleh perhatikan jika seseorang pelajar itu tidak mempunyai wang yang cukup atau tidak ... Mereka akan hanya lalu-lalang sekalipun mereka tidak mahu makan," katanya.
"Apa yang paling penting bagi saya adalah untuk memastikan pelajar-pelajar ini mempunyai makanan yang cukup untuk makan dan mengisi perut mereka. Ia membolehkan mereka untuk belajar dengan baik kerana sekiranya mereka (ke kelas) dengan perut yang lapar, mereka tidak boleh belajar."
Beliau turut berhasrat untuk memastikan makanannya kekal dimampui oleh para pelajar. Malah, beliau belum menaikkan harga makanannya meski di tengah-tengah inflasi.
"KEGEMBIRAAN YANG JELAS TERPANCAR"
Setelah sekian lama bertugas di sekolah itu selama 21 tahun, Cik Aini mengenang bagaimana sebilangan pelajar berusaha untuk masih berhubungan dengannya.
Cik Aini berkongsi bahawa beliau berasa gembira dan berbesar hati kerana masih menerima panggilan daripada pelajar-pelajar, yang seringkali menyatakan bahawa mereka merindui masakan hasil air tangannya.
Pengetua sekolah tersebut, Harman Johll menyifatkan Cik Aini sebagai wanita yang sangat mesra, peramah yang memberi tumpuan kepada khasiat makanannya bagi memastikan para pelajar diberi makanan yang baik lagi dimampui.
"Beliau melakukan demikian dengan kegembiraan yang jelas terpancar di wajahnya dan saya fikir ia tersebar kepada sesiapa saja di kelilingnya, sama ada pelajar-pelajar ataupun guru-guru," tambah pengetua sekolah tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.