Pengendali feri harap aturan perjalanan khas dapat sertakan lebih banyak destinasi & terminal feri Batam, Bintan
Sekurang-kurangnya sebuah syarikat pengendali feri berharap dapat memulakan perkhidmatan di bawah aturan khas perjalanan laut Singapura-Indonesia yang dinanti-nantikan.

(Gambar: Bintan, Banyan Tree Bintan Resort)
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya sebuah syarikat pengendali feri berharap dapat memulakan perkhidmatan di bawah aturan khas perjalanan laut Singapura-Indonesia yang dinanti-nantikan.
Syarikat-syarikat lain juga berharap lebih banyak destinasi pelancongan dan terminal di pulau-pulau Batam dan Bintan disertakan dalam skim koridor perjalanan itu.
Demikian maklum balas mereka susulan aturan perjalanan khas itu yang diumumkan Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto pada Isnin (25 Jan).
Syarikat Bintan Resort Ferries bercadang menambah jumlah perjalanan feri-feri miliknya daripada sekali seminggu kepada tiga hingga empat kali sehari.
Syarikat berkenaan kini menerima sekitar 10 panggilan setiap jam sejak skim itu diumumkan pemerintah Indonesia.
Panggilan-panggilan itu dari rakyat Singapura yang berharap dapat berlibur ke Pulau Peranginan Bintan.
Syarikat itu sudah siap untuk menggerakkan semula kesemua lima feri miliknya sebaik sahaja mendapat lampu hijau dari pihak berkuasa Singapura.
Di bawah skim koridor perjalanan yang diumumkan pemerintah Indonesia, pengunjung Singapura perlu sudah lengkap divaksin dan hanya boleh mengunjungi Lagoi di Bintan dan Nongsa di Batam.
Ia hanya melibatkan dua daripada sekurang-kurangnya enam terminal feri di pulau-pulau itu.
Lantaran itu, pengendali lain seperti Sindo Ferry berharap lebih banyak kawasan Batam dan Bintan dimasukkan di bawah skim itu bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.