Skip to main content

Singapura

Pengendali dron yang rempuh kondominium one-north akan didakwa

Anggaran Waktu Membaca:
 Pengendali dron yang rempuh kondominium one-north akan didakwa

TUNDRA 2 Hexadrone Tundra 2 dan kondominium One-North Residences. (Gambar: AFP/Oliver Chassingnole; Facebook/One-North Residences)

SINGAPURA: Sebuah syarikat pengendali dron (UA) komersil akan didakwa di mahkamah menyusuli insiden di mana sebuah dron merempuh sebuah kondominium di kawasan one-north.

H3 Dynamics juga tidak lagi dibenarkan mengendalikan dron bagi tujuan ujian penerbangan dan demonstrasi, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Jumaat (25 Okt) selepas menyelesaikan siasatan ke atas insiden itu.

APA YANG BERLAKU?

Syarikat itu menjalankan beberapa ujian penerbangan UA pada 19 Julai melibatkan TUNDRA 2, iaitu dron yang dibuat oleh syarikat Perancis Hexadrone.

Ujian penerbangan itu dijalankan dari bangunan PIXEL, dalam kawasan estet dron di one-north - iaitu sekitaran bandar yang direka untuk syarikat-syarikat menjalankan ujian menggunakan dron.

Semasa ujian penerbangan kelapan, juruterbangnya hilang kawalan ke atas dron sejurus ia berlepas.

"UA itu melanggar permukaan sebuah bangunan di One-North Residences kira-kira 200 meter dari lokasi ia berlepas lalu terjatuh," menurut CAAS.

Satu kebakaran kemudian berlaku. Namun ia segera dipadamkan penghuni bangunan itu. Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada dron berkenaan dan tanda-tanda terbakar pada lantai bangunan. Tiada kecederaan dilaporkan.

DAPATAN UTAMA

CAAS memulakan siasatan ke atas H3 Dynamics selepas insiden itu, dengan menggantung operasi syarikat serta penggunaan TUNDRA 2 Hexadrone.

Siasatan sudahpun berakhir, menurut CAAS. Berikut dapatan utamanya.
  • H3 Dynamics tidak mematuhi sebahagian prosedur yang ditetapkan dalam manual operasi yang diserahkan kepada CAAS semasa memohon bagi permit pengendali.
  • Dron TUNDRA 2 yang terlibat dalam insiden itu sudah diubah suai oleh H3 Dynamics dan tidak dimaklumkan mahupun diluluskan oleh CAAS.
  • Seorang kakitangan H3 Dynamics yang mengendalikan dron semasa ujian penerbangan itu tidak memiliki lesen juruterbang UA.
  • Kakitangan H3 Dynamics tidak mematuhi prosedur Sistem Pengurusan Penerbangan Berpusat (CFMS), yang bertujuan memberi amaran kepada pengendali dan CAAS apabila UA melencong di luar kawasan penerbangan yang diluluskan.
  • Tiada isu keselamatan dengan model asas TUNDRA 2 Hexadrone.

<<BACA:
Penduduk timur SG diingatkan tentang sekatan terbang dron 5km dari Lapangan Terbang Changi

Lelaki mengaku bersalah terbang dron secara haram, bahayakan 2 pesawat RSAF>>
 
AKAN DIDAKWA DI MAHKAMAH, DIBERI AMARAN

Menurut CAAS pihaknya "memandang serius" pelanggaran tersebut.

H3 Dynamics akan didakwa di mahkamah di bawah Akta Navigasi Udara kerana mengendalikan UA dengan cara yang syarikat sepatutnya tahu ia boleh membahayakan nyawa atau hartanah orang lain.

Jika didapati bersalah, syarikat itu boleh didenda sehingga S$100,000.

Individu yang mengendalikan ujian penerbangan itu sudah diberikan amaran bersyarat 12 bulan kerana mengendalikan dron tanpa lesen juruterbang UA.

Seorang lagi juruterbang UA yang terlibat melakukan penerbangan tersebut juga diberikan amaran bersyarat 12 bulan kerana gagal menggunakan aplikasi CFMS semasa operasi UA.

Selepas insiden itu, CAAS menjalankan dua audit di lokasi ke atas H3 Dynamics pada Ogos dan September dan mengeluarkan empat notis tindakan pembetulan kepada syarikat itu, yang memerlukan pihaknya menyemak semula kawalan operasi dan memastikan pematuhan kepada manual operasi yang diluluskan CAAS.

"H3 Dynamics sudah selesai mengambil tindakan pembetulan," menurut CAAS.

"Ini termasuk mengemas kini syarat-syarat latihan bagi juruterbang UA dan memperkukuh prosedur dan proses keselamatan mereka, seperti menetapkan perlindungan demi memastikan pematuhan kepada syarat-syarat kawal selia."

Menurut CAAS, pihaknya sudah "menilai tindakan pembetulan H3 Dynamics dan berpuas hati bahawa H3 Dynamics berupaya mematuhi syarat-syarat kawal selia untuk menjalankan kegiatan UA dengan skop yang dikurangkan".

Bermula Jumaat, penggantungan yang dikenakan ke atas H3 Dynamics akan ditarik balik oleh CAAS, namun skop permit pengendali akan terhad kepada pengambilan gambar dan video dari udara sahaja.

"H3 Dynamics tidak lagi dibenarkan menjalankan operasi UA bagi tujuan ujian dan demonstrasi penerbangan."

Syarikat itu juga akan dikenakan audit keselamatan yang lebih kerap selepas ia menyambung semula operasi UA, menurut CAAS.

Memandangkan tiada isu keselamatan dikesan pada model asas TUNDRA 2 Hexadrone, penggantungannya juga ditarik balik.

Pada 23 Julai, CAAS sudah memulakan semakan keselamatan seluruh industri dan mewajibkan semua pemegang permit pengendali UA untuk menyemak semula prosedur dan proses keselamatan mereka.

Pada Jumaat, CAAS memberi kemas kini bahawa semua pemegang permit pengendali UA sudah selesai menjalankan semakan keselamatan.

CAAS juga sudah memperhalusi garis panduannya "untuk mewujudkan panduan lebih jelas mengenai operasi ujian penerbangan dan ubah suai UA".

Pemantauan ke atas kelemahan keselamatan pemegang permit pengendali UA yang melakukan ubah suai ke atas UA serta menjalankan ujian penerbangan menerusi audit di lokasi juga sudah dipertingkat.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita