Pengendali dapur pusat dapatkan maklum balas, perbaiki makanan untuk para pelajar
- Wilmar International dan dapur pusat lain menyediakan makanan kepada pelajar di 13 sekolah Singapura, dengan maklum balas aktif dari pelajar, ibu bapa dan guru untuk penambahbaikan.
- Makanan disediakan awal pagi menggunakan bahan segar, dihantar sebelum waktu rehat, dan pelajar dapat mengambil makanan dengan lebih cepat berbanding model kantin lama.
- Keselamatan makanan, keperluan diet, alergi serta pemantauan oleh Agensi Makanan Singapura dan pegawai sekolah menjadi keutamaan dalam sistem ini.
- Pegerai kantin lama digalakkan bekerjasama dengan dapur pusat, manakala satu gerai snek ringan masih dikekalkan untuk pilihan tambahan pelajar.
Bagi Dapur Pusat Wilmar International yang menyediakan khidmat tersebut kepada empat sekolah, mereka selalu mendapatkan maklum balas langsung daripada para pelajar.
"Kami menerima maklum balas secara berterusan daripada para pelajar. Kami mempunyai pasukan sekolah dan juga pasukan sokongan ibu bapa di sekolah setiap hari. Kami berkomunikasi dengan semua pihak berkepentingan, ibu bapa, pelajar dan guru serta menilai makanan yang mereka makan dan sama ada mereka menghabiskannya, bagi memastikan mereka benar-benar menikmati makanan tersebut," kata Ho Shau Foong
"Setiap hari kami menawarkan enam pilihan menu, dan setiap hari serta setiap minggu mempunyai set yang berbeza. Dalam tempoh sebulan, kami menyediakan 20 set menu untuk 20 hari dan setiap hari terdapat enam pilihan menu untuk dipilih. Dengan ini, kami memastikan setiap keperluan citarasa dipenuhi dan setiap kanak-kanak mempunyai pilihan makanan kegemaran mereka sendiri," tambahnya lagi.
Wilmar International menyediakan set hidangan untuk para pelajar di Sekolah Rendah Casuarina, Sekolah Rendah Chongzheng, Sekolah Rendah Northoaks dan Sekolah Menengah Outram.
JIMAT WAKTU REHAT PARA PELAJAR
Dapur pusat itu akan mula menyediakan makanan pada 4 pagi dan menggunakan bahan-bahan mentah yang segar.
Untuk memastikan para pelajar mendapat makanan mereka tepat pada waktunya, set makanan akan dihantar ke sekolah-sekolah 30 minit sebelum waktu rehat.
Tidak seperti model kantin lama di mana para pelajar perlu beratur panjang untuk membeli makanan, sistem dapur pusat ini membolehkan para pelajar mendapatkan makanan yang dipesan dalam masa sekitar 5 minit sahaja.
Ini jimat waktu pelajar pada waktu rehat dan lebih efisien.
Selain itu, keselamatan makanan turut menjadi keutamaan pengendali dapur pusat.
"Untuk memastikan makanan kekal selamat sepanjang proses sehingga waktu rehat dan sehingga kanak-kanak memakannya, kami perlu memastikan suhu dikekalkan pada 70 darjah, 60 darjah dan ke atas. Malah, kebanyakan masa suhu dikekalkan pada 70 darjah dan ke atas," katanya lagi.
Sejak model dapur pusat diperkenalkan, sebuah kes yang disyaki sebagai kes keracunan makanan terjadi di Sekolah Rendah River Valley dan menjejas 60 murid.
ALERGI, DIET DAN KERACUNAN MAKANAN
Selain keselamatan makanan, pihak sekolah juga mengambil berat tentang diet dan alergi para pelajar.
Naib Pengetua Sekolah Rendah West View, Siti Suhaila Sapihe menjelaskan: " Setiap hidangan yang diberikan itu disertakan dengan maklumat pemakanan yang terperinci serta pelabelan alergen. Jadi kualiti dan keselamatan makanan juga dipantau oleh Agensi Makanan Singapura manakala pegawai keselamatan makanan di sekolah kami menjalankan pemeriksaan harian untuk memastikan kebersihan dan keselamatan makanan,"
"Jadi jika mengalami sebarang keracunan, tentunya kami akan membuat siasatan dari segi kebersihan makanan yang telah diterima oleh para pelajar tersebut dan sama ada ada juga pelajar yang lain juga yang akan mengalami masalah yang sama dan kami akan menghubungi pihak pengendali sama ada untuk menghentikan hidangan tersebut dan lakukan siasatan selanjutnya," tambahnya lagi.
Selain faktor alergi, para pengendali dapur pusat turut mengambil kira tentang keperluan makanan oleh para pelajar.
"Terdapat beberapa keperluan utama. Salah satunya ialah halal dan tidak halal. Oleh itu, kami mengasingkan operasi dan penyediaan makanan kepada bahagian halal dan tidak halal. Kami juga sedar bahawa ramai yang mengamalkan 'vegetarian' pada masa kini," kata Encik Ho.
"Jadi, makanan 'vegetarian' disediakan secara berasingan, tanpa bawang dan tanpa bawang putih, supaya kami dapat memastikan semua keperluan mereka dan pelbagai keperluan agama dipenuhi," tambahnya lagi.
KANTIN SEKOLAH TIADA LAGI, PARA PEGERAI DIGALAKKAN BEKERJA BERSAMA DAPUR PUSAT
Bagi para pelajar, rasa dan selera mereka bergantung pada jenis hidangan yang disediakan.
"Kadang-kadang makanannya sedap tetapi ada juga pelajar yang tidak suka," kata salah seorang murid, Muhammad Shah Qayzan Syaiful Nizar, yang diwawancara BERITA Mediacorp.
"Saya rindu pegerai kantin kerana jika saya tidak tahu apa yang diadakan, makcik itu boleh menolong saya. Jika saya tidak cukup duit, makcik itu membelanja saya dan suruh saya bayar dia esok," kongsinya lagi.
Meskipun tidak lagi berkhidmat di sekolah, para pengendali gerai-gerai kantin sekolah yang sudah lama berkhidmat masih lagi ada peranan kerana pengalaman berinteraksi dan tahu citarasa pelajar.
Menurut Cik Siti, para pegerai yang telah berkhidmat bersama sekolah tersebut diberi galakkan untuk bekerja bersama pengendali dapur pusat.
"Dengan pelaksanaan model dapur pusat ini, kesemua tujuh gerai kantin tidak lagi beroperasi. Walau bagaimanapun, kami telah mengekalkan sebuah gerai snek ringan yang menawarkan pilihan makanan dan minuman tambahan pada para pelajar," Kata Cik Siti.
"Kami juga telah mengesyorkan para pegerai kami yang lama untuk bekerja dengan pengendali dapur pusat kini kerana mereka telah lama berkhidmat di sekolah dan ingin meneruskan perkhidmatan mereka," tambahnya lagi.
Setakat kini, terdapat 13 sekolah di merata Singapura yang menggunakan model dapur pusat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.