Pengemudi bot yang bantu Chew Eng Han larikan diri dipercayai pernah bantu lelaki lain
Lelaki yang disyaki membantu Chew Eng Han melarikan diri dari Singapura bulan lalu dipercayai pernah membantu seorang lagi melakukan perkara yang sama pada Ogos lalu.
Encik Tan Poh Teck (kiri) dan Khoo Kea Leang didakwa subahat dengan bekas pemimpin Gereja City harvest melarikan diri dari Singapura. (Gambar: Jeremy Leong/ TODAY)
SINGAPURA: Lelaki yang disyaki membantu Chew Eng Han melarikan diri dari Singapura bulan lalu dipercayai pernah membantu seorang lagi melakukan perkara yang sama pada Ogos lalu.
Tan Poh Teck, 53 tahun, pertama kali didakwa di samping bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew pada 22 Februari. Hari ini (7 Mar), pemilik penternakan ikan itu didakwa membantu orang ketiga, Goh Chun Kiat, untuk melarikan diri dari Singapura.
Sebelum itu, semasa perbicaraan kedua pada 1 Mac, Tan didakwa dengan tuduhan kedua kerana membantu seorang lelaki melarikan diri pada Disember 2017.
Tan dipercayai bertemu dengan Goh di pantai Changi lalu menaiki sampan bermotor. Mereka ditangkap berdekatan Pulau Ubin. Menurut pihak berkuasa, Goh kemudian menggunakan satu lagi sampan bermotor yang berdaftar di Malaysia.
Seorang lelaki Malaysia yang didakwa pada 28 Februari kerana bersubahat dengan Chew untuk melarikan diri, dihadapkan ke mahkamah bersama Tan hari ini (7 Mac). Khoo Kea Leng, 45 tahun, yang dipercayai dibayar S$8,000 untuk membantu Chew, tidak didakwa dengan tuduhan tambahan.
Tan dan Khoo masing-masing ditawarkan ikat jamin S$25,000 dan S$20,000.
Timbalan Pendakwa Raya Vincent Ong menggesa supaya Tan dibebaskan dengan ikat jamin S$40,000. Ini kerana, menurut beliau, Tan "membantu satu lagi orang untuk melarikan diri dari Singapura secara haram" dan jumlah ikat jamin seharusnya lebih tinggi. Siasatan juga masih dijalankan.
Kedua-dua lelaki itu akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada 29 Mac ini bersama Chew yang didakwa cuba melarikan diri untuk mengelak hukuman penjara tiga tahun empat bulan kerana didapati menggelapkan S$50 juta dana gereja. Ia merupakan kes pecah amanah melibatkan pertubuhan agama yang terbesar dalam sejarah Singapura.
Chew sudahpun mula menjalani hukumannya. Chew, 57, dan Tan diberkas semasa berada di laut pada 21 Februari. Sampan tersebut dipintas Polis Pengawal Pantai, 2.4 kilometer dari Pulau Ubin.
Atas kesalahan membantu seseorang melarikan diri dari Singapura secara haram, Tan boleh dipenjara antara enam bulan hingga dua tahun bagi setiap tuduhan, dan didenda sehingga S$6,000 bagi setiap tuduhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.